Kisah 5 insan musyrik di zaman Rasulullah
Kita selalunya dengar tentang cerita para sahabat Nabi Muhammad SAW, seperti Abu Bakar, Umar al-Khatab, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan banyak lagi. Semua mereka ni dah dijamin oleh Nabi, sebagai mereka yang akan gerenti masuk syurga.
Tapi macam mana pulak dengan mereka yang menentang dakwah Rasulullah SAW? Apa yang mereka lakukan pada nabi? Apa seksaan yang Allah janjikan pada mereka? Itulah yang kami akan bincangkan hari ini. Sebelum tu, maksud musyrik adalah mereka yang menyekutukan Allah dengan melakukan perbuatan syirik.
Walaupun begitu, dalam artikel SOSCILI kali ni, kami bukan je akan ceritakan kisah mereka yang menentang dakwah Islam. Tapi ada jugak di kalangan mereka yang tak menentang dakwah Nabi, tapi tetap mati dalam keadaan kafir. Kita bermula dengan tokoh pertama iaitu…
1. ‘Ketua Kaum Munafik’ yang memfitnah isteri Rasulullah
Dia adalah seorang tokoh Yahudi yang kaya raya dan ketua Kabilah Khazraj di Madinah. Kerana kekayaannya jugalah, dia mempunyai pengaruh yang cukup kuat di Madinah. Tapi kemunafikannya bermula apabila dia berpura-pura memeluk Islam selepas Nabi Muhammad SAW, berhijrah ke Madinah. Dia adalah Abdullah bin Ubay bin Salul al-Ansari (Abdullah bin Ubay).
Walaupun, dia dah mengaku yang dia seorang muslim. Tapi terdapat banyak kontroversi yang melibatkan keislamannya. Antaranya adalah apabila berlaku konflik antara orang Islam dan kaum Yahudi Bani Qainuqa ketika itu, (boleh baca kisahnya di sini). Rasulullah dah mintak kaum Yahudi ni ikut perjanjian yang dah ditetapkan, tapi diorang masih tak ikut.
Akhirnya umat Islam dah mengepung kaum ini. Tapi ketika itulah munculnya Abdullah Ubay yang mintak Rasulullah melepaskan kaum ini. Akhirnya nabi bersetuju dan bagi tempoh 3 hari pada kaum Yahudi tu untuk keluar dari Madinah. Ada juga riwayat yang menceritakan anak Abdullah yang bernama Khubab telah berjumpa dengan Rasulullah.
“Ya Rasulullah, demi Allah, tidakkah tuan sudi meninggalkan sedikit air yang tuan minum ini? Daripada air sisa tuan ini akan saya berikan kepada bapa saya supaya dia pula minum air tersebut. Mudah-mudahan dengan minum air sisa tuan ini, bapa saya dibersihkan hatinya oleh Allah.”
Nabi bersetuju dan memberikan air itu kepada Khubab. Lalu, Khubab pun bawa air itu kepada bapanya dan ini jawapan Abdullah:
“Mengapa kamu tidak datang kepada aku dengan membawa air kencing ibu kamu sahaja? Ini kerana tahukah kamu bahawa air kencing ibu kamu itu lebih bersih daripada air sisa Muhammad itu”.
Apa yang lebih menampakkan kejahatan Abdullah Ubay ni adalah bila dia memfitnah isteri Rasulullah, Aisyah binti Abu Bakar. Ketika itu, Aisyah dikatakan dah tertinggal dari rombongan Rasulullah dan kembali ke Madinah bersama dengan seorang pemuda, Shafwan bin Mu’aththal.
Masa inilah Abdullah ambil kesempatan memfitnah Aisyah berzina dengan lelaki tersebut. Oleh itu, Allah turunkan ayat dari Surah an-Nur ayat 11 hingga 21, menjawab fitnah itu.
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan dia baik bagi kamu.
Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).” – Surah An-Nur ayat 11
Walaupun Abdullah bin Ubay terkenal sebagai seorang yang munafik, ketika kematiannya Rasulullah tak berdendam dengannya malah mensolatkan jenazah dan mendoakannya. Walaupun dihalang oleh Saidina Umar. Tapi kerana itu jugalah turunnya ayat 84 dari surah At-Taubah yang melarang solat jenazah kepada orang munafik:
“Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” – Surah At-Taubah, ayat 84.
Ulama juga berpendapat ayat 1-8 dari Surah al-Munafiqun ditujukan kepada sifat munafik Abdullah Bin Ubay. Maksud munafik boleh diambil dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Tanda-tanda orang munafik ada tiga : Jika berbicara ia berbohong, jika berjanji ia mengingkari, dan jika diberi amanah ia berkhianat” – Hadis Shahih Bukhari
2. Allah janjikan hukuman suami isteri ini dalam al-Quran
Siapa yang tak kenal dengan Abu Lahab, orang yang paling benci dengan dakwah nabi. Tapi sebenarnya walaupun begitu, Abu Lahab adalah pakcik nabi dan merupakan orang yang paling gembira bila Nabi Muhammad SAW dilahirkan. Sehinggakan dia memerdekakan hambanya, Suaibah.
Nama sebenar Abu Lahab adalah Abdul Uzza Bin Abdul Muttalib. Uzza adalah nama berhala famous kat Mekah yang disembah oleh orang Quraisy. Hubungan Rasulullah dan Abu Lahab mulanya baik masa sebelum kedatangan Islam. Tapi mula renggang bila Rasulullah mulakan dakwah Islam.
Segalanya bermula ketika Nabi Muhammad SAW menyeru semua Bani di Mekah untuk menerima dakwah Islamnya.
“Adakah kalian akan percaya jika aku katakan bahawa musuh akan datang menyerang kita pada esok hari?” – Tanya Rasulullah
“Pasti kami percaya. Engkau tidak pernah sekalipun bercakap bohong,” jawab mereka di situ.
“Aku memberi peringatan kepada kamu semua. Seksaan Allah yang dahsyat akan datang.” – Kata Rasulullah
Maka ketika inilah Abu Lahab datang dan menyampuk dengan berkata:
“Celaka engkau! Apakah hanya untuk itu engkau kumpulkan kami?”
Akibat dari dakwah inilah, Abu Lahab mula bermusuh dengan Rasulullah. Abu Lahab mula menyebarkan fitnah dan menuduh nabi sebagai seorang gila. Tapi bukan Abu Lahab je yang jahat macam tu, isteri dia Ummu Jamil binti Harb pun 2 kali 5 je dengan lakinya.
Dikatakan setiap hari Ummmu Jamil akan kumpulkan kayu-kayu yang tajam dan penuh duri untuk ditaburkan kat depan rumah Rasulullah dan sepanjang jalan yang dilalui Rasulullah. Walaupun begitu, kita mungkin perlu tahu yang dua anak Rasulullah berkahwin dengan anak Abu Lahab. Mereka adalah Rugayyah dan Ummu Kalsum. Bagaimanapun, mereka bercerai atas desakan Ummu Jamil selepas Rasulullah memulakan dakwah Islam.
Tindakan suami isteri ini yang menentang dakwah Rasulullah, dah dilaknat oleh Allah SWT dalam Surah al-Masad yang ditujukan khas pada mereka berdua.
“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya (Ummu Jamil) seorang pemunggah kayu api. Dilehernya ada tali daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.” (Surah al-Masad, ayat 1-5)
Ketika ayat ini diturunkan dan disampai oleh Rasulullah. Ummu Jamil mengamuk dan mengambil sebiji batu untuk dibaling pada Rasulullah. Tapi dengan kuasa Allah, dia tak nampak Rasulullah dan hanya nampak Abu Bakar walaupun masa tu Nabi ada bersama Abu Bakar. Abu Lahab meninggal dunia tak lama selepas Perang Badar.
Itulah nasib Abu Lahab dan isterinya yang dah dilaknat oleh Allah dalam al-Quran walaupun sebelum kematian mereka berdua.
3. Pakcik nabi yang meninggal dunia dalam keadaan kafir
Selepas ibu Nabi Muhammad SAW meninggal dunia, baginda dijaga oleh datuknya Abdul Mutalib hingga berusia 8 tahun. Apabila datuknya pula meninggal dunia, baginda dijaga pakciknya Abu Talib seorang tokoh Bani Hasyim yang dihormati dan juga bapa kepada Saidina Ali.
Beliau juga adalah orang yang sangat sayang pada Rasulullah dan antara orang yang bersama-sama Rasulullah pergi ke Syam untuk berniaga. Dalam riwayat, mencatatkan yang Abu Talib adalah antara orang terawal yang mengetahui kenabian Rasulullah.
Peristiwa itu berlaku ketika beliau diberitahu oleh seorang pendeta bernama Buhaira yang nampak ciri-ciri kenabian dalam diri Rasulullah.
“Tolong jaga anak saudaramu ini sungguh-sungguh. Berhati-hatilah terhadap orang Yahudi. Jika mereka mengetahui perkara ini, tidak segan-segan mereka akan berbuat jahat padanya.” – Pesanan Buhaira kepada Abu Talib.
Sepanjang usaha dakwah Rasulullah, Abu Talib adalah orang yang mainkan peranan besar dalam melindungi Rasulullah menghadapi ancaman kaum Quraisy. Abu Talib juga bertanggungjawab mengumpulkan Bani Hashim dan Bani Muthalib, sehingga mereka berbaiah (berikrar) untuk mempertahankan nabi, walaupun masa tu mejoriti mereka ni masih belum beriman.
