Opera Neon – Pelayar Web Eksperimental Untuk Desktop
Opera boleh dikatakan sering mengintegrasikan pelbagai ciri-ciri menarik baru pada pelayar web mereka sebelum pengeluar lain. Terkini, bergerak selangkah kehadapan, Opera hadir dengan sebuah pelayar web eksperimental dan berbentuk konsep, dipanggil sebagai Opera Neon.
Opera Neon ini dibangunkan berasaskan kepada enjin Chromium – seperti yang digunakan pada Chrome dan juga Opera. Namun, apabila memulakannya sendiri, ia menawarkan rekaan dan antaramuka yang jauh berbeza dengan sejumlah pelayar web lain di pasaran.
Opera Neon memaparkan bar URL pada bahagian tengah, dan bukannya pada bahagian atas seperti sejumlah pelayar web lain. Ia juga menggunakan gambar latar sama seperti gambar latar desktop anda, disamping turut hadir dengan beberapa menu pantas pada bahagian kiri. Pada bahagian kanan pula, Opera Neon akan memaparkan halaman tab yang dibuka oleh pengguna pada sesuatu masa.
Menariknya juga, ia hadir dengan sokongan pop-out untuk sebarang media yang dimainkan. Ini bermakna, anda boleh membuka sebarang halaman video atau audio, memainkannya, dan pada masa yang sama mengikuti atau melayari web-web lain ketika menikmati media yang dimainkan.
Daripada percubaan ringkas kami, Opera Neon ini dilihat berfungsi dengan pantas, dan beroperasi seumpama desktop tersendiri yang hanya memfokuskan pelayaran web. Ia masih tidak menyokong sebarang pemalam buat masa ini, dan boleh dikatakan pada peringkat awal pembangunan.
Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Opera Neon ini pada Mac atau Windows hari ini – dan berkongsi dengan kami apakah perkara yang anda minat dan sebaliknya pada pelayar web ini.
Muat-Turun Opera Neon untuk desktop
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2ivk4Lj
Post a Comment