Jawapan SPR untuk 10 fitnah dan isu tular hari pengundian PRU-14
KUALA LUMPUR 9 Mei - Pelbagai keraguan dan fitnah yang tersebar sepanjang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hari ini bukan sahaja tidak bersandarkan kepada fakta malah disensasikan bagi menimbulkan suasana panik dalam kalangan pengundi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah, dalam sidang akhbar yang diadakannya hari ini, telah mengambil kesempatan untuk menjawab beberapa fitnah dan isu-isu yang berbangkit pada hari pengundian ini.
Berikut merupakan 10 jawapan SPR untuk fitnah dan isu yang tular pada hari pengundian hari ini :
1. Kertas undi tidak ‘dicop’
Mungkin berlaku kesilapan di pihak petugas SPR di pusat mengundi. Namun, Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan ejen-ejen calon yang bertugas akan membuat pertimbangan sama ada untuk menerima undi tersebut ataupun tidak.
2. Kertas undi dimasukkan dalam kotak yang salah
Sekiranya berlaku kesilapan, KTM dan ejen calon boleh menyelaraskan semula semasa perkiraan. SPR memohon orang ramai jangan sensasikan perkara yang boleh diselesaikan oleh RO.
3. Kesesakan beratur panjang
Berlaku ekoran kebanyakan pengundi keluar serentak waktu pagi. SPR mendapati ramai pengundi keluar awal kerana terpengaruh dengan mesej tular bahawa akan ada pihak yang mengundi untuk mereka sekiranya lewat selain faktor ramalan cuaca yang menunjukkan hujan pada sebelah petang.
4. Undi pos tidak sampai
SPR menerima aduan bahawa ada pengundi pos yang tidak menerima kertas undi serta beberapa isu lain yang berbangkit. SPR memandang serius perkara ini dan akan menjalankan siasatan lanjut.
5. Kertas undi dibawa keluar
SPR meminta saksi kejadian untuk membuat laporan polis supaya kes ini boleh disiasat oleh pihak polis. Setakat ini SPR masih belum menerima aduan. Sekalipun ada aduan, siasatan hanya boleh dijalankan oleh pihak polis.
6. Pengundi berseluar pendek dilarang masuk
SPR sudah keluar kenyataan bahawa tiada sebarang etika berpakaian yang ditetapkan selain daripada melarang pakaian yang memaparkan logo parti politik. Sekiranya ada berlaku, ia kejadian terpencil dan SPR meminta pihak tersebut membuat laporan.
7. Tidak boleh mengundi selepas pukul 5 petang
SPR sudah beri taklimat kepada semua petugas bahawa waktu mengundi bermula pada pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang. Selepas pukul 5 petang, waktu sudah tamat.
8. Negara pemerhati
SPR sudah mengeluarkan kenyataan tentang negara pemerhati yang terlibat dengan PRU-14. Orang ramai diminta tidak memperkecil kredibiliti wakil negara-negara yang terlibat kerana mereka berpengalaman mengendalikan pilihan raya di negara masing-masing.
9. Setiap aduan perlu disertakan laporan polis
Setiap aduan yang dibuat perlu disertakan bersama laporan polis supaya pihak polis boleh menjalankan siasatan lanjut.
10. Berhati-hati dengan mesej palsu yang tular
SPR menjangkakan mesej-mesej palsu akan terus tular. SPR berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan setiap perkara yang tular kerana ia bertujuan untuk menimbulkan suasana panik dalam kalangan pengundi. - UTUSAN ONLINE
✍ Sumber Pautan : ☕ SARAWAKIANA
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2G00Yp2
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment