Mengimbau Kembali ‘MySpace’ – Jaringan Sosial Yang Pernah Popular Sebelum Wujudnya Facebook
MySpace. Sebuah laman yang pernah menyinari zaman remaja kita kini semakin dilupakan. Sebelum wujudnya Facebook, Twitter, dan Instagram, ia adalah laman yang sering dibuka untuk melihat kemaskini antara rakan-rakan dan keluarga. Ia pernah menjadi laman jaringan sosial terbesar di dunia sewaktu zaman kegemilangannya, iaitu pada sekitar tahun 2005 hingga 2009. Pada ketika itu, MySpace bersaing dengan beberapa pencabarnya seperti Friendster, Tagged, dan Hi5.
MySpace dilihat lebih ramai digunakan oleh golongan muda kerana ia banyak memfokuskan kepada fungsi ke arah keremajaan. Ia membolehkan pengguna mendekati perkembangan hiburan, seperti mendengar lagu baru melalui artis kegemaran mereka. Ia juga lebih terasa ‘tertutup’ dan kompleks, membuatkan ia dilihat kurang mesra untuk golongan diluar remaja. Mungkin disebabkan itu tidak ramai ahli keluarga, warga sekolah, atau golongan berusia yang mempunyai akaun MySpace ini.
MySpace dilupakan kerana ia sering melalui perubahan yang besar dari segi antaramuka. Pengguna sering melihatnya sebagai kekurangan kerana antaramuka baru sudah tidak seperti MySpace yang mereka mahukan. Tetapi antara faktor utama ia jatuh, sebahagian besar pengguna sudah pun beralih ke Facebook dengan fungsi jaringan sosial yang lebih baik. Facebook menyajikan paparan yang lebih ringkas dan mesra digunakan tidak kira apa jua golongan usia.
Melihat kembali kepada MySpace, ia menyimpan seribu satu kenangan terutama yang membesar dengan laman ini. Di sinilah tempat anda menunjukkan zaman tidak kematangan anda dan mungkin juga menjadi laman awal anda untuk mengeli kod HTML. Pada artikel kali ini, kami ingin membawa anda kembali kepada beberapa fungsi ikonik yang telah menghiasi pada laman MySpace ini.
Profil
Profil MySpace boleh dikatakan menyerupai seperti profil Facebook pada hari ini. Ia merangkumi gambar profil, maklumat tentang diri anda, bersama sejumlah rakan-rakan yang berada di dalam senarai rakan anda. Ia juga menempatkan butang untuk berhubung, status hubungan, bersama muzik yang anda ingin mainkan ketika seseorang melawat profil anda. Apa yang menarik, profil pada MySpace ini boleh diubah tampilannya dengan sejumlah pilihan kustomasi.
Dengan kebolehan kustomasi, profil pada MySpace juga sering dijadikan tempat untuk menunjukkan tahap kemahiran anda dalam menghias profil. Pengguna sering membandingkan profil mereka antara satu sama lain dan berusaha untuk menjadikannya dengan lebih cantik lagi. Perkara ini membuatkan rakan yang mahir menghias profil akan lebih dihubungi kerana ingin mendapat bantuan daripada anda.
Kebolehan suntingan profil melalui kod HTML
Kebolehan kustomasi pada profil ini sebenarnya didorong daripada penggunaan kod HTML. Anda boleh mengubah apa jua perkara di dalam profil anda, seperti latar belakang, bentuk kotak “comment”, dan font untuk mengubah tampilan tulisan. Kod HTML ini tidaklah dikarang daripada mula, kerana kebanyakan pengguna akan menggunakan tampilan profil secara template seperti melalui laman pimp-my-profile.com.
Namun untuk membuat sesuatu pengubahsuaian, pengguna MySpace perlu mengetahui struktur asas HTML bagi mengelakkan paparan profil mereka rosak. Di sinilah pengguna sering menghafal kod “img src” untuk meletakkan gambar lain secara berasingan. Gambar ini kadangkala perlu disunting terlebih dahulu dan laman seperti picnik.com akan membantu untuk proses suntingan ini. Bagi menarik perhatian pelawat membaca teks pada profil anda, anda juga mungkin pernah menggunakan kod “marquee” untuk menggerakkan teks yang dipaparkan.
Gambar profil
Gambar profil bukanlah satu fungsi unik pada MySpace, tetapi pengguna MySpace secara tidak langsung telah menjadikannya sebagai ruang gambar yang unik. Gambar profil ini sering diambil di hadapan cermin bersama kamera DSLR yang kian menjadi trend pada waktu itu. Ada juga pengguna yang menggunakan teknik mengangkat kamera tinggi ke atas, bagi membolehkan gambar profil diambil kelihatan lebih menarik (mengikut terma pada waktu itu).
Muzik dengan kebolehan autoplay
Selain menyajikan jaringan sosial untuk pengguna, MySpace juga dijadikan sebagai medium untuk mempromosikan muzik. Laman ini pada dahulunya dibanjiri oleh pemuzik individu dan berkumpulan, dalam membolehkan mereka meletakkan sejumlah karya pada profil MySpace. Di Malaysia, beberapa artis popular seperti Yuna, Hujan, dan Meet Uncle Hussein telah menggunakan platform MySpace ini untuk menaikkan karier mereka.
Apa yang menarik, pengguna boleh membuat senarai lagu berdasarkan muzik yang dimuat-naik oleh pemuzik-pemuzik ini. Kemudiannya, senarai lagu ini boleh ditempatkan di dalam profil bagi membolehkan rakan-rakan anda yang lain melihat senarai lagu yang dihasilkan oleh anda. Dengan fungsi ini, ia sering dijadikan platform untuk mendengar lagu yang sah sebelum kebangkitan Youtube dan Spotify.
Top Friends
Salah satu fungsi yang pernah membuatkan hati rakan-rakan anda terguris adalah fungsi Top Friends. Pada awalnya, Top Friends ini hanya membolehkan anda meletakkan seramai 4 atau 8 individu sahaja, namun kemudiannya telah dipertingkatkan kepada 16 individu. Fungsi ini sering mencerminkan ‘rakan karib’ sebenar, sekaligus membuatkan anda berhati-hati untuk memilih senarai Top Friends ini.
Comment pada profil
MySpace turut mendatangkan ruang comment pada profil pengguna, untuk memudahkan rakan-rakan anda memaklumkan sesuatu perkara. Ia berfungsi seumpama “Create post” pada profil rakan-rakan anda di Facebook, dengan membolehkan anda menaip apa jua perkara yang ingin dimaklumkan. Pada MySpace, fungsi “comment” ini turut boleh disertai dengan kod HTML, bagi menjadikan sesuatu “comment” menjadi lebih menarik.
Pengguna MySpace selalunya menggunakan “comment” ini digunakan untuk membuat ucapan, balasan mesej atau spam. Fungsi “comment” ini tidak menyajikan fungsi “thread messaging”, jadi pengguna akan menghantar “comment” baru ke profil satu sama lain sebagai membuat balasan. Ada juga yang menggunakannya untuk menghebahkan sesuatu perkara, seperti memberi komen pada gambar dan melawat profil. Apa yang lebih mengharaikan, hebahan yang sama sering dihantar berulang kali, bagi menarik perhatian seseorang individu tersebut.
Online Now / Last Login
Fungsi ini walaupun dilihat ringkas, ia sebenarnya mampu memberi senyuman kepada anda terutama apabila rakan-rakan rapat anda sedang aktif di dalam MySpace ini. Berbeza dengan Facebook dengan paparan teks, paparan “online” ini diaktifkan dalam bentuk ikon beranimasi “Online Now”. Pengguna juga boleh melihat waktu terakhir sesorang individu membuka MySpace, dengan melihatnya pada halaman profil individu tersebut.
Paparan notifikasi My Mail
MySpace tidak lah diakses setiap hari kerana tidak ramai yang memiliki peranti dengan akses internet ketika waktu itu. Walaupun telefon sudah mula ada keupayaan internet, pelan data yang ditawarkan boleh dikatakan agak mahal. Pada zaman sekitar 2005, pengguna mudah-alih hanya diberi pelan “pay-per-use” dengan caj data sebanyak 10 sen/10kb. Bermakna, MySpace lebih dibuka melalui komputer, yang mana pengguna sering menggunakannya di pusat kafe siber atau makmal komputer.
Disebabkan seseorang pengguna jarang membuka MySpace, paparan notifikasi My Mail ini boleh dikatakan sebagai sebuah paparan dapat memberi kegembiraan kepada pengguna. Ia membuatkan pengguna tertanya-tanya, “apakah notifikasi yang akan diterima pada kali ini?”, sebelum seseorang pengguna membuat log masuk akaun MySpace ini. Setelah melihat paparan ini yang penuh dengan notifikasi, ia cukup memberi kepuasan dan membuatkan diri anda terasa lebih dihargai.
Status / Mood
Fungsi status pada MySpace membolehkan anda mengumumkan perkara yang berkaitan dengan diri anda. Ia boleh dikatakan menyerupai status pada WhatsApp, dengan membolehkan anda meletakkan kata-kata atau perkara yang ingin anda katakan. Status yang dikeluarkan akan dipaparkan dalam senarai status terkini pada halaman utama, berserta mood yang boleh dipilih untuk dipadankan pada status tersebut.
Buletin
Fungsi buletin pada MySpace sebenarnya boleh diibaratkan seperti papan buletin yang berada di sekolah, perumahan, atau di 7-Eleven berdekatan dengan anda. Papan ini selalunya ditempatkan pada bahagian yang mudah dilihat, sekaligus membolehkan orang ramai melihat sejumlah perkara yang diumumkan. Ia sering digunakan untuk menghebahkan perkara seperti acara, perjumpaan, atau ruang untuk mencari pekerjaan/perumahan.
Pada MySpace, paparan buletin ini ditempatkan pada bahagian yang mudah dilihat iaitu pada halaman utama MySpace pengguna. Ia membolehkan pengguna menghebahkan apa jua topik dan boleh dipersembahkan melalui perletakkan kod HTML. Buletin yang dihantar akan dipaparkan kepada pengguna MySpace yang lain – dengan syarat ia berada di dalam senarai kenalaan anda. Pengguna lain boleh turut serta di dalam buletin tersebut, dengan menghantar mesej di dalam bentuk “comment”.
Tom Anderson
Sebaik sahaja anda mendaftar MySpace, inilah satu-satunya individu terawal yang akan berada di dalam senarai rakan-rakan anda. Walaupun anda tidak menambah beliau sebagai ‘rakan’, ia tetap akan dimasukkan secara automatik. Namun anda masih boleh ‘membuang’ beliau daripada senarai kenalan sekiranya anda kurang selesa dengan kehadiran beliau ini.
Tom Anderson sebenarnya merupakan antara individu yang mengasaskan MySpace dan kemudiannya menjadi presiden pada laman ini. Beliau juga dilihat berperanan untuk menghantar mesej pertama kepada anda (melalui bot), sebaik sahaja anda selesai mendaftar akaun MySpace. Anda boleh melihat status online, last seen, dan menghubungi beliau seperti rakan-rakan anda yang lain.
Gambar profil Tom dilihat sangat ikonik sehingga ada menggelarnya sebagai “Mona Lisa of profile picture“. Walaupun MySpace melalui perubahan yang besar dari tahun ke tahun, gambar ikonik Tom ini masih digunakan sehingga kini. Ada juga yang melihat gambar ini sebagai sebuah jenama berbanding sebuah gambar profil biasa. Pada tahun 2010, Tom tidak lagi menjadi rakan pertama di dalam MySpace dan akaun beliau telah dijenamakan semula menjadi “Today On MySpace” atau “T.O.M.”.
Walaupun MySpace sudah jarang digunakan pada saat ini, ia meninggalkan beberapa perkara menarik dalam proses pembangunan jaringan sosial. Ia menyajikan pengubahsuaian profil melalui kod HTML dan hadir dengan fungsi Top Friends yang agak kontroversi antara rakan-rakan. Bukan itu sahaja, MySpace juga pernah menjadi platform untuk menghebahkan karya pemuzik, sehingga ia berjaya menghasilkan sejumlah pemuzik popular pada hari ini. Kesemua fungsi ini membuatkan MySpace cukup unik dan dikenang sebagai jaringan sosial yang penuh kenangan dan memori.
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2FpKzvR
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment