Masa berlembut, toleransi dengan BERSIH sudah berakhir – Rahman Dahlan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan akan minta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk tidak lagi menganugerahkan kontrak kerajaan kepada mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan BERSIH.
Dalam tweetnya hari ini, Abdul Rahman berkata, beliau bersetuju dengan pandangan ruangan pojok Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang mahu kerajaan menyenarai hitamkan syarikat terbabit.
“Saya ambil maklum pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini.
“Awang Selamat menulis mengenai ada syarikat-syarikat yang menaja perhimpunan haram BERSIH dengan tujuan menggulingkan kerajaan tetapi pada masa yang sama syarikat-syarikat ini mendapat kontrak dari kerajaan.
“Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa syarikat berkenaan perlu disenarai hitamkan dan akan minta EPU dan UKAS untuk melihat semua latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka,” jelas beliau.
Hari ini, akhbar milik Umno itu menimbulkan semula gesaan supaya kerajaan memberi perhatian terhadap syarikat dan usahawan yang menaja beberapa siri perhimpunan BERSIH.
Menerusi ruangan pojok Awang Selamat, akhbar itu menggesa kerajaan menyenarai hitamkan syarikat-syarikat terlibat dengan penganjuran perhimpunan itu.
“Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian adalah pemberian bisnes dan kontrak kepada syarikat-syarikat serta usahawan yang menaja beberapa siri perhimpunan BERSIH.
“Hal ini sudah beberapa kali sampai ke pengetahuan Awang. Sepatutnya syarikat-syarikat tertentu yang pro-BERSIH disenaraihitamkan,” tulisnya.
Menurut Awang Selamat, tindakan itu perlu dilakukan sebagaimana langkah diambil kerajaan negeri pembangkang ke atas pihak yang mereka label sebagai musuh kerajaan negeri.
“Akhirnya apa yang berlaku, kerajaan di sebalik kuasa yang ada, memperkasakan pihak yang salah.
“Keuntungan besar daripada bisnes itu digunakan untuk terus membiayai BERSIH yang mahu menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi ala Arab Springs,” tulis Awang.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii menggesa kerajaan membatalkan kontrak syarikat yang didakwa terlibat dengan perhimpunan BERSIH.
Mendakwa memiliki banyak bukti, Mohd Razlan berkata syarikat-syarikat berkenaan menikmati keuntungan daripada kestabilan negara dan kini mahu menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, beliau pasti banyak lagi syarikat lain yang mampu memberikan terma yang setanding atau lebih baik kepada kerajaan yang perlu diberi peluang.
“Masa untu berlembut dan bertoleransi sudah berakhir. Syarikat yang membantu gerakan mengugat keselamatan ekonomi negara akan saya pulau.
“Enough is enough (cukup-cukuplah),” tambah beliau.
MKINI
.
Penyumbang : Malaysia Chronicle http://ift.tt/2eGjW6N
Post a Comment