Berdasarkan papan kenyataan pegawai yang bertugas di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, Nur Ilyani mengambil cuti selama empat hari bermula hari ini.

Bagaimanapun terdapat de­sas-desus lain mengatakan Nur Ilyani terpaksa mengambil cuti sementara menunggu isu berkaitan surat berkenaan reda terlebih dahulu.

Utusan Malaysia cuba meng­hubungi beliau melalui Facebook bagi mendapatkan penjelasan lanjut namun gagal.

Semalam, Ketua Dewan Muslimat Pas negeri, Siti Zailah Mohd. Yusof mendedahkan ada pihak mengadu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) berhubung tindakan Nur Ilyani menulis surat terbuka kepada Marina.

Menurut Siti Zailah, kumpulan terbabit juga dikatakan turut menggesa agar Nur Ilyani dikenakan tindakan tatatertib oleh pihak majikan iaitu Kementerian Kesihatan.

Susulan pendeda­han tersebut, satu pe­tisyen solidariti khusus untuk Nur Ilyani diwujudkan semalam dan setakat pukul 3 petang ini, seramai 54,758 individu telah menandatangani petisyen ber­kenaan.

Sementara itu, Pengarah HRPZ II, Datin Dr. Selasawati Ghazali mengambil pendekatan mengunci mulut termasuk enggan bertemu pemberita di pejabatnya.

Menurut pegawai beliau, Selasawati tidak akan menjawab sebarang soalan berkaitan Nur Ilyani selagi tidak mendapat kebenaran pihak atasan.