Ulasan: Huawei P10 – Telefon Kamera Terbaik Daripada Huawei Setakat Ini
|
|
---|---|
Chipset | HiSilicon Kirin 960 |
CPU | 4 x 1.8 GHz Cortex A53 4 x 2.4 GHz Cortex-A72 |
GPU | Mali-G71 MP8 |
Memori | 4GB RAM |
Storan | 64GB, microSD sehingga 128GB |
Kamera Utama | 20MP + 12MP f/2.2, OIS, rakaman 4K |
Kamera Hadapan | 8MP, f/1.9, rakaman 1080p |
Skrin | 5.1-inci IPS-NEO LCD, 1920×1080, 423 ppi |
Sambungan | 4G LTE, WiFi a/b/g/n/ac, A-GPS, Bluetooth 4.2 |
Sistem | EMUI 5.1 + Android 7.0 Nougat |
Bateri | 3200 mAh, Huawei Super Charge |
Berat & Ketebalan | 145g, 7mm |
Jenama Huawei boleh dikatakan semakin mendapat tempat di dalam masyarakat kita pada hari ini. Dengan kehadiran peranti yang berkualiti — melalui kehadiran prestasi yang pantas, keupayaan kamera yang baik, dan bateri sepanjang hari — Huawei antara jenama yang akan memastikan ketiga-tiga aspek ini berada pada peranti mereka untuk dipasarkan kepada pengguna. Tidak hairanlah Huawei menduduki tangga ketiga di dalam kedudukan jenama telefon pintar popular dunia, yang mana hanya berada di belakang jenama Samsung dan Apple sahaja.
Tahun lalu, mereka membuat langkah yang lebih agresif melalui pengenalan peranti dengan kerjasama bersama Leica — menerusi Huawei P9 — dengan kehadiran sistem dwi-kamera. Kerjasama ini walaupun ramai yang mengatakannya lebih kepada gimik, sedikit sebanyak, ia telah menaikkan reputasi jenama Huawei untuk terus meniti di fikiran pengguna. Sebut sahaja Huawei, pastinya ramai yang mengenali “Huawei P9” atas keupayaan sistem dwi-kameranya dengan hasil kejuruteraan bersama Leica.
Tahun ini mereka masih mengekalkan kerjasama tersebut dengan membawa sistem dwi-kamera generasi kedua Leica, yana mana sebelum ini diperkenalkan pada siri Huawei Mate, dan kini melalui Huawei P-series. Sistem generasi kedua ini menggunakan teknik gabungan kamera yang sedikit berbeza, dengan membawakan sensor monokrom 20MP bersama sensor RGB 12MP berbanding menggunakan sensor 12MP secara berkembar. Gabungan sensor ini apabila dilihat pada generasi sebelumnya, ia dapat memberikan pencahayaan yang lebih baik disamping memberikan warna yang lebih neutral untuk penggambaran harian.
Huawei P10 adalah peranti flagship terkini di bawah P-series yang mana membawakan sistem dwi-kamera generasi kedua Leica seperti yang hadir pada Huawei Mate 8. Namun satu kelebihan yang telah ditambah adalah keupayaan Optical Image Stabilization (OIS) bagi meningkatkan keperincian dan mengurangkan kesan gegaran pada gambar dan video. Ia juga kini hadir dengan kamera hadapan dengan pengesahan Leica melalui kehadiran sensor 8MP f/1.9 untuk keupayaan selfie yang lebih terang dan tajam. Namun dengan harga tawaran RM2499, bolehkah ia memberikan pengalaman penggunaan kamera dan flagship yang berpatutan dengan harganya?
Rekabentuk
Huawei P10 secara kasarnya membawakan spesifikasi seumpama Huawei Mate 9 melalui kehadiran cip HiSilicon Kirin 960, memori 4GB RAM, dan storan dalaman 64GB. Spesifikasi Huawei Mate 9 ternyata dilihat berkuasa melalui ulasan saya yang terdahulu dalam memberikan prestasi yang lancar dan ketahanan bateri yang sangat lama untuk menggalas penggunaan harian pengguna. Untuk sokongan storan, ia juga masih membawakan sokongan peningkatan memori melalui kad microSD dengan had storan sehingga 128GB.
Skrin pada Huawei P10 masih mengekalkan paparan 5.1-inci seperti Huawei P9 demgan resolusi 1080p — namun kini telah ditingkatkan dengan panel berasaskan IPS NEO-LCD berbanding IPS LCD. Paparan jenis ini telah digunakan pada Honor 8 sebelum ini, dan saya boleh kata kualitinya sangat terang dan warnanya kelihatan sangat menyerlah, hampir setanding dengan panel berasaskan AMOLED. Paparan ini juga masih memberikan paparan yang tajam untuk saiz 5.1-inci, yang mana hadir dengan ketumpatan piksel setinggi 432 ppi.
Dari segi rekebentuknya, Huawei P10 kini telah membawakan rekaan yang lebih membulat sekaligus membuatkannya ia lebih berasa selesa apabila berada di tangan. Binaan belakang peranti ini juga mempunyai kemasan yang berbeza mengikut warna, satu dengan kemasan seperti logam biasa, dan satu lagi dengan kemasan “Hyper Diamond-Cut” yang membawakan permukaan seumpama kad 3D. Kemasan unik tersebut hanya ditawarkan untuk warna Dazzling Blue ataupun Dazzling Gold, dan yang menariknya, pilihan warna Dazzling Blue (dan warna Greenery) ini adalah pilihan warna yang dihasilkan bersama PANTONE.
Keseluruhan besarnya, binaan Huawei P10 amat menyerupai seperti Huawei P9 sebelum ini, terutama dari segi kedudukan butang kuasa, butang pelarasan suara, dan slot SIM/microSD. Kameranya juga masih membawakan rekaan rata, tanpa sebarang rekaan “camera bump” seperti yang hadir pada kebanyakan peranti flagship. Apa yang membezakannya adalah kedudukan pengimbas cap jari yang kini telah ditempatkan pada bahagian hadapan. Ia dibina di bawah lapisan kaca yang mana amat menyerupai seperti pengimbas cap jari yang terdapat pada peranti OnePlus 3.
Prestasi pengimbas cap jari ini dilihat amat pantas, dengan kadar tindak balas sekitar 95%, saya boleh katakan ia lebih pantas daripada OnePlus 3 dan Google Pixel sekaligus menjadikannya antara yang terpantas setakat ini. Menariknya, pengimbas cap jari ini turut boleh dijadikan sebagai butang navigasi (seperti membuat swipe ke kiri atau kanan untuk ke paparan multitasking, menekan sekali untuk back, dan hold butang ini untuk kembali ke paparan homescreen) bagi mengurangkan penggunaan kawasan skrin yang diambil oleh butang on-screen. Namun sokongan gesture pada butang ini adalah satu fungsi optional, yang mana anda boleh membuat pilihan untuk menggunakannya ataupun untuk terus menggunakan butang secara on-screen.
Sistem
Huawei P10 menjalankan antaramuka EMUI yang lebih terkini berbanding Huawei Mate 9, melalui EMUI 5.1 yang dijalankan di atas Android 7.0 Nougat. Antaramukanya kini lebih kemas dan lebih mengikuti stock Android, terutama dari segi notification panel dan paparan notifikasi yang hadir. Satu pilihan kustomasi yang ditambah adalah pilihan meletakkan app drawer berbanding meletakkan kesemua aplikasi pada homescreen bagi memudahkan pencarian aplikasi.
EMUI 5.1 memberikan lapan pilihan tema secara terbina dengan kebolehan memuat-turun tema luaran mengikut citarasa pengguna. Antaramuka ini juga masih mengekalkan fungsi knuckle gestures yang membolehkan pengguna melancarkan sesuatu tugasan, seperti mengetuk dua kali (dengan dua jari) pada skrin bagi melancarkan fungsi screen recording. Ia juga masih membawakan fungsi mini view untuk memudahkan pengguna menggunakan peranti dengan penggunaan sebelah tangan.
Satu perkara yang cukup suka adalah rekaan antaramuka aplikasi terbina daripada Huawei, seperti Calendar, Compass, dan Calculator yang digarap dengan begitu cemerlang melalui penghasilan antaramuka yang begitu minimal. Ia kelihatan ringkas, lebih selesa untuk dipandang, dengan perletakkan elemen berwarna biru untuk menonjolkan sesuatu fungsi yang ingin diketengahkan.
Dari segi kehadiran aplikasi yang tidak diundang ataupun bloatware, Huawei mengurangkan jumlah kehadirannya dengan mendatangkan hanya aplikasi Booking.com Hotels, TripAdvisor, Todoist, dan Facebook. Kesemua aplikasi ini walau bagaimanpun masih boleh dibuang sekiranya anda tidak ingin menyimpan dan menggunakannya.
Prestasi
Satu perkara yang saya cukup puji dengan Huawei adalah teknologi machine learning yang dibuat pada EMUI 5.1 ini yang menjadikan Huawei P10 amat pantas tidak kira apa jua jenis penggunaan. Membuka dan membuat penukaran aplikasi terasa seperti sekelip mata tanpa sebarang isu lag dan frame drop pada animasi yang dipaparkan. Saya boleh kata, EMUI 5.1 antara skin yang memberikan prestasi terpantas untuk peranti Android (dengan antaramuka tersendiri), tanpa dibebankan dengan sebarang isu prestasi.
Perkara ini juga banyak dibantu melalui penggunaan cip pemprosesan hasilan Huawei sendiri melalui cip HiSilicon Kirin 960 yang amat pantas dan efisien. Melalui bacaan benchmark pada AnTuTu, prestasinya hampir setara dengan cip Qualcomm Snapdragon 820 melalui bacaan mata sekitar 123,439. Penggunaan memori setinggi 4GB RAM juga turut memberikan keperluan multitasking yang amat pantas, mampu menahan sejumlah besar aplikasi daripada di-reload selepas mengakses semula aplikasi tersebut daripada berjalan di belakang tabir.
Begitu juga dari segi permainan, memainkan permainan dengan grafik yang intensif dapat dimainkan dengan begitu lancar. Memainkan permainan kegemaran seperti Dream League Soccer 2017, GTA: San Andreas, dan Bully: Anniversary Editon dapat dimainkan dengan frame rate yang konsisten tanpa sebarang isu. Dengan kehadiran grafik yang dioptimasikan oleh Vulkan API, Huawei P10 juga mampu memberikan kualiti bergrafik tinggi pada sejumlah permainan yang menyokong piawaian ini melalui akses kepada pemprosesan grafik secara mendalam.
Kamera
Sistem dwi-kamera Huawei P10 masih menggunakan teknik yang digunakan pada Huawei Mate 9 dengan kehadiran sensor monokrom 20MP dan sensor RGB 12MP. Namun fungsi yang menjadikan Huawei P10 lebih kehadapan dalam aspek ini adalah kehadiran sistem penstabilan imej Optical Image Stabilization (OIS) untuk meningkatkan kualiti dan ketajaman pada gambar.
Ketika menguji kamera Huawei P10, saya dapati prestasi low-lightnya adalah jauh lebih baik berbanding Huawei P9 dengan pengurangan noise yang begitu minima. Warnanya dilihat lebih “pop” dan lebih neutral berbanding peranti Huawei Mate 9 sekaligus menjadikan kamera peranti ini antara yang terbaik pada peranti Huawei setakat ini. Dengan kehadiran sistem OIS, membuat penggambaran slow shutter juga adalah lebih mudah dilakukan walaupun ketiadaan tripod di sisi.
Mengambil gambar monokrom melalui Huawei P10 juga adalah suatu nikmat yang tidak dapat didustakan atas keperincian imejnya yang amat tajam dengan perwarnaan yang begitu mendalam. Kawalan highlights peranti ini dapat menganalisa pencahayaan dengan begitu seimbang sekaligus mengurangkan masalah gambar yang terlalu gelap. Kehadiran sensor monokrom 20MP secara natif dan kawalan manual seperti penukaran tetapan ISO dan shutter speed, amat membantu Huawei P10 kelihatan lebih menonjol untuk keperluan penggambaran hitam dan putih pada telefon mudah-alih.
Satu keupayaan yang telah ditambahbaik pada Huawei P10 adalah keupayaan Aperture Mode yang memberikan kesan bokeh yang lebih baik dari segi keperincian di sisi objek. Ia lebih tepat dan konsisten apabila dibandingkan dengan Huawei P9, dengan keperincian objek yang lebih tajam. Seperti sebelumnya, kedudukan dan kekuatan bokeh pada sesuatu objek masih boleh diubah ketika atau selepas mengambil gambar.
Huawei P10 turut mendatangkan fungsi baru iaitu Portrait Mode yang memberikan penggambaran ala Leica melalui kesan bokeh + beautify mode + kesan vignette pada gambar. Penggambaran ini sememangnya dapat memberikan mood “Leica” dan kelihatan amat profesional lebih-lebih lagi digunakan untuk mengambil gambar bangunan dan kehidupan. Fungsi ini masih memberikan kawalan manual untuk mengubah tahap untuk kesan beautify dan vignette yang mana boleh dikawal melalui viewfinder.
Huawei turut membawa jenama Leica pada kamera hadapan P10 melalui sensor 8MP f/1.9. Ia juga membawakan fungsi Portrait Mode seperti kamera utama, termasuk kehadiran kesan bokeh pada selfie (yang dibuat melalui kawalan software). Kualiti bokeh selfie yang dibuat melalui software ini sering memberikan kesan yang tidak tepat, dan saya lebih menyarankan untuk kekal bersama mode penggambaran biasa untuk selfie. Satu fungsi baru yang hadir untuk digunakan kamera hadapan ini ialah fungsi perfect selfie — membolehkan anda mengubah wajah anda seperti pembesaran mata dan tahap kemulusan kulit.
Fungsi videonya juga menawarkan prestasi rakaman harian yang baik terutama dari segi pencahayaan dan perwarnaan pada setiap rakaman yang diambil. Cuma mutu rakamannya masih tidak dapat menandingi Galaxy S7, Google Pixel, mahupun iPhone 7 yang mana keperincian videonya masih soft dan tidak begitu tajam. Tahap penstabilan videonya juga masih kurang memuaskan berbanding ketiga-tiga peranti tersebut, yang mana masih memberikan kesan gegaran yang sedikit jelas. Tetapi audio melalui rakaman video ini amat jelas yang mana mampu menangkap bunyi sekeliling dengan begitu efektif.
Bateri
Selain memberikan kemampuan kamera yang baik, prestasi bateri Huawei P10 turut dipuji atas kemampuan memberikan bacaan Screen-on-Time (SoT) 9 jam 21 minit untuk penggunaan sepanjang hari. Bacaan ini masih setara dengan apa yang ditawarkan pada Huawei P9, namun kini ia lebih efisien untuk memanjangkan lagi masa bertahan peranti. Sekiranya Huawei P9 mampu memberikan SoT 9 jam untuk penggunaan 18 jam, Huawei P10 mampu mencapai SoT yang sama dalam masa 24 jam.
Masa pengecasan peranti turut dikurangkan dengan penggunaan pengecasan pantas yang standard melalui teknologi Huawei Super Charge. Teknologi ini mampu menyingkatkan masa pengecasan peranti dengan mengambil masa sekitar 30 minit untuk mencapai kapasiti pengecasan peranti sekitar 53%. Namun untuk mengecas penuh peranti ini, Huawei P10 memerlukan masa di bawah 1 jam 30 minit yang mana masih dianggap pantas.
Huawei turut membekalkan aplikasi pengurusan tenaga pada tetapan bateri yang mana membolehkan pengguna mengubah tahap penggunaan kuasa pada peranti. Dua pilihan yang boleh diaktifkan adalah melalui penggunaan power saving mode atau ultra mode dalam memanjangkan lagi masa ketahanan bateri (dengan pengurangan prestasi dan fungsi). Ia juga membenarkan pengguna untuk merendahkan resolusi pada skrin yang turut membantu dalam mendapatkan penggunaan peranti dengan lebih lama.
Rumusan
Sepanjang menggunakan Huawei P10, saya cukup suka dengan apa yang ditawarkan sehinggakan saya sukar untuk melepaskan peranti sebagai peranti harian saya. Kebolehan kameranya yang kini lebih tajam, warna gambarnya yang lebih menyerlah, dan rekaannya yang begitu elegan, ia salah satu peranti kegemaran saya untuk tahun ini. Keupayaan kamera yang baik sentiasa menjadi kriteria utama saya dalam memilih peranti untuk digunakan sepanjang hari.
Huawei P10 juga dilihat cemerlang dari sudut prestasinya yang mana banyak dibantu melalui cip 16nm HiSilicon Kirin 960 bersama keupayaan artificial inteligent (AI) untuk terus melancarkan prestasi telefon ini. Dengan penambahan memori setinggi 4GB RAM, ia dapat menggalas aplikasi yang sedang berjalan dengan lebih lagi pada paparan multitasking. Ketahanan baterinya juga masih kukuh seperti Huawei P9 sebelum ini dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) setinggi 9 jam untuk masa bertahan sekitar 24 jam.
Huawei P10 turut membawa penambahbaikan kecil seperti kehadiran prestasi pengimbas cap jari yang amat pantas, menewaskan pesaing terdekat seperti peranti OnePlus 3. Begitu juga masa pengecasannya, ia kini menggunakan pengecasan standard Huawei Super Charge yang lebih pantas berbanding standard pengecasan pada Huawei P9. Satu lagi perkara yang ditingkatkan ialah ketahanan peranti yang mana lebih melindungi daripada air apabila peranti dijatuhkan ke cecair ini secara tidak sengaja.
Sekiranya saya perlu mencari kelemahan P10, ada dua perkara yang saya ingin ketengahkan. Yang pertama adalah ketiadaan IR blaster yang saya kira tidak lagi perlu untuk ditawarkan secara eksklusif pada variant “Plus” sahaja setelah melihat fungsi ini pada harga peranti yang lebih rendah melalui Honor 8. Satu lagi perkara adalah dari segi rakaman videonya yang masih tidak begitu stabil dan lancar apabila dibandingkan dengan flagship-flagship utama seperti Galaxy S7 dan Google Pixel.
Pro
- Rekaan peranti dibina dengan begitu kukuh dan elegan
- Pengimbas cap jari mampu bertindak dengan amat pantas
- Kualiti skrin IPS-NEO LCD sangat terang, memberikan hasil paparan seumpama skrin AMOLED
- Kemampuan kamera lebih tajam, lebih terperinci, lebih neutral, dan lebih mesra low-light
- Hadir dengan prestasi harian dan permainan yang begitu pantas
- Penggunaan 4GB RAM memberikan pengalaman multitasking yang sangat lancar
- Ketahanan bateri dengan bacaan Screen-on-Time (SoT) melebihi 9 jam
- Hadir dengan pengecasan pantas Huawei Super Charge (53% dalam 30 minit)
- Masih menawarkan slot microSD walaupun peranti didatangkan dengan storan 64GB
Kontra
- Tiada IR Blaster
- Rakaman video masih memberikan hasil yang soft dan tidak tajam
Namun apabila dinilai dari aspek fotografi, ia mempunyai kelebihan yang cukup tinggi dengan hasilan imej menyerlah yang terperinci — baik siang ataupun malam — serta kawalan manual kamera yang sangat menyeluruh pada sesebuah telefon pintar. Kebolehan penggambaran monokrom secara natif pastinya membuatkan penggemar penggambaran jenis ini akan menghargai kualiti gambar yang tajam bersama warna hitam dan putihnya yang lebih mendalam.
Sekiranya anda memiliki Huawei P9, P10 masih menawarkan pembelian yang berbaloi untuk anda, atas kebolehan penggambaran low-light, sokongan OIS, rakaman 4K, kamera selfie yang lebih tinggi, dan peningkatan prestasi yang lebih pantas dan lancar. Bagi pengguna baru, lebih-lebih lagi yang menginginkan keupayaan kamera yang cemerlang, Huawei P10 adalah pilihan yang tepat untuk peranti dengan keupayaan sistem dwi-kamera terbaik di pasaran setakat ini.
>Untuk meneruskan bacaan klik link ini http://ift.tt/2n9QehF✍ Sumber : ☕ Amanz
Mukah Pages memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap jam tanpa henti dari pelbagai sumber. 📲 📖 Enjoy dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share!
Post a Comment