Hi! Welcome Back and Stay Tune! Mengenali Sistem ‘Secure TAC’ – Bagaimana Ia Memberi Manfaat Kepada Urusan Perbankan - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Mengenali Sistem ‘Secure TAC’ – Bagaimana Ia Memberi Manfaat Kepada Urusan Perbankan

Pada saat ini, penggunaan internet sudah menjadi perkara asas dalam masyarakat moden pada hari ini. Internet sering digunakan untuk berhubung, mendapatkan informasi terkini, selain memudahkan pengguna membuat urusan jual beli. Dengan pertumbuhan internet ini, urusan perbankan antara perkhidmatan yang cukup aktif digunakan dalam memudahkan pengguna melakukan transaksi. Ia tidak lagi memerlukan pengguna berkunjung ke bank secara fizikal kerana kesemuanya sudah bolehkan dilakukan di hujung jari sahaja.

Dalam memberi jaminan kepada urusan perbankan yang selamat, sistem TAC atau dikenali sebagai Transaction Authorisation Code (TAC) telah pun diperkenalkan. Ia merupakan sebuah fungsi yang dapat melindungi akaun perbankan pengguna, daripada diceroboh oleh pihak yang tidak dikenali. Ia memerlukan membuat pengesahan terlebih dahulu, seperti yang ditawarkan pada teknologi pengesahan dwi-faktor.

Perbezaan Sistem TAC

Pada hari ini, sistem TAC mempunyai tiga cara pengesahan berbeza yang kesemuanya dilakukan melalui telefon pintar. Ia merangkumi sistem TAC melalui SMS dan sistem TAC melalui notifikasi di dalam aplikasi. Terbaru, pihak bank telah menyediakan sistem TAC dengan semudah menekan satu butang sahaja ketika sedang melakukan transaksi.

TAC melalui SMS

Ketika awal urusan perbankan internet wujud, sistem pengesahan TAC kebanyakannya diuruskan melalui SMS. Bank akan menghantar mesej yang mengandungi angka 6-digit untuk menentukan sama ada anda adalah pemilik yang sah kepada akaun bank tersebut. Ia cukup mudah kerana tidak memerlukan pengguna memasang aplikasi dan mendapatkan telefon pintar yang lebih mahal. Ia boleh dilakukan dengan hanya menggunakan no. telefon sahaja, dan kod TAC boleh diterima walaupun anda menggunakan telefon asas.

Cuma kekangannya, sistem TAC memerlukan pengguna menunggu seketika, iaitu dalam tempoh lebih kurang 30 saat. Anda boleh menerima SMS TAC ini ketika di luar negara, namun anda perlu mengaktifkan fungsi perayauan (roaming) pada telefon terlebih dahulu. Pengguna juga mungkin akan menerima kod TAC dengan lebih lama, kerana perlu melalui pelbagai halangan rangkaian yang berbeza.

Kelemahan TAC berasaskan SMS ini ialah ketika telko atau sistem daripada bank mempunyai masalah yang kritikal. Sistem TAC ini tidak dapat diberikan kepada pengguna, sekaligus membantutkan transaksi yang sedang dijalankan. Apa yang lebih merisaukan, sistem TAC berasaskan SMS ini boleh dipintas sekiranya telefon anda dicuri. Apabila perkara ini berlaku, bank menyarankan kepada anda untuk membuat laporan ke bank dengan serta-merta, bagi proses pembatalan no. telefon yang dipaut kepada sesuatu akaun bank.

TAC melalui Messenger

Bagi mengurangkan isu yang terdapat pada TAC berasaskan SMS, pihak bank telah memanfaatkan fungsi notifikasi yang terbina daripada aplikasi mereka sebagai alternatif untuk SMS ini. Ia tidak memerlukan pengguna bergantung kepada penggunaan SMS, asalkan peranti pengguna sedia berhubung ke rangkaian internet. Aplikasi perbankan juga kebanyakannya sudah sedia dipasang pada peranti pengguna, jadi perlaksanaan dapat dijalankan dengan lebih mudah.

Seperti contoh pada aplikasi CIMB Clicks, ia mempunyai fungsi ‘Messenger’ untuk memaparkan notifikasi berkaitan tips dan informasi perbankan terkini. Mereka telah memanfaatkan paparan notifikasi ini, dengan membolehkan kod 6-digit TAC ‘dihantar’ ke paparan Messenger ini. Pengguna boleh menekan butang ‘loceng’ pada aplikasi ini untuk membuka paparan Messenger ini.

Cuma kekurangannya, setiap transaksi di dalam aplikasi CIMB Clicks tidak digalas oleh TAC melalui Messenger ini. Sistem TAC ini lebih digunakan ketika anda ingin mengesahkan transaksi yang dibuat pada CIMB Clicks versi web. Transaksi di di dalam aplikasi masih digalas oleh TAC berasaskan SMS dan sistem TAC terkini berasaskan Secure TAC.

Secure TAC

SecureTAC adalah medium pengesahan baru untuk memudahkan pengguna mengesahkan identiti ke bank ketika melakukan transaksi. Pengguna hanya perlu menekan satu butang pada aplikasi untuk pengesahan identiti. Ia tidak memerlukan pengguna ‘meminta’ TAC lagi, selain menjimatkan masa ketika membuat urusan perbankan ini.



Di Malaysia, sistem Secure TAC mempunyai pelbagai nama yang menarik mengikut jenis bank. Cara perlaksaannya juga ada terdapat sedikit perbezaan, kerana ada sejumlah bank yang mengenakan ciri-ciri keselamatan yang lebih tinggi. Namun secara kasarnya, sistem ini mempunyai dasar penggunaan yang hampir sama, yang mana anda boleh menilai melalui gambar rajah di bawah.

Bagi memudahkan penyampaian, kami mengambil penjenamaan SecureTAC daripada CIMB untuk menerangkan istilah sistem TAC generasi baru ini.

Pengaktifan

SecureTAC hanya memerlukan pengguna membuat pengaktifan sekali sahaja ketika mula membuka aplikasi perbankan yang baru dipasang. Pengaktifan hanya memerlukan pengguna memasukkan TAC melalui SMS yang diberi, dan bersetuju untuk mengaktifkan sistem TAC baru berasaskan SecureTAC ini. Anda boleh terus menggunakan sistem TAC lama, namun ia tidak menjanjikan kemudahan ketika melakukan transaksi wang yang lebih besar.

Untuk meningkatan keselamatan, SecureTAC hanya boleh diaktifkan pada 2 peranti sahaja dalam satu-satu masa. Apabila anda ingin mengaktifkan SecureTAC pada peranti ketiga, anda akan diberi notis untuk mematikan sistem ini pada salah satu peranti yang telah diaktifkan sebelum ini. Sekiranya anda memasang kembali (reinstall) aplikasi CIMB Clicks, ia juga akan meminta pengguna mengaktifkan semula SecureTAC ini untuk tujuan keselamatan.

Manfaat

Antara manfaat daripada penggunaan Secure TAC adalah ia boleh menjadi medium pengesahan kepada keseluruhan besar jenis transaksi. Ia boleh digunakan untuk mengesahkan pemindahan pihak ketiga, pembayaran hutang dan bil, selain digunakan untuk mengesahkan pembelian tambah nilai prabayar. Anda juga boleh menggunakan Secure TAC ini ketika mengesahkan pembayaran unit amanah saham yang dilakukan melalui pelayar web.

Bagi memudahkan anda melihat perbezaan sistem Secure TAC dengan sistem TAC yang lain, kami menyertakan carta perbandingan melalui rajah di bawah.

Sistem TAC juga boleh digunakan dengan lebih pantas kerana ia tidak lagi memerlukan pengguna menunggu kepada pengesahan berasaskan SMS. Secure TAC dapat digunakan dengan serta merta, sebaik sahaja anda membuat sesuatu jenis transaksi. Ia dapat disahkan dalam masa beberapa saat sahaja, yang mana dapat dilakukan dengan hanya menekan satu butang.

Sistem Secure TAC ini sebenarnya sudah mula diperlukan untuk mengesahkan kesemua transaksi yang berada di dalam aplikasi. Penggunaan Secure TAC ini juga telah diwajibkan untuk pengguna yang ingin melakukan transaksi melebihi RM10,000, bagi mengelakkan isu penyelewengan berlaku. Cuma apabila terdapat isu dari segi sistem SecureTAC, pengguna masih boleh mendapatkan TAC berasaskan SMS selepas 50 saat – bagi pengguna yang melakukan transaksi di bawah RM10,000.

Rumusan

Secara kasarnya, SecureTAC adalah satu cara pengesahan yang dipermudahkan, bagi menyingkatkan lagi masa untuk melaksanakan sesuatu urusan perbankan. Identiti pengguna dapat disahkan dengan hanya menekan satu butang sahaja di dalam aplikasi, berbanding perlu menunggu kod TAC melalui penghantaran SMS. Ia hanya memerlukan sebuah aplikasi dan sambungan internet sahaja, dalam membolehkan sistem Secure TAC ini dijalankan.

Sistem SecureTAC juga dapat meningkatkan keselamatan semasa bertransaksi, dengan mewajibkannya ketika melakukan transaksi melebihi RM10,000. Pengguaan sistem ini juga dihadkan kepada dua peranti sahaja, sekaligus menyukarkan ia dipintas berbanding sistem TAC konvensional. Pengguna boleh membuang senarai peranti yang telah diaktifkan dengan SecureTAC ini, sekiranya peranti tersebut telah dicuri atau digodam.

Kebanyakan bank di Malaysia dan global sudah mula menggunakan fungsi ini, sekaligus memberi manfaat antara pengguna dan pihak bank. Walaupun anda sedang berada di luar negara, sistem Secure TAC dapat dikeluarkan secara pantas tanpa perlu menunggu kod TAC tiba melalui SMS. Ia adalah sebuah sistem TAC yang sangat baik untuk pengguna, dalam memberi pengurusan perbankan yang selamat, pantas, dan efisien.



✍ Sumber Pautan : ☕ Amanz

Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2FKL5Ge

(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!


No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.