PARTI LIAR: Remaja 14 tahun antara ditahan
JOHOR BAHRU – Cubaan sekumpulan remaja untuk mengadakan parti liar sempena merdeka tidak kesampaian selepas berjaya dihidu dan dipatahkan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Narkotik dan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, seramai 72 berumur lingkungan 14 hingga 26 tahun ditahan hasil pemeriksaan ke sebuah apartment di Taman Nusa Bestari kira-kira jam 2 pagi.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati seramai 35 lelaki termasuk empat masih di bawah umur dan 10 perempuan termasuk empat pelajar sekolah positif pelbagai jenis dadah.
“Seramai 72 yang ditahan, 51 adalah lelaki dan 21 lagi perempuan termasuk sembilan daripadanya di bawah umur dan masih bersekolah.
“Siasatan mendapati parti itu baru sahaja hendak diadakan dan berjaya dipatahkan awal sebelum ianya berjalan,” katanya.
Wan Ahmad Najmuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam lebih kurang 4 pagi selepas semua yang ditahan dibawa balik ke IPD Iskandar Puteri.
“Kita menasihatkan ibu bapa agar mengawasi anak-anak supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti ini.
“Ia turut membabitkan remaja di bawah umur yang masih bersekolah dan tidak sepatutnya dibiarkan bebas tanpa kawalan daripada keluarga terutama malam kemerdekaan,” katanya. – Sinar Harian
from Malaysia Chronicle http://ift.tt/2bIRDTG
Post a Comment