6 Perkara Mengecewakan Pada iPhone X
Semalam kami menyenaraikan 10 perkara menarik pada iPhone X dan iPhone 8. Ia mungkin bukan inovasi besar jika dibandingkan dengan apa yang boleh ditemui pada Android tetapi ia perubahan yang positif iPhone. Setiap yang baik pasti mempunyai sedikit keburukan. Di bawah ialah senarai 6 perkara yang mengecewakan pada kedua-dua model baru iPone
1.Skrin OLED Dengan Senggatan Aneh Dan Tidak Seterang Pesaing
Skrin OLED akhirnya digunakan dengan sokongan HDR. Dua markah untuk Apple kerana akhirnya mengikut peredaran zaman. Tetapi skrin OLED pada iPhone X ini mempunyai senggatan seakan gigi rongak yang besar pada bahagian atas bagi meletakkan kamera dan sensor untuk sistem FaceID.
Apabila menonton video, pengguna boleh memilih untuk menggunakan kesemua skrin. Ini fungsi yang boleh ditemui pada LG V30 dan Samsung Galaxy S8. Perbezaannya ialah pada dua peranti Android ini, fungsi skrin penuh ini benar-benar menggunakan keseluruhan skrin tanpa halangan senggatan hitam yang aneh. Ini mengakibatkan paparan video skrin penuh pada iPhone X kelihatan sedikit cacat.
Pada permua pula sebahagian ruang permainan kini tersorok. Bayangkan ketika bermain Vainglory, terdapat musuh yang tidak dapat dilihat keran terselindung di sebalik senggatan. Kebanyakan permua turut menggunakan sisi kiri skrin untuk meletakkan butang kawalan. Di dalam mod skrin penuh butang mungkin tidak dapat ditekan.
“Kalau begitu jangan main skrin penuh!”. Ya betul tetapi anda harus ingat mendiang Steve Jobs ialah seorang yang perfectionist. Beliau mementingkan antaramuka yang sempurna dalam segala situasi. Selepas kematian beliau keperincian dalam memastikan antaramuka adalah sentiasa sempurna mati bersama beliau dan hasilnya ialah iPhone X. Jika Samsung dan LG boleh melakukan mod skrin penuh yang sempurna, apa alasan Apple gagal melakukannya?
Akhir sekali ialah keterangan. Skrin OLED iPhone X mempunyai keterangan 625 nits. Skrin Galaxy S7 Edge tahun lalu ialah 705 nits. Galaxy S8 dan Note 8 masih-masih mempunyai keterangan 1000 dan 1200 nits. Mengapa ini penting? Apabila menonton kandungan HDR, keterangan skrin adalah penting. Skrin iPhone X tidak setanding skrin peranti utama Samsung tahun lalu.
2.Tiada Butang Home
Selamat tinggal butang home (2007-2017). Butang home fizikal yang ikonik ini wujud pada iPhone X bagi merealisasikan peranti dengan rekaan semua-skrin. Bagi menggantikannya Apple tidak menyertakan butang maya. Sebaliknya talam berwarna hitam perlu ditarik ke atas sebagai ganti. Ini akan kami terangkan dengan lebih lanjut di perkara seterusnya.
Apple bukan syarikat pertama yang terpaksa berhenti menggunakan butang fizikal. Samsung turut melakukan perkara yang sama. Ironi di sini ialah Samsung tidak mempunyai masalah meletakkan butang home di atas skrin yang boleh ditekan bila-bila masa dengan timbal balas haptik seakan 3D Touch.
Samsung mempunyai jalan penyelesaian tiada butang home fizikal yang lebih mesra pengguna berbanding Apple. Jika anda katakan perkara ini kepada saya lima tahun yang lalu saya akan ketawa besar. Tetapi hakikatnya fungsi butang home atas skrin Samsung jauh lebih logikal.
3.Fungsi Tatalan Yang Tidak Konsisten Dengan iOS Sebelum Ini.
Tiada lagi butang home dan Apple memperkenalkan sistem baru untuk kembali ke skrin utama, multi tasking dan Control Center. Untuk kembali ke skrin utama tatal dari bawah skrin ke atas. Untuk multi tasking pula tatal dari bawah sehingga separuh skrin dan berhenti seketika.
Untuk Control Center yang selama ini menggunakan gerakan tatalan dari bawah ke atas (yang kini digunakan untuk kembali ke skrin utama), pemilik iPhone X perlu menatal dari bucu atas sebelah kanan skrin. Tatalan atas ke bawah dari tengah skrin akan menurunkan talam notifikasi. And One More Thing, tatalan dari tengah skrin ke atas akan melancarkan fungsi Search.
Kesemua ini tidak konsisten dengan rekaan antaramuka yang diperkenalkan sejak iOS 7. Pengguna iPhone dari turun temurun terpaksa mempelajari semula kesemua gesture di atas. Secara harfiah ia kini tunggang terbalik.
4.FaceID Tidak Sepantas Dan Semudah TouchID
Di dalam acara semalam, Apple mengatakan FaceID lebih selamat berbanding TouchID. Kebarangkalian ia dipintas ialah satu dalam sejuta. Ketika demo dilakukan ia gagal berfungsi pada percubaan pertama. Sebagai pemilik iPhone 6 dan 7 Plus, TouchID ialah antara pengimbas cap jari terpantas. Tetapi jujur kami katakan pengimbas jari pada bahagian belakang seperti pada Nexus 6P adalah pada hemat kami yang paling ergonomik.
Peranti boleh dinyahkunci dengan menggerakkan jari hantu ke pengimbas ketika ia masih di dalam kocek. Dengan FaceID peranti perlu dikeluarkan dari kocek, diangkat ke atas untuk mengaktifkan Raise To Wake sebelum kamera dihalakan pada wajah untuk imbasan dilakukan.
Sila jawab soalan ini dengan ikhlas. Di antara dua sistem nyahkunci di atas yang manakah yang anda rasakan lebih pantas dan mesra pengguna? Jika jawapan anda ialah FaceID, tahniah anda boleh memohon kerja di jabatan pemasaran Apple walaupun terpaksa berbohong dengan diri sendiri.
Tambahan lagi FaceID hanya mampu menyimpan satu wajah. TouchID membenarkan lebih dari satu cap jari. Di rumah, saya dan isteri berkongsi iPhone bagi memudahkan proses nyahkunci (tiada rahsia dalam penikahan ini) jika perlu menggunakan peranti. FaceID nyata direka untuk insan yang penuh rahsia tetapi tidak peduli ia sedikit leceh digunakan.
5.Bonggol Kamera Yang Besar
Obsesi Apple untuk menghasilkan peranti yang paling nipis menyebabkan bonjol kamera muncul bagai bisul di belakang iPhone 6 tiga tahun yang lalu. Tiada ruang mencukupi untuk memasukkan kesemua komponen kamera ke dalam peranti menurut jurucakap Apple.
Dengan iPhone X, bonjol dwi-kamera kini bukan sahaja semakin besar tetapi semakin hodoh. Bisul kini berubah menjadi parut keloid (atau parut suntikan BCG) yang mencacatkan estetik bahagian belakang peranti. Huawei, LG dan Samsung ketiga-tiganya mempunyai peranti dwi-kamera yang mempunyai bonjol yang minima atau tiada langsung.
Malahan bonjol kamera pada peranti Galaxy S secara konsisten mengecil tahun demi tahun. Kemampuan kamera semakin meningkat dan lebih baik berbanding iPhone. LG V30 mempunyai ketebalan 7.3mm dengan bonjol kamera yang kecil. iPhone X setebal 7.7mm tetapi mempunyai bonggol yang ketara. “Peranti terlalu nipis menyebabkan wujudnya boggol” bukan lagi alasan kukuh kerana LG membuktikan ia tidak lagi relevan.
6. Pengecas Pantas Harus Dibeli Berasingan
Hanya pengecas 5W dibekalkan dengan setiap pembelian. Sekiranya pemilik iPhone X dan 8 mahu menikmati pengecasan pantas, aksesori tambahan perlu dibeli secara berasingan dengan kos minima hampir RM 350. Pengecas pantas kini standard pada peranti utama Android seperti Samsung, Oppo, OnePlus, Huawei dan HTC.
Jika pengeluar lain boleh menyertakan pengecas pantas yang kompak mengapa ia tidak boleh dilakukan oleh Apple. Pengecas pantas QuickCharge 3.0 yang disertakan bersama HTC U11 hanya setinggi 2 inci bukannya bongkah plastik berbentuk empat segi seperti yang dijual Apple. Apple terkenal dengan kepakaran rekaan industri mereka.
Ketika iMac dihasilkan pada tahun 2006, ia dipuji kerana rekaan kompak yang lebih nipis berbanding pesaing mereka di arena PC. Sekali lagi apakah alasan Apple untuk tidak menyertakan pengecas pantas dengan setiap pembelian?
✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2wq0jsb
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment