Sarawak mahu penglibatan aktif dalam industri minyak dan gas, bukan berstatus pemerhati – Tok Nan
BINTULU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem semalam menegaskan Petronas harus mengutamakan syarikat-syarikat Sarawak dalam setiap projek yang dilaksanakannya.
Menurutnya, dengan telaga minyak dan gas berada di kawasan perairan Sarawak, negeri itu tidak mahu sekadar menjadi penonton.
“Kami mahu terlibat sama secara aktif,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia Kakitangan Petronas bersama Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak di Dewan Suarah Bintulu, dekat sini.
Adenan berkata, peluang seharusnya diberikan kepada syarikat-syarikat ini jika mereka berkelayakan.
“Sekiranya tidak, kekayaan sumber minyak dan gas negeri ini tidak akan bermakna,” katanya dengan nada serius.
Oleh itu katanya, pihaknya meminta sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk memastikan permintaan ini direalisasikan.
Petronas mempunyai pelaburan lebih RM300 bilion di negeri Sarawak menerusi pelbagai projek meganya, terutamanya di kawasan Miri dan Bintulu.
Mengulas isu pengambilan kakitangan baharu Petronas dari negeri ini, Adenan berkata, tidak timbul soal rakyat Sarawak tidak berkelayakan kerana sejarah membuktikan banyak dalam kalangan anak negeri ini yang telah berjaya baik sewaktu berkhidmat dengan Petronas mahupun Shell.
“Malah ramai anak Sarawak yang kini berkhidmat di luar negara dalam industri yang sama,” jelasnya.
Selain itu, sejarah membuktikan telaga minyak pertama negara ditemui di Miri sehingga kawasan itu dilabelkan sebagai ‘Shell Town’, lebih awal dari penubuhan Petronas.
“Miri yang lebih dahulu ditemukan telaga minyak…. yang pertama dan terawal di Malaysia.
“Usia Petronas pun baharu 40 tahun. Jadi, janganlah kata tiada anak Sarawak yang layak! Itu alasan yang tidak dapat diterima akal!
Katanya, pelantikan anak Sarawak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas sepatutnya sudah lama dilaksanakan memandangkan minyak disedut dari perairan negeri ini.
“Mengapa selama ini kita tidak diberikan jawatan ini… kita pun tidak tahu.
“Malah saya pun tidak tahu kenapa Universiti Teknologi Petronas dibina di Tronoh, Perak walhal di situ tidak ada minyak dan gas,” katanya.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Seri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment