Perintah berkurung, siapa yang keluar rumah akan ditembak
BINTULU: Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem ketika berucap di Bintulu sempena Hari Malaysia malam berkata bahawa keputusan para pemimpin berbilang etnik bersetuju membentuk Malaysia adalah keputusan yang tepat dan bijaksana.
Beliau mengakui bahawa satu daripada sebab Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan Tunku Abdul Rahman yang dicetuskannya di Singapura pada 27 Mei 1961 adalah kerana pada 1962 dan 1963 Sarawak berdepan ancaman komunis.
“Pihak komunis mahu menguasai Malaya, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Sarawak yang tidak mempunyai pasukan tentera ketika itu berdepan risiko besar, lebih-lebih lagi apabila Indonesia di bawah Presiden Sukarno yang punya sembilan isteri, melancarkan Konfrontasi.
“Siapa yang menyelamatkan kita? Tidak lain tidak bukan saudara kita dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
“Siapa yang berjuang mempertahankan kita? Tidak lain daripada tentera Malaya,” tegasnya.
Banyak nyawa tentera yang terkorban dan ‘perintah berkurung’ diisytiharkan apabila penduduk tidak dibenarkan keluar rumah.
Sesiapa yang berkeliaran di luar rumah berdepan risiko ditembak.
Bagi Adenan, mereka inilah yang menyelamatkan Sarawak daripada cengkaman komunis.
Mengakui hakikat bahawa banyak yang telah dicapai dari segi sosioekonomi, namun beliau sedar masih ada ruang untuk memperbaiki keadaan.
Para pemimpin Sabah dan Sarawak menjelang pembentukan Malaysia pada 1963 telah dijanjikan pembangunan ekonomi, sosial dan prasarana oleh pemimpin Tanah Melayu ketika itu dengan membawa mereka ke negara berkenaan dalam program lawatan sambil belajar sehingga akhirnya mereka terpujuk.
“Masih banyak yang perlu dilakukan supaya kita setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung. Tetapi kita tidak boleh nafikan banyak pembangunan sosioekonomi, pelajaran dan sebagainya,” jelas beliau.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya turut memberi jaminan bahawa pembangunan berteraskan prinsip keterangkuman dan kesimbangan akan dilaksanakan, termasuk tidak melupai Sarawak.
Tunku lebih 50 tahun lalu menyatakan bahawa pentingnya pembentukan persekutuan Malaysia terdiri daripada Sabah, Sarawak, Tanah Melayu, Brunei dan Singapura kerana ia mendatangkan faedah dari segi politik dan ekonomi,
Selain itu, beliau berkata, pengumpulan sumber hasil bumi dan sumber manusia yang begitu kurang di Borneo, akan membawa kebaikan bersama.
Pembentukan Malaysia, jelas beliau, akan menyatukan semua wilayah kerana penduduknya memiliki persamaan dari segi sejarah dan budaya.
Dari segi politik pula, pembentukan Malaysia dapat membendung ancaman dan gugatan komunis. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment