Pemergian Haron Din: Pemuda Pas kutuk pemimpin DAP, sifatkannya biadab
KUALA LUMPUR: Kenyataan Ahli Parlimen DAP Jelutong berhubung kematian Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din disifatkan sebagai biadab, justeru Pemuda Pas mendesak agak Jeff Ooi memohon maaf secara terbuka.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan Jeff Ooi adalah tidak wajar dan waktunya adalah sangat tidak sesuai mengeluarkan kata-kata sedemikian.
Jeff Ooi dalam laman Twitter menulis ‘Adios Haron Din. Let There Be Peace’ (Selamat tinggal Haron Din. Semoga kesejahteraan bersama kamu) turut memperlihatkan kebenciannya terhadap pemimpin Pas itu.
“Dalam isu kematian Allahyarham Tuan Guru Datuk Dr Haron Din ini, bukan sahaja Jeff Ooi harus memadamkan kenyataannya di Twitter sahaja.
“Beliau juga turut mengemukakan permohonan maaf kepada ahli keluarga Allahyarham bagi menunjukkan bahawa dia benar-benar kesal” katanya dalam satu kenyataan media.
“Inilah wajah sebenar DAP apabila berhadapan dengan isu-isu yang melibatkan agamawan yang dilihat tidak selari dengan ideologi perjuangan sekular mereka.
“Buktinya, tiada pemimpin DAP yang menyatakan tidak bersetuju dengan kenyataan biadab Jeff Ooi tersebut,” katanya.
Haron 76, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada jam 10.10 pagi semalam waktu Malaysia.
Jenazah tokoh agama terkemuka itu disemadikan di tanah perkuburan Islam Five Pillars Farm Ceme Livermore, Alameda pagi tadi.
Difahamkan, Haron berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.
Haron pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital berkenaan pada 2 April 2012.
Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment