Hoki: TNB Benam KLHC 4-2, Kekal Teraju Liga
KUALA LUMPUR – Juara Piala Sumbangsih Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dikejutkan dengan kekalahan 2-4 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi kedua saingan Divisyen Premier liga itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
TNB yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin berjaya membolosi gawang lawan seawal minit kelima menerusi gol pukulan sudut penalti oleh pemain kebangsaan, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan sebelum jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook meletakkan TNB selesa mendahului 2-0 pada minit ke-10.
Berselang lapan minit kemudian, giliran Firhan Ashaari mencetak nama sebagai penjaring melalui gol padang yang kemudian memaksa pengendali KLHC, Lim Chiow Chuan melakukan beberapa pertukaran pemain bagi menghalang asakan bertali arus TNB.
Bagaimanapun, kerapuhan benteng pertahanan KLHC terus dihukum TNB untuk menjaringkan gol keempat menerusi Muhammad Shahril Saabah yang bijak menyungkit bola untuk menewaskan penjaga gol KLHC Roslan Jamaluddin.
Dua gol KLHC disumbangkan pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun melalui gol pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan 60.
TNB kini menerajui takhta liga dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan manakala KLHC yang sebelum ini mencatat keputusan seri ketika berdepan Terengganu Hockey Team (THT) terhumban ke kedudukan kedua tercorot dengan satu mata.
Sementara itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih kemenangan sulung selepas membelasah Maybank 6-0 pada satu lagi aksi yang berlangsung di venue sama pada sebelah malam.
Pesta gol UniKL bermula pada minit ke-19 menerusi gol padang Faridzul Afiq Mohd sebelum pemain import dari Belanda, Jeroen Dolf Hertzberger menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada pada penghujung suku kedua permainan.
Ketajaman barisan serangan UniKL terbukti apabila keempat-empat gol pada suku terakhir permainan hadir menerusi gol padang oleh Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-51 diikuti Joel Samel Van Huizen (minit ke-54), Glenn Stewarts Tunner (minit ke-57) dan Hertzberger (minit ke-60).
Dalam pada itu, THT turut berjaya mengutip tiga mata berharga selepas menundukkan ‘adik’ TNB iaitu TNB Thunderbolts 6-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu, malam ini.
Tiga daripada enam gol yang berjaya dihasilkan THT hadir menerusi pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia dari Argentina, Gonzalo Peillat pada minit ke-10, 34’ dan 59’ sementara tiga gol lagi dijaringkan oleh Muhammad Sufi Ismat Rohulamin (minit ke-17), Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran (minit ke-44) dan Joaquin Menini (minit ke-56).
Gol TNB Thunderbolts pula dijaringkan oleh Arif Sabron pada minit ketujuh dan Muhammad Azammi Abadi pada minit ke-49. – BERNAMA
Loading...
✍ Sumber Pautan : ☕ BeautifulNaara
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2D7eh6w
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment