Ulasan Targus 15″ Newport – Beg Bagus Untuk Insan Berfulus
Selamat datang ke ulasan beg Targus 15″ Newport. Ya agak aneh ketika hampir kesemua rakyat Malaysia kini dipaksa bekerja dari rumah akibat penularan wabak yang semakin serius, saya mengulas beg sandang untuk kegunaan bekerja di luar rumah. Tetapi hidup masih diteruskan dan ulasan masih perlu ditulis. Ulasan ini ditulis dengan harapan apabila sekatan penuh yang dikenakan kerajaan dinaikkan semula bagi membenarkan ramai kembali ke pejabat.
Spesifikasi
Jenis Beg | Beg tangan tote yang berubah menjadi beg galas |
Saiz | 28.5 x 8.3 x 45.5 cm |
Berat | 550 gram |
Poket Simpanan | 4 (2 besar dan 2 kecil) |
Saiz komputer riba | Sehingga 15″ |
Bahan binaan | Nilon kalis air / Leatherette |
Warna | Hitam (luar), Oren (dalam) |
Harga | RM599 |
Rekaan
Ikhlas saya katakan sebenarnya Targus 15″ Newport bukanlah beg galas kerja yang direka untuk insan yang berperwatakan maskulin. Ia adalah beg tote wanita yang boleh diubahsuai menjadi beg galas apabila diperlukan. Untuk menghasilkan ulasan yang lebih adil, saya telah meminta bantuan isteri saya untuk memberikan input mengenai beg galas ini.
Dari segi rekaan Targus 15″ Newport lebih mirip beg tangan wanita yang bersaiz agak besar. Ianya cukup besar dengan kapasiti 12 liter secara keseluruhan. Menurut Targus ia cukup besar untuk meletakkan sebuah komputer riba sebesar 15″ dan pelbagai aksesori yang diperlukan untuk ia digunakan di luar pejabat.
Bahagian luar beg diperbuat daripada bahan nilon yang boleh menangkis air hujan ketika di luar. Hendak dijadikan cerita, memang saya perlu meredah hujan ketika ingin ke Pusat Pemberian Vaksin WTC Kuala Lumpur minggu lalu. Walaupun dilimpahi hujan, kandungan di dalam beg kekal kering.
Poket besar di dalam ruang utama mempunyai pelapik yang boleh menyerap hentakan. Ianya cukup tebal pada hemat saya dan sama seperti pelapik yang kami temui pada sebuah beg galas Targus yang pernah saya gunakan sebelum ini. Pendek kata pengguna tidak perlu risau sekiranya beg terjatuh kerana ketebalan pelapik yang digunakan.
Keseluruhan bahagian dalaman poket dan ruang simpanan diperbuat daripada bahan nilon berwarna oren terang. Sangat kontras dengan beg yang berwarna hitam legap. Pilihan warna yang bijak kerana ia memudahkan pencarian barang yang disimpan dalam beg.
Walaupun diiklankan untuk satu komputer riba, saya tidak mempunyai masalah menyumbat dua MacBook 13″ dan satu iPad Pro 11″ yang saya miliki. Ruang yang sama walaupun bagaimanapun cukup-cukup sahaja untuk memuatkan sebuah komputer riba sebesar 15″ Acer Spin 3 yang juga saya miliki. Terdapat satu tali velcro pada bahagian atas untuk memastikan komputer riba yang disimpan tidak melimpah keluar.
Sebuah lagi ruang simpanan terbuka sebesar 13″ x 14″ diletakkan pada bahagian luar. Ia agak tersembunyi sehingga saya sendiri tidak menyedarinya sehinggalah membaca spesifikasi produk. Ruang ini cukup besar untuk memuatkan sebuah komputer riba sebesar 15″. Secara keseluruhan Targus 15″ Newport boleh menyimpan satu komputer riba 15″, atau 2x komputer riba 13″ serentak tetapi masih mengekalkan rekaan yang nipis.
Terdapat satu sahaja poket kecil (6″x 2″)pada bahagian dalam ruang storan utama yang boleh ditutup menggunakan zip. Walaupun kecil ia masih cukup besar untuk menempatkan pengecas komputer riba 85″ lengkap dengan bata kuasa berbentuk empat segi. Dalam poket kecil ini tidak ada poket-poket kecil lain untuk menyimpan dongal, pemacu USB dan aksesori lain seperti penyesuai antarabangsa misalnya.
Sebuah lagi poket di bahagian hadapan sebesar 10″ x 11″ cukup besar untuk menempatkan pelbagai lagi aksesori tambahan seperti pengecas telefon pintar, powerbank, penyesuai dan banyak lagi. Seperti poket kecil dalaman, poket ini tidak mempunyai poket mini. Akibatnya kesemua barang yang disimpan turun ke bawah. Alangkah baik sekiranya ada poket mini untuk menyimpan TWS, kabel tambahan yang telah diikat, atau pemacu USB.
Beg mempunyai ruang yang mencukupi untuk menyimpan barang keperluan di luar pejabat. Malahan ia sebenarnya lebih luasa dari jangkaan asal. Banyak peranti dan aksesori boleh dimasukkan ke dalam beg tanpa ia kelihatan menggelembung.
Dari mata seorang lelaki, jumlah poket yang ditawarkan adalah sedikit jika dibandingkan dengan beg komputer riba yang pernah digunakan sebelum ini. Tetapi isteri saya mengatakan jumlah poket pada beg ini sebenarnya lebih dari yang diperlukan seorang wanita. Tidak seperti seorang lelaki, seorang eksekutif wanita akan sentiasa membawa beg tangan untuk kelengkapan solekan, membawa kuncu kereta, meletakkan peranti, tisu muka, dan banyak lagi. Meletakkan lebih banyak poket pada Targus 15″ Newport boleh dilihat sebagai overkill.
Penggunaan
Sebagai beg tote ia berfungsi dengan cemerlang. Tempat pemegang dari bahan leatherette adalah selesa dan tidak menyakitkan tangan apabila dipegang dan bahu apabila disandang. Bahagian tali beng sandang boleh disorok sekiranya pengguna mahu beg kelihatan lebih kemas. Terdapat dua lubang telinga pada bahagian sisi yang memberikan impresi ia boleh digunakan dengan tali sandang yang dicabut tetapi sebenarnya tidak. Pengguna perlu membeli sendiri tali lain jika inginkan tali sandaran bahu yang lebih panjang.
Dua zip besar pada bahagian luar mempunyai tab tali leatherette yang memudahkan proses membuka ruang simpanan. Memang memudahkan untuk pengguna tetapi juga untuk pencuri. Targus tidak menyertakan ruang tang besar untuk pengguna meletakkan manga. Ini adalah isu besar saya dengan beg ini kerana sekuriti adalah amat perlu dalam pemilihan beg. Membaca peranti bernilai puluhan ribu ringgit adalah satu kelaziman bagi saya dan jika zip tidak boleh dikunci dengan mudah ia adalah amat merisaukan.
Kerisauan lain ialah tali beg sandang yang tidak cukup tebal untuk menyebarkan beban pada bahu ketika disandang. Dengan meletakkan satu komputer riba, satu iPad Pro dan aksesori lain beg sudah menjadi agak berat.
Kesimpulan
Targus 15″ Newport ialah sebuah beg yang bagus untuk keperluan di luar pejabat. Kombinasi kapasiti storan yang besar, jumlah poket mencukupi, rekaan yang elegan, kalis air dan mempunyai penyerap hentakan yang baik. Walaupun direka untuk kegunaan wanita profesional, saya masih merasakan ia beg tote yang boleh berubah menjadi beg galas yang baik untuk digunakan oleh mereka yang berimej lebih maskulin. Beg masih mengekalkan bentuk leper walaupun diisi dengan komputer riba, tablet, telefon pintar dan aksesori-aksesori lain.
Memang jumlah poket yang diberikan tidak berapa banyak dan tidak hadir dengan sub-poket lebih kecil jika dibandingkan dengan beg komputer riba biasa. Apabila dilihat dari pandangan seorang lelaki memang ia kekurangan. Tetapi tidak pada pandangan seorang wanita yang memang sudah mempunyai beg tangan untuk meletakkan telefon, alat solek, kunci dan barangan remeh yang lain. Tidak semua produk di pasaran direka untuk kegunaan lelaki.
Pada harga RM599 sebuah ia jatuh ke dalam kategori mewah dan lebih mahal berbanding beg komputer riba biasa keluaran Targus sendiri. Sukar untuk menyarankannya dalam situasi wabak dimana keluar dari rumah untuk bekerja sudah menjadi norma lama. Tetapi jika anda memang mencari beg komputer riba yang kelihatan premium, elegan dan mengekalkan imej profesional, Targus 15″ Newport kami boleh sarankan kepada anda selepas tamatnya pandemik.
Pro
- Ruang simpanan yang besar untuk lebih dari satu peranti serentak.
- Ruang dalaman berwarna oren yang memudahkan pencarian barang.
- Rekaan premium dan bergaya untuk golongan profesional.
- Rekaan dua dalam satu yang versatil.
- Kalis air dan pad yang menyerap hentakan sekiranya terjatuh.
- Speaker dan mikrofon yang digunakan juga mantap.
Kontra
- Tali beg sandang yang kecil untuk menyebarkan berat dengan baik.
- Harga yang jauh lebih mahal berbanding beg komputer riba lain.
- Kekurangan sub-poket kecil untuk barangan seperti pemacu USB.
- Rekaan mungkin terlalu feminin untuk lelaki.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment