BOLEHKAH KITA BERWUDHU' DALAM TANDAS SEDANGKAN TANDAS ADALAH TEMPAT KITA BERHADAS?
[JAWAPAN]
Apakah hukumnya untuk seseorang itu mengambil wudhu’ di dalam tandas atau bilik air? Suasana rekabentuk rumah dan bangunan masa kini tidak meninggalkan kita sebarang pilihan kecuali berwudhu’ di dalam bilik air. Semasa berwudhu’ di dalam bilik air, adakah dibolehkan kita menyebut nama Allah ketika melafazkan niat, begitu juga membaca zikir-zikir dan doa-doa khas ketika membasuh setiap anggota wudhu ?
Jawapan:
Pertama: Apakah hukum mengambil wudhu’ dalam bilik air ?
Tidak mengapa jika seseorang mengambil wudhu’ dalam bilik air yang dipisahkan tandasnya. Namun jika bilik air dan tandas didirikan bersama tanpa sebarang pemisah, maka sebaik-baiknya diusahakan agar tidak berwudhu’ di situ kerana wudhu’ dalam Islam adalah merupakan satu bentuk ibadah dan semua ibadah hendaklah dilakukan di tempat yang bersih dan terpelihara. Lebih dari itu bilik air yang bertandas adalah tempat yang digunakan untuk menunaikan hajat besar dan kecil, maka dikhuatiri seseorang itu akan terkena najis ketika dia sedang berwudhu’.
Jika seseorang itu tidak memiliki pilihan, maka dibolehkan dia berwudhu’ dalam bilik air yang bertandas dan wudhu’nya tetap sah. Hendaklah dia perhatikan adab-adab memasuki bilik air dan menjaga dirinya daripada terkena sebarang najis.
Kedua: Bolehkah kita menyebut nama Allah dan berzikir dalam bilik air ?
Abdullah ibnu Umar radiallahu ‘anhuma berkata: Seorang lelaki berjalan di hadapan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam sedang di saat itu baginda membuang air kecil, lelaki itu memberi salam kepada baginda namun baginda tidak menjawabnya. [Sahih Muslim – no: 370]
Dalam sebuah hadis daripada al-Muhajir bin Qunfudz radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Aku datang kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam ketika baginda sedang buang air kecil, lalu aku mengucapkan salam kepadanya namun baginda tidak menjawabnya sehinggalah baginda berwudhu’, kemudian baginda meminta maaf kepadaku dan bersabda:
“Sesungguhnya aku tidak suka berzikir kepada Allah Ta‘ala kecuali dalam keadaan suci.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah, dan disahihkan oleh Imam Nawawi dalam al-Adzkar (Maktabah Nazar Mustofa al-Baz, Makkah 1997), 1/65, no: 70.
Dari hadis ini berkata Imam Nawawi: Teman-teman kami mengatakan, adalah makruh mengucapkan salam (kepada seseorang yang sedang menunaikan hajatnya). Jika seseorang mengucapkan salam kepadanya, dia tidak berhak menjawabnya. Hal ini berdasarkan hadis Ibnu Umar dan al-Muhajir yang telah dinyatakan sebelum ini. [ibid, ms 33]
Berdasarkan hadis di atas dan melalui kaedah qiyas, dimakruhkan bagi seseorang untuk menyebut nama Allah atau berzikir ketika dia sedang menunaikan hajatnya, sama ada hajat besar atau hajat kecil. Namun diperselisihkan hukumnya bagi seseorang yang berada di dalam bilik air bertandas dan tidak menunaikan hajat besar atau kecil, adakah dia dibolehkan menyebut nama Allah dan berzikir ?
Pendapat pertama berkata boleh kerana hadis di atas khusus kepada suasana orang yang sedang menunaikan hajatnya sahaja. Pendapat kedua berkata ia tetap makruh kerana suasana bilik air yang bertandas bukanlah tempat yang sesuai untuk disebut nama Allah dan berzikir kepadaNya, sebagaimana tidak sesuai bagi seseorang yang sedang menunaikan hajatnya untuk melakukan yang sedemikian. Pendapat yang kedua adalah yang terpilih, Allah sahaja yang mengetahuinya.
Imam Nawawi menambah, dibolehkan berzikir umpama menyebut Hamdalah ketika bersin di dalam bilik air sekalipun ketika menunaikan hajat jika zikir tersebut adalah di dalam hati dan tidak disebut dengan lisan. [ibid, ms 33]
Adapun membaca lafaz niat, zikir dan doa ketika berwudhu’, hal ini tidak ditemui contohnya daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Maka sebaiknya semua ini ditinggalkan tanpa mengira sama ada di dalam bilik air atau tidak. Yang dituntut hanyalah membaca Basmalah di permulaan wudhu’ sebagaimana perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam:
Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwudhu’ dan tidak ada wudhu’ bagi orang yang tidak menyebut nama Allah ke atasnya (ketika mengerjakannya) .
Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan lain-lain dengan beberapa lafaz yang berbeza tetapi memiliki erti yang sama. Ia diriwayatkan melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan, namun ia saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat tarafnya ke darjat hasan lighairihi.
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakap Keli News
Kredit kepada pemilik laman asal dan untuk meneruskan bacaan di laman asal sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2pTO206
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment