Orang Melayu suka sangat main bola sepak: Ini kisah sejarah bola sepak negara
Nama negara kita sekali lagi harum di mata dunia baru-baru ni, bila Faiz Subri berjaya menang Anugerah Puskas FIFA 2016. Dia jugak jadi orang Asia pertama yang menang anugerah tersebut.
Sebenarnya, anugerah ni dinamakan bersempena dengan nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas. Dia ni striker Real Madrid masa zaman 1950-an dan 60-an dulu. Anugerah ini mula diberikan sejak tahun 2009 dan Faiz adalah orang ke 8 yang menang anugerah ni selain Cristiano Ronaldo yang jadi orang pertama memenanginya.
Oleh itu, SOSCILI kali ni nak bercakap perkara yang berbeza sikit tentang sukan bola sepak Tanah Air. Kami jugak berbesar hati sebab diberi peluang untuk berbual dengan pengkritik sukan dan sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim untuk berbicara tentang sejarah kegemilangan, pencapaian dan kemerosotan sukan bola sepak negara.
British galakkan sukan, sebab orang Melayu suka sangat main bola sepak
Sejak awal tahun 1900an, British mula memperkenalkan sukan moden yang kita kenal sekarang, seperti bola sepak, hoki, kriket dan rugbi. Tapi apa yang menariknya, British nampak orang Melayu ni suka sangat main bola sepak.
“Orang Melayu entah macam mana, sangat suka dan jatuh cinta dengan bola sepak. Jadi pada 1909, British tubuhkan The Malaya Football Association di Singapura.
“Tapi ia hanya terbuka untuk kelab bola sepak Melayu sahaja. Lepas 2 tahun saja di Singapura, sudah ada 50 kelab bola sepak Melayu!” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Dengan jumlah kelab yang banyak tu, bukan semuanya terdiri dari orang Melayu Singapura. Tapi jugak disertai oleh orang Melayu di Tanah Melayu terutamanya dari negeri Johor. Manakala kat Selangor pulak, British tubuhkan Selangor Amateur Football League pada 1905.
Ketika itu terdapat dua jenis kelab bola sepak kat Selangor iaitu kelab yang terdiri daripada pemain-pemain British dan kelab yang terdiri daripada pemain-pemain tempatan dan Asia. Perkembangan ni dapat sambutan sebab British ketika itu sangat menggalakkan sukan di kalangan masyarakat. Mereka anggap yang sukan ni dapat menyatukan rakyat.
“Pihak British sangat mengutamakan sukan. Jadi tiap-tiap kampung ada padang bola sepak, tiap-tiap bandar yang besar tak kurang dari dua atau tiga padang bola sepak. Sekolah Inggeris kerajaan ada dua padang bola sepak dan guru besar sekolah mesti mengutamakan sukan.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Jadi dari maklumat yang kita dapat ni, sememangnya budaya sukan tu dah lama wujud kat negara kita ni. Terutamanya bila orang Melayu ketika itu sangat suka main bola sepak sehingga menyebabkan British menggalakkan aktiviti sukan dalam masyarakat.
Tunku Abdul Rahman jadi Presiden FAM dan AFC
Sebelum Perang Dunia Ke 2, Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka) adalah padang yang paling penting untuk perlawanan sukan termasuk bola sepak, bukan je untuk Selangor tapi seluruh Tanah Melayu. Lepas Perang Dunia Ke 2, barulah Tamilian Physical Cultural Association (TPCA) jugak buka stadium baru yang sekarang dikenali sebagai Stadium Jalan Raja Muda.
“Bila Stadium Jalan Besar di Singapura siap pula, stadium tu jadi stadium utama di seluruh Singapura dan Tanah Melayu. Bila ada perlawanan akhir Piala Malaya, ia selalunya diadakan di situ.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Pada tahun 1951, Tunku Abdul Rahman dilantik menjadi Presiden Malayan Football Association (sekarang FAM) dan jadi orang tempatan pertama yang memegang jawatan tersebut. Pestabola Merdeka (Merdeka Tournament) pun mula diadakan pada 1957, atas idea Tunku Abdul Rahman.
Pestabola Merdeka jugak diiktiraf sebaga kejohonan bola sepak tertua di Asia! Tapi apa yang mengecewakan adalah Pestabola Merdeka sekarang dah takde, walaupun ada gesaan sesetengah pihak untuk mengembalikannya.
Apa yang lebih menarik, pada 1958 Tunku dilantik pula sebagai Presiden Asian Football Confederation (AFC). Ketika itu jugak, Tunku telah perkenalkan Asian Youth Under 19 Championship yang juga dikenali sebagai Rahman Gold Trophy.
Disebabkan itu, kebanyakkan mesyuarat AFC diadakan di Kuala Lumpur. Selama 19 tahun Tunku memegang jawatan tersebut, beliau diiktiraf sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menaikkan taraf sukan Asia dan kedudukan AFC sendiri.
Pemain lagenda ini pernah jaringkan 13 gol dalam satu perlawanan!
Kalau bercakap pasal kegemilangan bola sepak, tak terlepas untuk bercakap soal pemain-pemainnya. Menurut Prof Khoo Kay Kim, Tanah Melayu dan Singapura sejak zaman sebelum Merdeka lagi dah lahirkan ramai pemain-pemain bola sepak yang hebat.
Sebagai contoh sebelum Perang Dunia ke 2, ada satu nama yang cukup terkenal kat Singapura iaitu Dol Fatah. Dol Fatah dikatakan sangat diminati dan dikagumi oleh orang Singapura dan Tanah Melayu ketika itu.
“Sebelum Perang Dunia Ke 2, pemain bola sepak di Singapura itu luar biasa. Ketika itu nama yang paling terkenal adalah Dol Fatah. Sebab itu ramai bapa-bapa Melayu namakan anak mereka Abdul Fatah.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Lepas Perang Dunia ke 2, Tanah Melayu dan Singapura terus melahirkan ramai pemain bola sepak handalan macam Dolah Don, Shariff Madon, Awang Bakar dan sebagainya. Sebagai contoh: kehebatan Dolah Don diiktiraf sendiri oleh Presiden Indonesia, Soekarno yang menggelarkannya sebagai ‘Harimau Malaya’.
“Awang Bakar seorang yang luar biasa dalam satu perlawanan di Singapura semasa pasukannya berlawan dengan pasukan tentera British. Pasukannya menang 13-0 dan dia yang menjaringkan 13 gol itu!” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Untuk maklumat, Awang Bakar adalah pemain bola sepak Singapura pada era 1950an dan dia berjaya bantu Singapura menang Piala Malaya sebanyak 4 kali. Dalam tiga musim pertamanya di Piala Malaya, Awang Bakar dah jaringkan 35 gol.
Dalam hanyatnya, dia jugak pernah ditawarkan berlakon dalam filem Darah Ku terbitan Keris film studio, tapi ditolak olehnya. Bagaimanapun, pada 1 Julai 1964, beliau telah rebah dalam satu perlawanan. Dia telah dikejarkan ke hospital, tapi Allah lebih menyayanginya apabila dia disahkan meninggal dunia 30 minit selepas itu.
Pemergiannya diratapi oleh seluruh peminat bola sepak Singapura dan Malaya ketika itu. Bagaimanapun, malangnya nama insan yang hebat ini semakin dilupakan dalam lipatan sejarah.
Kisah Malaysia di peringkat Olimpik
Seperti mana yang kita semua tahu, pasukan bola sepak kita pernah masuk Olimpik pada 1972 dan melayakkan diri ke acara sukan tersebut pada 1980. Walaupun begitu ada kisah di sebalik penglibatan kita dalam Sukan Olimpik.
“Kita punya pertubuhan Olimpik (Majlis Olimpik Malaya/Malaysia) hanya ditubuhkan pada tahun 1953. Kalau tiada pertubuhan, kita tak boleh ambil bahagian. Tapi Singapura lebih awal dari kita, Singapura ada pertubuhan Olimpik pada 1947. Sebab itu masa Olimpik 1952, kita tak boleh ambil bahagian.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Masa Sukan Olimpik Moscow 1980, Malaysia berjaya melayakkan diri sekali lagi ke acara sukan tersebut. Kita jugak berjaya kalahkan Korea Selatan 3-0, seri 1-1 dengan Jepun, kalahkan Brunei 3-1, belasah Indonesia 6-1 dan belasah Filipina 8-0 di peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, hasrat Malaysia untuk pergi lebih jauh tak kesampaian bila kita ambil tindakan memboikot acara sukan itu kerana membantah serangan Soviet Union ke atas Afghanistan. Tindakan ini diambil selepas Amerika Syarikat mengetuai gerakan memboikot tersebut.
“Kita suatu masa dulu sangat mengutamakan Amerika. Mungkin sekarang kuranglah. Tapi sebelum Perang Dunia Ke 2, negeri yang paling banyak membeli getah dan bijih timah dari Tanah Melayu adalah Amerika. Walaupun melalui Britain, tapi Amerika yang paling banyak membelinya.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Gerakan memboikot itu jugak disertai lebih dari 60 buah negara. Sejarah juga merakamkan Sukan Olimpik Moscow 1980, sebagai sukan Olimpik pertama yang diadakan di sebuah negara sosialis.
“Ibu bapa dan sekolah sekarang dah tak pentingkan sukan” – Khoo Kay Kim
Bagi Prof Khoo Kay Kim, ibu-bapa dan sekolah sekarang dah tak pentingkan sukan tapi pentingkan berapa banyak ‘A’ yang anak dan pelajar diorang boleh dapat. Katanya lagi, kalau dilihat sejak zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka (sehingga 1980an), sukan sangat dipentingkan kat sekolah.
“Itulah sebabnya bila ibu bapa mahu anak mereka dapat banyak ‘A’ dalam peperiksaan. Jika zaman dulu, kami pergi ke sekolah dan sekolah habis dalam jam 1pm lebih kurang. Tapi jam 4pm atau 4.30pm, kami sudah berada di padang.
“Sekarang, sekolah sendiri pun ada kelas tambahan di sebelah petang. Zaman kami dahulu, guru besar sendiri yang menggalakkan sukan di sekolah.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Selain itu, kemerosotan ni jugak disumbangkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sekarang ni dipimpin oleh orang-orang yang tak faham pasal bola sepak. Tak ditolak jugak faktor mengejar wang dalam sukan. Peristiwa skandal rasuah tahun 1994 jugak menjadi punca kejatuhan bola sepak Malaysia.
“Saya rasa masalah FAM itu adalah kerana mereka dalam FAM itu bukan yang benar-benar faham tentang bola sepak. Itulah masalahnya.
“Pada tahun 1990an, bookie mula mengganggu bola sepak. Masalah juga bermula bila kita memperkenalkan profesionalisme dalam bola sepak. Dulu pemain mana ada gaji, mana ada diberi wang, mereka memang betul-betul berusaha untuk menang. Tapi sekarang semuanya wang.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Boleh ke kita kembalikan zaman kegemilangan sukan negara?
Perbezaan ketara dalam sukan bola sepak yang kita ada sekarang adalah kurangnya pemain berbilang kaum, jika nak dibandingkan dengan suatu masa dulu. Kalau dulu, kita boleh nampak pasukan bola tu terdiri daripada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain, tapi sekarang agak sukar untuk kita nampak keadaan tersebut.
“Sekarang orang Cina dan India pun dah kurang atau mungkin tak main lagi bola sepak. Sebab masyarakat kita sekarang lebih mengutamakan wang. Jadi bagi orang Cina, wang sangat penting, bila main bola sepak tak boleh jadi jutawan. Orang India pula kerana bilangan mereka agak kecil dan tiada pertubuhan yang boleh membantu mereka.
“Mereka juga ada masalah terutama selepas 1957, bila banyak ladang getah milik orang Barat dijual. Buruh di estet itu tiada kerja dan mereka perlu berhijrah ke bandar mencari kerja tapi ramai yang menganggur. Jadi mereka tiada masa untuk bola sepak, walaupun begitu masih ada beberapa juga yang terlibat dalam bola sepak. – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Jadi, boleh ke kita kembalikan kegemilangan sukan dalam negara kita ini? Jawapannya masih boleh jika kita serius berusaha mengembalikannya. Terutamanya di kalangan masyarakat dan pemerintah. FAM jugak perlu diterajui oleh mereka yang benar-benar faham dengan bola sepak dan begitu juga dengan pertubuhan-pertubuhan sukan lain.
“Kalau pemimpin kita memainkan peranan yang aktif (dalam memajukan sukan). Seperti mana yang kita lihat masa zaman British dulu, mereka sangat mengutamakan sukan. Kalau kita lihat balik sejarah, zaman kemuncak sukan kita adalah masa zaman darurat.
“Masyarakat kita masa tu sangat aktif dalam sukan. Malah di kampung-kampung baru Cina sendiri ada pertandingan bola keranjang. Siapa ada masa untuk komunis. Bila pemimpin tak mementingkan sukan, maka rakyat pun akan ikut sama. Mereka tak akan faham sukan. Jangan kita gunakan sukan untuk mencari wang.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
Kita jangan sesekali berputus harap
Oleh itu, dari apa maklumat yang kita dapat ni, sudah terbukti yang arena sukan kita sebenarnya telah maju sejak zaman sebelum Perang Dunia ke 2 lagi. Tapi sekarang nampaknya masa depan sukan negara masih kabur untuk dijangka.
Walaupun begitu, ucapan tahniah kita ucapkan kepada para atlet negara yang telah mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik dan Paralimpik lalu. Tak lupa Faiz Subri yang berjaya merangkul anugerah Puskas FIFA 2016. Kita sebagai masyarakat jangan sesekali berputus harap untuk berusaha mengembalikan kegemilangan sukan kita sekali lagi.
“Mari kita kembali seperti zaman dahulu, bila sukan boleh merapatkan rakyat. Bukan semua yang sudah lepas itu tak baik, tapi mungkin ia lebih baik dari sekarang, jika kita tahu dan mengkajinya.” – Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, ketika ditemuramah oleh SOSCILI.
[Artikel ini banyak merujuk kepada Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim (pengkritik sukan dan sejarawan negara), buku: ‘The Encyclopedia of Malaysia: Sports and Recreation’ dan ‘Gemilang Mengharungi 50 tahun kecemerlangan Sukan‘.]
Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2iuGqMV
a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>
Post a Comment