Tapi apa yang menjadi polemik adalah status agama Abu Talib ketika kematiannya. Dalam hal ini, ada riwayat yang mengatakan yang Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman kepada Allah.
Ketika Abu Talib sedang nazak, Nabi masuk mendampinginya dan ketika itu Abu Jahal juga ada di situ. Maka Nabi pun memujuk Abu Talib: Wahai pakcik ku, ucapkanlah “Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah”
Abu Jahal yang ada kat di situ segera berkata: “Wahai Abu Talib, apakah engkau akan meninggalkan agama Abdul Muthalib?”
Lalu Nabi pun berkata: “Akanku pohonkan keampunan (dari Allah) untuk mu wahai bapa saudaraku selagi aku tidak dilarang berbuat demikian.”
Maka ketika itu turunlah ayat Allah, dari Surah at-Taubah: ayat 113 yang memberikan penjelasan terhadap doa Nabi untuk pakciknya itu.
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang Musyrik itu adalah ahli neraka.” – Surah at-Taubah:ayat 113
Bagaimanapun, masih ada pendapat yang mengatakan Abu Talib sebenarnya meninggal dunia dalam Islam. Berdasarkan buku Fiqh Al-Harakah – Dari Sirah Nabawiyyah, ada beberapa pendapat dari mazhab Syiah dan beberapa orang di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengatakan Abu Talib tidak meninggal dunia dalam keadaan musyrik.
“Sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa agama yang dibawa oleh Muhammad adalah agama yang paling baik (min khaira adyani) di kalangan agama-agama yang dianut oleh makhluk ini.” – dari Al Abbas (r.a) yang telah mendengar kata-kata Abu Talib.
Walaupun begitu, menurut pendakwah Maulana Asri Yusoff, riwayat yang mengatakan Abu Talib mati dalam keadaan Islam adalah tidak kukuh dan tak sahih. Malah ia lebih banyak datang dari orang Syiah kerana kedudukan Abu Talib sebagai bapa Saidina Ali.
Kematian Abu Talib adalah satu kesedihan yang amat besar kepada Rasulullah. Malah kesedihan ini makin bertambah bila tiga hari selepas kematian pakciknya itu, isteri baginda Khadijah pula meninggal dunia menemui yang masa Esa.
4. Pernah cuba membunuh Rasulullah
Nama ini cukup besar dalam kalangan orang yang menentang dakwah Nabi Muhammad SAW. Sebabnya kerana, bila kita sebut nama Abu Lahab, kita jugak akan sebut nama Abu Jahal atau juga digelar sebagai ‘Bapa kepada segala kejahilan‘.
Abu Jahal atau nama sebenarnya Amr bin Hisham merupakan seorang pemimpin Quraisy Mekah. Walaupun dia terkenal sebagai orang yang menentang Islam, tapi anaknya yang bernama Ikramah merupakan seorang pahlawan Islam. Malah syahid dalam Perang Yarmuk.
Abu Jahal terkenal sebagai orang yang sombong, selalu memaki dan memburukkan Rasulullah. Walaupun digelar ‘Bapa kepada segala kejahilan’ bukan bermakna yang dia ni tak pandai, sebab dia jugak digelar sebagai ‘Abu Al Hakam‘. Gelaran ni bermaksud bahawa dia tahu banyak perkara sampai membuatkan dia dipandang tinggi oleh kaum Arab Quraisy.
Ada riwayat menceritakan, suatu hari nabi sedang bersembahyang dekat dengan Kaabah. Ketika itu jugak, Abu Jahal dan kawan-kawannya ada di kawasan tersebut dan mereka ini baru je menyembelih seekor unta sehari sebelumnya.
“Siapakah di antara kamu yang berani mengambil ari-ari unta dan meletakkannya ke atas kedua-dua bahu Muhammad apabila dia (baginda) sedang sujud.” – Tanya Abu Jahal
Seorang lelaki bangun dan meletakkan ari-ari itu di atas bahu baginda. Mereka pun ketawa terbahak-bahak melihat keadaan itu. Nabi tak mengalihkan ari-ari itu dan tak bangun dari sujud sampailah Fatimah datang mengalihkan ari-ari tersebut.
Selesai saja solat, baginda bangun dan berdoa sebanyak 3 kali:
“Ya Allah! Aku serahkan kepada Engkau segala urusan orang-orang Quraisy ini.”
Bila mereka dengar Nabi berdoa, semua orang di situ berhenti ketawa kerana takut dengan doa baginda. Selepas itu Nabi berdoa lagi:
“Ya Allah! Aku serahkan kepada Engkau Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, Walid bin Uqbah, Umaiyah bin Khalaf dan Uqbah bin Abu Mu’ait.”
Abu Jahal jugak diceritakan pernah cuba membunuh Nabi dengan menghempaskan batu yang besar ke atas kepala Nabi. Walaupun begitu, dia bukan je gagal, tapi lari lintang pukang dengan muka yang kecut takut. Bila ditanya dengan kawan-kawannya kenapa dia lari, ini jawapan Abu Jahal:
“Ketika aku hampir-hampir hendak mencampakkan batu besar itu ke arah Muhammad, secara tiba-tiba datang seekor unta yang sangat besar dengan mengeluarkan bunyi menakutkan sambil mengangakan mulut sebesar-besarnya seperti hendak menelan aku!
Tapi kawan-kawannya tak percaya dan gelakkan dia. Peristiwa tu dah buatkan Abu Jahal makin marah dan benci dengan baginda Rasulullah. Akhirnya, Abu Jahal maut dalam Perang Badar bila lehernya dipenggal oleh Abdullah bin Mas’ud setelah Abu Jahal nyawa-nyawa ikan dibelasah oleh Muaz bin Amru.
5. Pernah melatih Bilal untuk membunuh Rasulullah
Bilal bin Rabah bukan nama asing dalam sejarah Islam. Dialah sahabat Nabi yang pertama melaungkan azan. Kita juga tahu tentang kisah Bilal yang diseksa di padang pasir kerana keislamnnya. Tapi siapa yang menyeksanya itu?
Dia adalah Umaiyah bin Khalaf seorang Arab Quraisy dari Bani Jumah. Umaiyah ini sebenarnya sama je geng dengan Abu Lahab dan Abu Jahal. Jadi tak terkejutlah kenapa dia ni benci sangat dengan Islam.
Sebelum Bilal memeluk Islam, Umaiyah ada bawa Bilal masuk pertandingan gusti, walaupun pertandingan tu belum pernah dibuka kepada golongan hamba. Sebenarnya, itu semua rancangan jahat Umaiyah yang nak Bilal jadi kaki gaduh atau ‘pembunuh terlatih’ untuk membunuh Rasulullah.
Akhirnya, Bilal diberikan pisau yang dilumur dengan racun oleh Umaiyah untuk membunuh Rasulullah. Umaiyah jugak janji yang Bilal akan dibebaskan kalau berjaya membunuh Rasulullah. Tapi Bilal tak sanggup nak lakukan perkara tu, malah dia sebenarnya teringin sangat nak jumpa Rasulullah.
Akhirnya sejarah membuktikan yang Nabi Muhammad SAW itu sentiasa dilindungi Allah SWT dan tiada sesiapa yang berjaya membunuhnya. Bilal sendiri mengucapkan kalimah syahadah dan terus menjadi sahabat Rasulullah hingga kewafatan baginda.
Umaiyah jugak terkenal dengan sifatnya yang suka mencela dan mengumpat Rasulullah. Kerana itu jugaklah ada ulama yang mentafsirkan Surah al-Humazah (bermaksud pengumpat) dikaitkan dengan Umaiyah.
“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji.” – Surah al-Humazah:ayat 1
Nama Umaiyah sebenarnya disebut juga dalam doa Rasulullah ketika Abu Jahal dan kawannya-kawannya bertindak meletakkan ari-ari unta di bahu Rasulullah (seperti mana yang diceritakan dalam kisah Abu Jahal tadi). Sejarah mencatatkan yang Umaiyah mati terbunuh dalam Perang Badar.
Tiada kompromi dalam beriman kepada Allah
Sebagaimana yang kita dah baca tadi, walaupun seseorang itu melakukan perkara yang baik. Tapi selagi dia tak mengucapkan kalimah syahadah dan mengaku tiada tuhan selain Allah. Dia tetap dianggap kafir.
Perkara inilah yang terjadi kepada bapa saudara Nabi, Abu Talib yang sentiasa berusaha membela dan melindungi Nabi. Tapi disebab dia tidak mengucapkan kalimah syahadah, dia tetap dianggap kafir. Sehingga ada yang kata:
“Orang kafir terbaik di atas muka bumi ini adalah Abu Talib.”
Ada jugak hadis, dimana Ibnu Abbas bertanya kepada Rasulullah ‘apa syafaat yang boleh Rasulullah bagi kepada Abu Talib. Nabi menjawab:
“Tak ada kecuali satu sahaja iaitu Abu Talib akan didirikan di atas satu lapik daripada api neraka, panasnya lapik itu sehingga otaknya menggelegak.”
Walaupun begitu, laknat Allah kepada Abu Lahab, Abu Jahal, Abdullah Ubay dan Umaiyah Khalaf tetap menjadi pengajaran kepada setiap umat Muhammad. Janganlah kita jadi seperti mereka yang didoakan Nabi atas keburukan mereka. Apatah lagi Abu Lahab dan isterinya yang dikutuk dan dijanjikan hukuman terhadapnya di al-Quran.
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2igY98z
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment