TERIMA KASIH GUAN ENG
HUJAN akan reda. Musim tengkujuh pasti berlalu. Bulan Mac tahun depan genaplah dua penggal Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dalam tempoh sepuluh tahun, sudah tentu beliau mempunyai masa yang sangat memadai dan cukup untuk melaksanakan apa juga program yang ada dalam benak kalbunya demi kemajuan dan kesejahteraan Pulau Pinang.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga telah meninggalkan jawatan selepas berada di White House selama dua penggal. Suka atau tidak. Sepatutnya sama tekad dan yang wajar dilakukan oleh Guan Eng.
Saya ulangi dalam tulisan ini, impian bahawa jawatan tertinggi seperti PM, MB dan ketua menteri dihadkan kepada dua penggal adalah janji Pakatan Harapan sendiri. Bukan oleh BN.
DAP yang begitu kuat berkehendak mewujudkan Pakatan Harapan — sebuah gabungan parti pembangkang seperti sekarang — tentu lebih maklum akan perkara ini. Sejarah ketua menteri atau menteri besar yang berkuasa lama seperti yang menjadi tradisi kepada parti lain perlu dihentikan.
Sangat tak munasabah bahawa manifesto sebegitu hanya terpakai kalau Pakatan Harapan menang di Putrajaya. Pakatan Harapan harus membuktikannya terlebih dahulu sama ada di Pulau Pinang dan Selangor: dua negeri yang sudah dimenangi sejak 2008 lagi. Kalau berdalih, maka di tangan rakyatlah hukumannya bakal kembali.
Dalam satu jawapan kepada Astro Awani hujung minggu lalu, tak semena-mena Guan Eng juga berkata beliau teguh menyokong Anwar Ibrahim sebagai calon PM. Terima kasih diucapkan. Tapi entah apa kaitan antara gesaan untuk ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang dengan Anwar calon PM sangat tak jelas.
Apabila datang sesuatu gesaan, sikit-sikit petik nama Anwar. Sikit-sikit jual nama Anwar. Politik petik dan jual begini wajar dihentikan.
Anwar sudah cukup berkorban. Nama beliau sama sekali tak wajar digunakan untuk mengabsahkan sesiapa pun yang mahu duduk di puncak kuasa lebih dari tempoh yang sepatutnya. Dr Mahathir Mohamad sendiri pun tak boleh menggunakan nama Anwar kalau beliau masih mahu menjadi PM sekali lagi. Begitu juga jawatan di peringkat negeri.
Barang diingat menyokong Anwar sebagai calon PM belum tentu menjadikan Anwar sebagai PM. Semua orang tahu bahawa halangan perundangan telah menyulitkan usaha itu. Tentulah Guan Eng juga tahu! Walaupun sokongan seratus sepuluh peratus kepada Anwar menjadi PM, hal itu tidak lebih penting daripada komitmen Guan Eng untuk melepaskan jawatan selepas berkuasa dua penggal. Titik.
Apakah selama Anwar hidup, maka selama itulah ukuran seseorang boleh menjadi ketua menteri? Logik ini palsu sama sekali.
Rakyat juga tahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pernah menolak usul bagi pelaksanaan “ketua menteri dua penggal”. Menurut rekod dan laporan, usul yang dibentangkan oleh seorang wakil rakyat DAP ditolak tanpa hujah selain melibatkan apa yang disebut sebagai “masalah teknikal”.
Taktik menolak dengan “masalah teknikal” turut digunakan banyak kali di Dewan Rakyat. Tujuannya adalah untuk menghalang sesuatu cadangan daripada menyentuh kepentingan pemerintah atau pemimpin tertentu.
Terlepas daripada persoalan teknikal dalam sidang DUN, apa yang lebih mustahak ialah seseorang pemimpin wajib mempunyai tanggungjawab moral dan prinsip. Dalam politik — sama seperti dalam kehidupan seharian — tak semua hal perlu terbatas hanya kepada lunas undang-undang semata.
Tak jadi salahnya kalau selepas dua penggal seseorang itu melepaskan jawatan meskipun tak ada undang-undang yang menyekat beliau melakukan demikian. Dahulu pun, tak ada undang-undang yang menghalang Dr Mahathir letak jawatan selepas 22 tahun berkuasa. Dia sendiri yang mahu melepaskannya.
Selain itu Guan Eng turut menyelar bahawa gesaan melantik seorang ketua menteri Melayu sebagai bersifat “limpahan perkauman”. Di sini saya menjadi lebih tak mengerti, bagaimanakah dengan melantik seorang Melayu yang merit dan berwibawa boleh dikatakan bersifat perkauman?
Melayu bukan hanya ada dalam parti lain, tetapi digambarkan juga ramai dalam DAP. Kalau nama “Melayu” pun nampaknya tak boleh disebut, asal disebut maka terus dicop sebagai perkauman, saya tak faham mengapa DAP beriya-iya mahu memancing pemimpin Melayu menyertai parti itu?
Bayangkan ketika nasib anak Cina dan India yang bijak perlu diperjuangkan untuk diberikan biasiswa, misalnya, tetapi anak Melayu sebijak mana pun dia tetap tak layak hanya kerana ditakdirkan dia lahir sebagai Melayu!
Pemikiran begitu saya duga berputik daripada kebencian atau dendam kepada Umno yang telah melimpah-ruah ke atas semua kepala orang Melayu. Seseorang pemimpin yang tidak melampaui batas tentu boleh membezakan antara parti politik dengan Melayu; dan, antara seseorang yang jahat dengan seseorang yang baik tanpa mengira asal keturunannya. Di situlah antara inti penting perjuangan Reformasi.
Banyak sekali kejayaan di negara ini telah dilakukan oleh orang Melayu. Siapa boleh menafikan bahawa ramai kakitangan awam Melayu, misalnya, juga membantu membangunkan Pulau Pinang selama Guan Eng berkuasa? Apakah hanya kerana kakitangan itu keturunannya Melayu, maka mereka tak layak untuk kenaikan pangkat dan peluang apa pun?
Apa yang cuba digambarkan Guan Eng juga sesungguhnya jauh daripada apa yang ditunjukkan oleh Umar Abdul Aziz: pemimpin khalifah pada zaman Ummaiyyah. Umar jualah yang pernah dipetik oleh Guan Eng suatu saat dahulu bagi menunjukkan teladan pemerintahan. Umar itulah yang berkuasa tiga tahun sahaja.
Calon-calon ketua menteri Melayu pertama Pulau Pinang sudah wajar dinamakan. Sebelum hujan turun lagi. Sebelum banjir melanda kembali.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2y4bYSB
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment