Valve Umum Steam Deck – Konsol Mudah-Alih Untuk Mainkan Permainan Steam Anda
Valve kini telah memperkenalkan konsol mudah-alih mereka yang sedia dinantikan ramai, iaitu Steam Deck.
Konsol mudah-alih ini hadir dengan rekaan skrin bersaiz 7-inci, dan kemudahan untuk anda memainkan sejumlah permainan daripada Steam, terus secara mudah-alih. Menguasakan Steam Deck adalah cip AMD APU Zen 2, dilengkapi sokongan grafik AMD RDNA 2, memori 16GB LPDDR5 RAM, dan storan bermula 64GB eMMC sehingga 512GB NVME SSD.
Secara tidak langsung, ini turut memposisikan ia sebagai konsol mudah-alih yang berkuasa tinggi. Perkara ini sedia dijangka dalam membolehkan permainan Steam dijalankan pada konsol mudah-alih ini.
Melengkapkan ia juga adalah sistem operasi SteamOS berasaskan Linux, dan menggunakan perisian Proton dalam membolehkan permainan Windows dijalankan padanya dengan stabil dan tanpa masalah.
Valve mengatakan ia dilengkapi dengan bateri 40Whr yang menawarkan penggunaan antara 2 jam ke 8 jam permainan. Pengguna boleh mengecasnya menggunakan pengecas 45W berasaskan USB-C.
Seperti Nintendo Switch, ia turut menyertakan sejumlah butang kawalan untuk memudahkan anda memainkan permainan kegemaran anda pada Steam Deck.
Menariknya juga, pengguna boleh menghubungkan Steam Deck ini ke paparan bersaiz besar lain seperti TV atau monitor.
Dalam memudahkan kawalan permainan, Steam Deck menyertakan skrin sentuh, selain kawalan trackpad dan juga sokongan gyro.
Memandangkan ia berasaskan Linux, maka pengguna turut boleh memasang sejumlah perisian, menggunakannya untuk melayari web, mahupun menonton penstriman video.
Valve mengatakan Steam Deck ini akan ditawarkan di Amerika Syarikat, Kanada, EU, dan UK bermula penghujung tahun ini, dan diikuti negara lain pada 2022. Steam Deck disenaraikan pada harga bermula $399 iaitu sekitar RM1676.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment