Ulasan Realme GT2 Pro – Sejuk Mata Memandang, Panas Tangan Memegang
Realme GT2 Pro akhirnya tiba ke pasaran Malaysia. Ini adalah eksperimen baru Realme yang memfokuskan kepada beberapa aspek. Ianya termasuklah skrin berteknologi AMOLED 120Hz, cip pemproses Qualcomm yang terkini, persediaan kamera yang pelbagai guna, kemasan dengan nafas baru & banyak lagi. Senang kata, telefon pintar ini tidak hanya tertumpu kepada fungsi semata-mata, sebaliknya ini adalah telefon pintar yang mampu menjadi pelengkap gaya hidup. Tetapi, adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Persoalan paling besar mungkin bolehkah telefon pintar ini memberi penawaran yang cukup hebat berbanding pesaing setarafnya? Artikel ulasan ini akan cuba menjawab persoalan-persoalan berikut.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Telefon Pintar | Realme GT2 Pro |
Skrin | 6.7-inci, AMOLED, 120Hz, WQHD+, (1440 x 3216 piksel) (~525 ppi) |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Cip Grafik | Adreno 730 |
RAM | 12GB RAM (LPDDR5) |
Muatan Dalaman | 256GB ROM (UFS 3.1) |
Kamera Utama | Utama – 50MP (f/1.8) (Sony IMX766) (OIS+EIS) Ultra-Lebar – 50MP (f/2.2) Mikroskop – 3MP (f/2.4) |
Kamera Swafoto | 32-MP (f/2.5) |
Bateri | 5,000mAh 65W SuperDart Charge |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari fizikal Imbasan Wajah Pengimbas Nadi |
Harga Jualan | RM2999 (12GB/256GB) |
Seperti biasa, pertama sekali kami akan menyentuh mengenai kemasan dan paparan. Ini adalah telefon yang ringan, padat dan cukup puas ketika dipegang. Kami katakan macam ni kerana binaan tubuhnya di sini cukup baik dan bersaiz nipis. Jadi, ia amat selesa di dalam tangan dan senang untuk dibawa ke mana-mana setiap hari. Pendek kata, ia langsung tidak membebankan poket. Terdapat pelbagai pilihan warna yang boleh dipilih dan salah satunya adalah kemasan berwarna putih seperti unit ulasan yang kami terima ini. Kemudian, apa yang uniknya lagi pada telefon pintar ini adalah kemasan. Bahagian belakang diperbuat daripada plastik polimer dengan kemasan seakan kertas.
Sewaktu ianya dipegang, anda akan perasan pada bahagian belakang ini adanya kemasan bertekstur yang halus. Pada masa sama, Realme sekali lagi bekerjasama dengan pereka industri terkenal iaitu Nauto Fukusawa untuk kemasan pada telefon pintar ini. Anda juga akan nampak terdapatnya tanda tangan pereka tersebut pada bahagian yang sama. Mungkin akan ada sesetengah pihak yang berpendapat, kemasan sebegini seakan menghilangkan nilai premium, jika mahu dibandingkan dengan sejumlah pesaingnya yang menggunakan panel belakang sejenis kaca.
Sungguhpun begitu, Realme masih melakukan suatu kerja yang menarik, di mana kemasan seumpama ini mampu sahaja memberikan pengalaman cengkaman yang baik. Maka dengan itu, telefon sudah semestinya tidak akan mudah tergelincir daripada tangan. Dalam masa sama, ia juga boleh dikatakan tidak mudah calar. Kemudian, anda juga tidak perlu lagi bersusah-payah mengeluh mengenai kotoran cap jari. Sebabnya, ia langsung tidak meninggalkan kesan. Tapi malangnya, telefon pintar ini tidak kalis air. Maka, penjagaan yang rapi adalah amat diperlukan. Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Bahagian sisi kanan terdapatnya butang kuasa. Seterusnya, sisi kiri pula menempatkan butang laras audio. Kemudian, port sambungan USB-C dan pembesar suara sejenis stereo. Baiklah, adakah anda perasan apa ciri atau fungsi yang kurang pada bahagian bawah ini? Jawapannya adalah bicu audio 3.5mm! Jadi, kalau anda merupakan salah seorang yang sangat bergantung harap dengan fon telinga berwayar untuk mendengar muzik. Rasanya, kini sudah tiba masa untuk anda bertukar angin kepada fon telinga jenis nirwayar pula.
Audio
Sebelum kami teruskan kepada paparan. Izinkan kami untuk menyentuh sedikit mengenai pembesar suara stereo pada telefon pintar ini. Terdapat sistem audio Dolby Atmos, tetapi ia hanya boleh digunakan apabila disambungkan ke fon telinga atau fon kepala sahaja. Sebabnya, ciri ini tidak boleh digunakan pada pembesar suara fizikal. Jikalau mahu bercakap mengenai prestasi audio pula. Pada tetapan paling tinggi, bunyi yang dihasilkan kedengaran cukup lantang tetapi agak rata. Audio juga seakan agak pecah pada tetapan tertinggi. Tetapi, ia boleh menjadi lebih baik apabila anda menggunakan aksesori audio luar.
Paparan Skrin
Memandangkan ini adalah sebuah telefon pintar berspesifikasi mercu. Sudah semestinya anda boleh sahaja mengharapkan sesuatu yang baik daripada telefon pintar ini sendiri. Skrin berteknologi AMOLED 6.7-inci WQHD+ yang digunakan mempunyai paparan yang tajam dan terang. Penghasilan semula warna juga nampak hidup. Jadi, pengalaman menonton kandungan video yang memuaskan boleh dinikmati dengan telefon pintar ini. Fungsi kadar segar semula yang digunakan juga adalah baik. Ia disesuaikan secara dinamik antara 1Hz – 120Hz.
Ini sebenarnya sangat membantu dalam usaha penjimatan kuasa pada telefon. Seterusnya, kepuasan ini ditambah lagi dengan binaan skrin hadapan yang rata bersama saiz bezel cukup seimbang pada kesemua sisi. Ini bagi membolehkan anda mendapatkan lebih banyak ruang untuk skrin – terutama sekali sewaktu menonton kandungan video di youtube, netflix dan sebagainya. Lubang kamera yang diletakkan pada bucu atas kiri pula mungkin sedikit mencacatkan sesi menonton kandungan video, tambahan pula apabila ditonton dalam mod skrin penuh. Namun begitu, ini bukanlah suatu isu yang besar buat masa sekarang. Sebabnya, kami sendiri pasti ramai pengguna di luar sana yang sudah membiasakan diri dengan rekaan sebegini.
Perisian & Penggunaan
Realme GT 2 Pro menggunakan cip Snapdragon 8 Gen1. Ini adalah cip paling terkini daripada Qualcomm setakat ini. Unit ulasan kami ini dibekalkan dengan 12GB RAM dan storan dalaman 256GB. Telefon pintar ini juga lengkap dengan ciri Dynamic RAM Expension dengan pilihan penambahan 3GB, 5GB dan 7GB RAM secara maya. Tapi malangnya, telefon ini tiada ruang slot untuk kad mikroSD. Dalam penggunaan harian, telefon pintar ini memberikan prestasi yang lancar dan baik tanpa isu melampau.
Pengalaman menatal juga terasa lancar. Isu yang wujud hanyalah telefon menjadi panas untuk sesetengah keadaan. Terutamanya, sewaktu ia digunakan untuk sesi bermain permua dan mengambil gambar yang terlalu lama. Rasa panasnya dekat sini boleh dikatakan meningkat ke suhu yang membuatkan telefon pintar menjadi kurang selesa untuk dipegang. Kalau menggunakan aplikasi kamera, akan ada amaran terhenti. Begitu juga dengan penggunaan hotspot.
Kalau mahu bercakap mengenai markah penanda aras Antutu pula. Setakat ini, terdapat lebih kurang lima peranti dengan cip Snapdragon 8 Gen1 yang telah diuji. Ini termasuklah Realme GT 2 Pro ini sendiri. Tetapi, hasil ujian kami mendapati markah penanda aras yang dicatatkan oleh Realme GT2 Pro (931,617) adalah lebih tinggi jika nak dibandingkan dengan Samsung Galaxy S22+ (888,633) dan Samsung Galaxy S22 Ultra (917,034). Tetapi, berada di bawah Xiaomi 12 dengan 8GB RAM (970,798) dan Xiaomi 12 Pro (950,046 mata). Seperti biasa, markah penanda aras hanyalah nombor semata-mata. Pengalaman dunia sebenar adalah segalanya.
Menyentuh soal antara muka pula, Realme UI 3.0 digunakan dengan sistem operasi Android 12. Apa boleh kami ringkaskan di sini adalah ianya lancar, pantas, ceria, cantik, kemas, mesra pengguna dan paling pentingnya di sini antara muka boleh dikostumasi dengan baik. Rekaan juga lebih hampir kepada Android asli dengan binaan ikon yang minimalis. Terdapat juga beberapa ciri tambahan lain yang disertakan. Misalnya, Flexible windows, kids space, quick launch, smart sidebar dan sebagainya. Tidak habis di situ, telefon pintar juga boleh mengimbas nadi pengguna. Selepas mengujinya beberapa kali, kami perasan bacaan yang diambil menunjukkan hasil yang tidak begitu konsisten.
Kamera
Sistem kamera agak pelbagai adanya lensa utama 50MP Sony IMX 766 dengan OIS, lensa ultra-lebar 50MP dan lensa mikroskop 3MP. Penggunaan lensa mikroskop ini mengingatkan kami kepada Oppo Find X3 Pro sebelum ini. Pilihan fungsi dan penuras juga adalah pelbagai. Tidak ketinggalan, telefon pintar ini juga lengkap dengan mod Fish-eye terbina. Adakah ia gimik? Jawapan kami adalah ya! Tetapi, seronok untuk digunakan. Di sini juga terdapatnya beberapa mod untuk senario yang pelbagai. Misalnya seperti Street, Strarry Mode, 3D Photo, Dual-View video dan sebagainya.
Kebolehan video pula adalah mencapai 8K/24fPS. Terdapat juga kebolehan melaras kesan bokeh pada fungsi video ini. Namun, ia terhad pada rakaman hingga 1080P/30fps sahaja. Pada masa sama, kebolehan melaras kesan bokeh ini turut mengingatkan kami kepada siri Oppo Reno7 yang juga menyokong ciri berkenaan. Ianya sangatlah mirip.
Dekat sini, kami melihat kamera mampu memberi hasil yang baik. Sebagai contoh, gambar yang diambil pada siang hari nampak memuaskan. Tahap perincian dijaga dengan baik, penghasilan semula warna yang menyerlah. Objek pada gambar juga nampak tajam, tapi hingar akan mula kelihatan bila gambar mula dizum. Jikalau anda lebih menyukai jenis gambar yang lebih cerah bersama pewarnaan yang tepu, boleh sahaja aktifkan mod AI pada bahagian atas antara muka kamera. Ia sangat membantu tetapi bergantung juga pada keadaan semasa. Bukan apa, sesetengah keadaan memperlihatkan masalah dedahan yang melampau.
Kebolehan zum pula boleh mencapai sehingga 20X dan hasil keseluruhannya boleh diterima. Gambar yang dizum pada tahap paling tinggi tidaklah sempurna mana, tetapi sekali lagi kami katakan masih boleh diterima. Sebabnya, kami perasan terdapatnya isu blooming pada gambar, terutamanya gambar yang diambil pada waktu malam. Seterusnya, Realme GT2 Pro juga mempunyai mod malam terbina. Gambar yang diambil pada malam hari menunjukkan prestasi yang baik. Imej nampak tajam & terang dengan perincian yang dijaga. Hingar itu masih ada, tapi tidak nampak teruk atau ketara. Mod mikroskop yang disertakan juga menarik tapi kami pasti tidak ramai di luar sana yang akan menggunakan lensa ini dalam penggunaan harian.
Bateri
Akhir sekali, bateri 5,000 mAh boleh dianggap cukup besar. Penggunaan pula bergantung pada masing-masing. Misalnya, telefon mampu bertahan dengan SOT sekitar 7 jam dalam penggunaan sederhana dan tetapan skrin standard. Tetapi, bacaan SOT menjunam agak drastik pada penggunaan ekstrem. Kami boleh dapat sekitar 4 jam sahaja. Untuk yang satu ini, skrin berada pada tetapan 120Hz. Jika kehabisan bateri pula, pengecasan 65W SuperDart Charge akan dapat mengecas semula bateri dalam masa 40 minit yang mana pada kami cukup pantas.
Pesaing Setara
Realme GT2 Pro | Xiaomi 12 Pro | Samsung Galaxy S22 Ultra |
6.7-inci, AMOLED, 120Hz, WQHD+, (1440 x 3216 piksel) (~525 ppi) | 6.73″ LTPO AMOLED 2X, 1440 x 3200, 120Hz, Dolby Vision, (521 ppi) | 6.6″ Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2340, 120Hz, HDR10+, (390 ppi) |
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Snapdragon 8 Gen 1 (4nm) 1 X 3.0 GHz Cortex X2 3 X 2.5 GHz Cortex A710 4 X 1.8 GHz Cortex A510 |
Adreno 730 | Adreno 730 | Adreno 730 |
12 GB LPDRR5 | 12 GB LPDRR5 | 8 LPDRR5 |
256 GB UFS 3.1 | 256 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50+50+3 Megapixel (f/1.9+f/1.9+f/2.2) OIS + EIS |
Kamera Utama 50+50+50 Megapixel (f/1.9+f/1.9+f/2.2) OIS |
Kamera Utama 50+12+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/4.9+) OIS |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 |
Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.5 |
Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 |
Tidak kalis air | Tidak kalis air | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5000 mAh (Berwayar 65W) | 4600 mAh (Berwayar 120W) | 4500 mAh (Berwayar 45W) |
Harga RM2,999 | Harga RM3,899 | Harga bermula RM 4,099 |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Realme GT2 Pro.
- 1x Kerangka silikon gelap.
- 1x Pengecas 2 pin 65W SuperDart Charge.
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Manual.
Kesimpulan
Tidak dinafikan, ia sebuah peranti dengan gabungan yang baik. Kita ada kemasan yang selesa di tangan. Skrin AMOLED 120Hz yang cantik. Sistem kamera yang mampu menangkap pelbagai gambar menarik. Gabungan perisian dan perkakasan yang baik. Tiada kata negatif yang boleh diucapkan mengenai penggunaan peranti untuk aktiviti harian. Cumanya, isu telefon menjadi panas melampau ketika digunakan dalam sesetengah keadaan. Menimbulkan rasa kurang selesa untuk kami. Ketiadaan beberapa elemen penting seperti penarafan kalis air, bicu audio 3.5mm, ruang slot microSD, secara tak langsung mencacatkan telefon ini sendiri. Tetapi, ini adalah pendapat peribadi kami. Bagaimana pula dengan anda?
Pro
- Skrin AMOLED yang baik, terang dan cantik.
- Ringan, padat dan cukup puas ketika dipegang.
- Kadar segar semula 120Hz yang lancar.
- Sokongan RAM secara maya yang bersesuaian bagi mereka yang mahukan lebih memori.
- Kemampuan kamera yang memuaskan untuk peranti dalam kelasnya.
- Kapasiti bateri besar.
Kontra
- Tiadanya penarafan kalis air.
- Tiadanya ruang slot microSD.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Lensa fish-eye hanya sekadar gimik.
- Kualiti audio yang kurang memuaskan.
✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz
🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻♀️ Enjoy Surfing!
Post a Comment