Zika: Mangsa ketujuh, warga emas dari Kota Kinabalu
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengesahkan bahawa seorang warga emas wanita dari Kota Kinabalu menjadi mangsa ketujuh jangkitan virus Zika di negara ini.
Menurutnya, pada 28 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima laporan mengenai jangkitan Zika melibatkan seorang wanita berumur 60 tahun itu, menjadikan ia kes kedua bagi negeri Sabah.
“Pada 24 September, pesakit hanya mengalami gejala ruam dan telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta pada keesokannya sebagai pesakit luar.
“Pesakit tersebut yang disyaki menghidap jangkitan Zika telah disahkan positif untuk ujian sampel darah dan air kencing oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Siasatan lanjut kemudian mendapati pesakit ini tidak pernah melawat negara yang endemik jangkitan Zika dalam masa terdekat mahupun berjumpa dengan mana-mana pesakit Zika.
“Pada masa yang sama, suami serta anak pesakit yang tinggal serumah juga tidak menunjukkan sebarang gejala dan tanda-tanda penyakit Zika,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, aktiviti kawalan iaitu larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus telah dilaksanakan terhadap 258 buah premis di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit.
Bermula dari 1 September hingga 29 September lalu, sebanyak tujuh kes positif Zika dilaporkan di seluruh negara.
“Bagi tempoh sama, pemantauan KKM juga mendapati sebanyak 163 kes yang mempunyai gejala dan tanda-tanda jangkitan Zika telah dilaporkan, namun kesemuanya menunjukkan keputusan ujian yang negatif.
Menurut Noor Hisham lagi, bagi individu yang mengalami demam, ruam, konjunktivitis dan lain-lain gejala Zika serta pernah melawat ke negara endemik Zika atau mempunyai kontak kepada pesakit Zika, mereka hendaklah berjumpa doktor dengan segera.
“Mereka juga dinasihatkan untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes dengan menggunakan repelen atau pakaian cerah serta menutup anggota badan.
“Penggunaan aerosol juga digalakkan di dalam rumah terutama di bawah meja, belakang langsir atau tempat-tempat yang gelap.
Semburan aerosol juga boleh dilakukan pada waktu nyamuk aktif menggigit iaitu di antara jam 5 hingga 7 pagi dan 5 hingga 7 petang.
Yang lebih penting katanya, masyarakat diseru untuk melaksanakan aktiviti menghapuskan tempat pembiakan Aedes. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment