Akta RUU 355 dibentangkan minggu ini, kata TPM
KUALA LUMPUR: Usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) akan tetap dibentangkan kali kedua di Dewan Rakyat, minggu ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usul itu akan dibuat Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Kerajaan juga akan mencadangkan supaya Jawatankuasa Pemilihan dibentuk untuk melibatkan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam.
“Ini bagi memperincikan, memperhalusi dan memurnikan sebarang unsur yang tidak jelas mengenai pemisahan kuasa pada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil,” katanya.
Beliau yang juga ketua whip Barisan Nasional (BN) berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan dan taklimat khas berkaitan RUU itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen hari ini.
Sebelum ini dilaporkan, usul berkenaan dibentangkan Hadi pada 26 Mei lepas melalui peruntukan rang undang-undang persendirian yang perlu dicadangkan oleh menteri untuk dibahaskan sebelum speaker membuat ketetapan mengenainya.
Sumber : Free Malaysia Today http://ift.tt/2fYzYdM
Post a Comment