Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan Samsung Galaxy Note 10+ : Alohamora Produktiviti Nirbatas! - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan Samsung Galaxy Note 10+ : Alohamora Produktiviti Nirbatas!


Samsung Galaxy Note kini sudah tiba ke iterasinya yang ke sepuluh. Galaxy Note 10+ ialah telefon pintar paling premium ditawarkan oleh Samsung dengan pelbagai fungsi tambahan berbanding telefon pintar lain keluaran mereka tahun ini. Ia memperkenalkan rekaan baru dengan bezel yang kini semakin nipis dan sistem tri-kamera lengkap dengan sensor 3D TOF.

Pasca pelancarannya pasti ramai yang tertanya-tanya adakah Galaxy Note 10+ masih lagi berbaloi dimiliki sedangkan pasaran yang kini dipenuhi peranti mercu lain dengan saiz skrin yang lebih besar? Persoalan ini adalah relevan kerana peranti ini dijual pada harga bermula RM4199. Ini ialah ulasan kami untuk Samsung Galaxy Note 10+.

Kandungan Ulasan

Spesifikasi

Samsung Galaxy Note 10+
Skrin 6.8″ QHD+
Dynamic AMOLED HDR10+ (498 ppi)
Pemproses Exynos 9825 (7nm)
Cip 2 X 2.73 GHz Mongoose M4
2 X 2.4 GHz Cortex A75
4 X 1.9 GHz Cortex A55
Cip Grafik Mali-G76 MP12
RAM 12 Gigabyte LPDDR4X
Muatan Dalaman Sehingga 512GB UFS 3.0
(mikro SD sehingga 1TB)
Kamera Utama 12+12+16+3D TOF Megapixel.
f/1.5+f/2.2+f/2.1, OIS, HDR
Kamera Depan 10 Megapixel f/2.2
Bateri 4300 mAh
Pengecas berwayar 45W
Tanpa wayar 15 W
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano (Talam Hibrid)
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Kalis Air IP68
Sistem Imbasan Cap jari terbina dalam skrin
Harga Jualan Bermula dari RM4199

Skrin 6.8″ Dynamic AMOLED yang digunakan adalah terbesar pernah digunakan dalam sejarah keluarga Note. Ia adalah hampir 8% lebih besar berbanding Note 9. Sungguhpun begitu peranti hanya 0.5 mm lebih tinggi dan 0.8mm lebih lebar. Ini dapat dilakukan selepas bahagian dahi dan dagu yang semakin mengecil. Saiz bezel pada keempat-empat sisi Note 10+ adalah hampir sama besar dan ini membuatkan skrin kelihatan lebih seimbang dan sedap dipandang mata. Bagi mereka yang pernah memiliki Note 9 atau Note 9 sebelum ini, saiz tubuh yang tidak terlalu berbeza memudahkan proses menyesuaikan diri menggunakan Note 10.

Note 10+ menyokong resolusi maksimum QHD+ tetapi secara default ia ditetapkan pada resolusi FHD+. Pengguna juga diberikan pilihan bertukar ke resolusi HD+ jika ingin mengurangkan penggunaan bateri. Paparan adalah terbaik pada resolusi QHD+ namun begitu kami merasakan pada resolusi FHD+ sekalipun kesemua objek masih kelihatan terang dan tajam. Hanya manusia pedantik yang melihat skrin dari jarak bawah lima inci akan dapat melihat perbezaan ketara di antara kedua-dua resolusi berbeza ini.

Kedudukan lubang kami kita diletakkan pada bahagian tengah yang membuatkan peranti kelihatan lebih seimbang dibandingkan dengan Galaxy S10+. Secara peribadi kami merasakan rekaan skrin berlubang ialah untuk mendapatkan rekaan nirbingkai adalah lebih baik berbanding penggunaan takuk atau kamera pop naik. Kandungan tidak terlalu terhalang dengan takuk dan kamera hadapan dapat digunakan dengan pantas tanpa perlu menanti selama beberapa saat.

Menurut Samsung, 94% permukaan hadapan Note 10+ adalah skrin. Wajah Note sekali lagi berubah dengan drastik selepas penggunaan Infinity Display dua tahun yang lalu. Harus kami akui peranti kini kelihatan lebih futuristik dan menarik jika dibandingkan dengan S10.

Pemproses Exynos 9825 digunakan pada peranti dan ia adalah pemproses Exynos pertama dihasilkan menerusi teknologi 7nm. Sedikit mengejutkan pemproses Exynos 9820 tidak digunakan pada peranti mercu ini. Untuk pasaran Malaysia hanya pemproses Exynos dengan dua teras 2.73GHz Mongoose M4, dua teras 2.4GHz Cortex-A75 dan empat teras 1.9GHz Cortex-A55 digunakan. Exynos 9825 berbeza dengan Exynos 9820 kerana dihasilkan menggunakan teknologi 7nm.

Secara tradisinya Note akan menggunakan semula spesifikasi Galaxy S dengan hanya perubahan pada skrin, bateri dan penggunaan stylus. Bagi benar-benar membezakan di antara siri Galaxy S dan Note tahun ini, penggunaan dua pemproses berkuasa berbeza akhirnya dilakukan. Ini adalah bagi membezakan lagi spesifikasi di antara kedua-dua model peranti mercu ini. Pengguna Note terdiri dari mereka yang gemar melakukan kerja ketika di luar pejabat maka pemproses yang lebih berkuasa dilihat dapat memberikan sedikit kelebihan.

Perbezaan sekali lagi dilihat pada penawaran memori sebesar 12GB dan storan sebesar 256/512GB. Terdapat sokongan kad mikro SD sehingga 1TB sekiranya pengguna ingin menambah storan dalaman peranti. Biasanya RAM sebesar ini hanya ditemui pada peranti untuk permua. Lebih banyak aplikasi boleh dibuka serentak tanpa perlu risau ia menjalani proses segar semula.

Bercakap mengenai kamera pula, tri-kamera utama kini menggabungkan sensor 12+12+16 Megapixel. Sensor 12-Megapixel dipadankan dengan lensa bukaan boleh laras f/1.5-f/2.4. Sensor 12-Megapixel dengan lensa telefoto f/2.4 hadir dengan sokongan zum optikal 2X dan akhir sekali sensor 16-Megapixel f/2.2 untuk lensa sudut ultra lebar 123 darjah.

Terdapat sokongan penstabilan imej optikal pada dua sensor sebesar 12-Megapixel. Sebuah sensor 3D TOF disertakan bagi menyokong fungsi seperti mengukur dunia sebenar, kesan khas realiti gabungan dan kesan khas bokeh ketika merakam gambar serta video. Note 10+ ialah peranti ketiga selepas S10 5G dan A80 yang dilengkapi sensor ini.

Kamera hadapan pula adalah sebesar 10-Megapixel f/2.2 dengan sokongan auto-fokus. Tiada sistem dwi-kamera yang boleh ditemui pada S10+ sebelum ini. Ini mungkin dilakukan selepas reaksi pengguna yang merasakan penggunaan takuk bujur untuk sistem dwi-kamera adalah terlalu besar.

Membekalkan kuasa ialah bateri sebesar 4300 mAh. Saiz bateri seperti saiz skrin meningkat hampir 8% berbanding Note 9 yang menggunakan bateri 4000 mAh. Sistem pengecasan berwayar dengan output yang lebih pantas sehingga 45W disokong tetapi Samsung sekadar menyertakan pengecas 27W dengan setiap pembelian. Ketika ulasan ditulis pengecas 45W Super Fast Charging masih belum ditawarkan di Malaysia.

Pengecasan nirwayar juga lebih pantas dengan output 15W manakala sistem mengecas peranti lain secara nirwayar pula dengan output 9W. Selepas lebih tiga tahun menggunakan pengecas 15W, Samsung akur dengan permintaan pengguna yang mendambakan pengecas lebih berkuasa sekaligus memendekkan waktu pengecasan bateri.

Seperti tahun lalu anda masih boleh mengecasnya secara nirwayar. Penambahbaikan yang dilakukan ialah ia turut menyokong sistem perkongsian bateri PowerShare yang membolehkan peranti lain dicas secara nirwayar oleh Note 10+. Bagi mereka yang mempunyai aksesori nirwayar seperti Galaxy Buds. Ini ialah sistem yang diperkenalkan pada S10.

Akhir sekali Note 10+ menyokong rangkaian WiFi 6 yang terkini, NFC dan bluetooth 5.0. Kesemua komponen-komponen ini tersimpan kemas di dalam tubuh peranti yang kalis air dengan piawaian IP68.

Rekabentuk

Perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan rekaan Note 10+ ialah seksi. Bezel pada keempat-empat sisi peranti adalah sama nipis yang membuatkan ia akhirnya kelihatan seimbang. Pada S10 dagu dan dahi masih lagi agak besar jika dibandingkan dengan bezel sisi. Mari berbicara mengenai lubang kamera pada skrin. Secara default kesemua app akan diarahkan untuk menggunakan kesemua permukaan skrin. Ini menyebabkan lubang kamera mengganggu tontonan video pada YouTube misalnya. Tetapi jika anda tidak mahu ini berlaku, pilihan Hide Camera Cutout boleh dipilih tetapi mengakibatkan wujud palang hitam yang besar dipaparkan pada bahagian dahi. Ia amat mencemarkan rupa peranti dan kami tidak menyarankan anda mengaktifkan pilihan ini.

Tubuh peranti kini semakin kelihatan berkotak dengan hanya bahagian sisi dibulatkan. Bahagian atas dan bawah adalah rata membolehkan peranti didirikan di atas meja. Kami merasakan ia adalah rekaan hibrid Loop Surface Sony dan Nokia Lumia. Sebagai peminat kedua-dua peranti ini, kami tidak merasakan ini adalah perkara negatif kerana ia membuatkan Note 10 kelihatan cukup kacak.

Panel kaca masih digunakan pada bahagian belakang dan ia masih lagi mengumpul kotoran dengan terlalu mudah. Setelah melihat permukaan belakang Pixel 4 dan iPhone 11 Pro Max yang menggunakan kaca frosted, kami percaya ini mungkin generasi terakhir Samsung menggunakan kaca berkilat pada panel belakang. Pada dua peranti pesaing ini permukaan kaca yang agak kasar tidak mudah kotor.

Dengan kombinasi sisi dibulatkan dan saiz tubuh yang sama dengan Note 9, kami merasakan Note 10 ialah peranti yang masih munasabah digunakan dengan sebelah tangan asalnya ia dimasukkan ke dalam kerangka. Panel kaca berkilat di bahagian belakang dan skrin melengkung membuatkannya licin untuk dipegang. Samsung menyertakan sebuah kerangka dengan setiap pembelian tetapi kami menyarankan pembelian kerangka yang lebih tahan lasak untuk mengelakkan anda bercucuran air mata selepas keranda diusung jika peranti terjatuh ke atas lantai.

Tiada lagi butang kuasa pada bahagian kanan. Sebaliknya butang suara dan kuasa diubah ke sisi kiri peranti. Butang khas hanya untuk Bixby kini pupus dan turut berfungsi sebagai butang kuasa. Sebagai seorang pengguna Note 9 sejak setahun lalu, perubahan lokasi butang kuasa ini membuatkan penggunaan menjadi sedikit canggung. Jari kami tercari-cari butang kuasa yang sudah diubah kedudukannya.

Bagi mereka yang ingin menyeru Bixby, ini masih boleh dilakukan dengan menekan butang kuasa selama sesaat. Binaan butang masih lagi teguh dan mudah diakses oleh jari walaupun menggunakan sebelah tangan. Talam dwi SIM hibrid dan kad mikro SD pula diletakkan pada bahagian atas peranti. Anda memerlukan jarum untuk mencungkilnya keluar.

Seperti yang kami nyatakan dalam ulasan P30 Pro, kami kurang gemar dengan penggunaan satu butang untuk dua fungsi berbeza. Kami rasakan mengekalkan butang kuasa pada sisi kanan sebenarnya adalah pilihan yang lebih ergonomik kerana pengguna yang telah bertahun membiasakan diri dengan konfigurasi ini.

Jika tubuh badan meminjam dari Sony dan Nokia, susunan kamera pula meminjam dari Huawei. Ketiga-tiga kamera utama disusun menegak pada bucu atas sebelah kiri peranti. Pada Note 10+, sensor TOF diletakkan di bawah lampu flash yang terletak bersebelahan lensa kamera. Secara ikhlas kami katakan sekali lagi kami tidak merasakan ini adalah perkara negatif. Dengan kesemua kamera diletakkan pada bahagian bucu, jari semakin sukar untuk terhalang lensa ketika ingin mengambil gambar. Apa yang kami rasakan sedikit luka ialah ialah P30 Pro meminjam rekaan muka hadapan dan sisi dari Samsung Galaxy S. Kini Note 10 meminjam pula rekaan kamera P30 Pro.

Terdapat ura-ura sistem Sound On Screen akan diperkenalkan pada Note 10 kerana tiada lagi ruang untuk pembesar suara fizikal jika bezel menjadi terlalu nipis. Anda semua boleh menghembus nafas lega kerana pembesar suara fizikal masih disertakan pada bahagian atas peranti. Ini dipadankan dengan sebuah pembesar suara pada bahagian bawah. Sokongan audio stereo AKG dan Dolby Atmos masih disertakan. Bagi mereka yang menonton video pada peranti.

Ini ialah berita baik kerana sekali lagi ingin kami tekankan teknologi pembesar suara bawah skrin masih belum cukup matang untuk menggantikan pembesar suara fizikal. Pada P30 Pro, Mate 30 Pro dan Galaxy A80, mutu panggilan telefon adalah amat tidak memuaskan. Ia juga mengakibatkan audio stereo yang seimbang tidak dapat dikecapi.

Satu perkara yang dikorbankan oleh Samsung kali ini ialah bicu audio. Ya tuan-tuan dan puan-puan, kesemua output aksesori audio kini perlu dilakukan menerusi port USB-C pada bahagian bawah peranti. Kami menangisi pemergian bicu audio kerana ia masih lagi kami rasakan perlu pada tahun 2019. Tetapi trend pasaran kini ialah penggunaan aksesori audio nirwayar dan Note 10 menjadi sebuah lagi peranti Samsung yang menghentikan sokongannya pada tahun 2019.

Penyesuai USB-C ke bicu audio tidak disertakan. Anda tidak boleh menggunakan sebarang penyesuai kerana hanya yang mempunyai DAC terbina disokong. Penggunaan penyesuai yang lain akan menyebabkan tiada audio dapat didengari pada fon telinga yang disambung.

Slot simpanan S Pen pula kekal di bahagian kanan dengan mekanisme spring. Pembesar suara terhimpit di antara port pengecas USB-C dan slot simpanan S Pen. Bercakap mengenai S Pen pula, ia masih lagi diperbuat daripada plastik cuma kini dengan rekaan unibody yang lebih kemas. Komponen dalaman dipertingkatkan dengan sensor accelerometer dan girometer bagi menyokong sistem Air Actions baharu. Bateri yang digunakan pula boleh bertahan sehingga 10 jam dengan sekali caj dan lebih tahan lama berbanding pada Note 9. Kami akan bercakap lebih panjang lebar mengenai S Pen dalam segmennya tersendiri di bawah.

Menerusi Note 10 beberapa kompromi telah dilakukan bagi membawakan beberapa rekaan baharu yang dirasakan lebih progresif dengan permintaan pasaran. Apa yang boleh kami katakan ialah Note 10 ialah antara peranti yang tercantik dilancarkan Samsung setakat ini.

Antaramuka

Sistem operasi Android 9 Pie digunakan dengan pelancar Samsung One UI 1.5. Ini adalah antaramuka yang lebih terkini berbanding One One 1.1 yang digunakan pada S10. Sekilas pandang tiada perbezaan yang drastik boleh kami temui pada One UI kali ini. Pepatah ada mengatakan jika tiada cela yang nyata mengapa perlu dibaiki> Kami difahamkan One UI 1.5 hanyalah kemas kini yang membawakan beberapa fungsi baharu eksklusif untuk Note 10 pada peranti dilancarkan tetapi kini turut telah diterima ketiga-tiga S10 menerusi kemas kini minggu lalu.

Seperti yang anda sedia maklum, One UI direka untuk memudahkan lagi penggunaan sebelah tangan tanpa perlu mengaktifkan mod sebelah tangan. Elemen antaramuka diletakkan pada bahagian bawah skrin. Rekaannya juga lebih minimalis berbanding Samsung Experience. Dengan saiz skrin melangkaui 6″, antaramuka yang memudahkan navigasi adalah amat perlu. Dengan One UI, kami tidak mempunyai masalah menatal talam notifikasi pada atas skrin dan talam navigasi pada bahagian bawah skrin. Ini ialah satu lagi perkara positif dilakukan Samsung bagi memastikan kemesraan pengguna tidak dikorbankan semata-mata ingin menggunakan skrin gergasi.

Masih terdapat tiga butang navigasi atas skrin iaitu multi-tugas, home dan back. Susunan butang boleh diubah mengikut kehendak pengguna. Sistem gesture seakan Android Pie asli juga disertakan tetapi pilihan menggunakan sistem navigasi Android Asli masih belum diberikan.

Tetapi jika anda ingin menggunakan peranti tanpa sebarang butang navigasi atas skrin. terdapat pilihan navigasi menerusi tatalan dari bawah skrin. Sekali lagi kami ingin mengatakan sistem navigasi berasaskan gesture Samsung ini adalah tidak intuitif. Kami hanya boleh berdoa pada versi One UI seterusnya, Samsung akan akur dengan permintaan pengguna yang inginkan navigasi Android Asli diberikan sebagai pilihan.

Selari dengan One UI baharu, proses melakukan multi window juga diubah. Tiada lagi butang khas untuk melancarkannya tetapi pengguna menekan butang multi-tugas, tekan ikon aplikasi untuk membuka menu multi-window sebelum memilih aplikasi yang ingin digunakan. Proses pengaktifkan multi-window pada Samsung Experience pada hebat kami adalah jauh lebih baik.

Berikut adalah beberapa fungsi menarik yang disertakan pada Note 1o+.

Air Actions – Kawalan aplikasi mengguanakan S-Pen yang berfungsi seperti tongkat sakti.

Always On Display – Skrin memaparkan notifikasi sepanjang masa tanpa menggunakan bateri yang tinggi.

Device Care- Pusat satu hentian yang membersihkan storan, virus dan juga penggunaan RAM.

Dual Messenger – Menggunakan dua aplikasi seperti WhatsApp secara serentak.

Game Launcher – Mod permua yang menghalang gangguan ketika sedang bemain.

Hide Camera Cutout – Menyorokkan lubang kamera pada skrin.

Kids Home – Mengubah antaramuka menjadi lebih mesra kanak-kanak dan mengehadkan akses kepada aplikasi. Had masa boleh ditetapkan dan menghalang laman web yang boleh dilayari.

Melancarkan kamera dengan pantas – Aplikasi kamera turut boleh dilancarkan dengan menekan butang kuasa dengan pantas sebanyak dua kali.

Navigation Bar – Dua pilihan navigasi iaitu tri-butang atau Full Screen Gesture.

Night Mode – Tema gelap pada keseluruhan antaramuka bagi mengurangkan penggunaan bateri.

One Handed Mode – Mengecilkan paparan skrin untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan. Dilakukan dengan menekan butang home sebanyak tiga kali atau tatalan dari bawah ke atas skrin.

Pengecasan Nirwayar Dua Arah – Peranti boleh dicas semula secara nirwayar dan mengecas peranti lain juga secara nirwayar.

Samsung DeX – Kini boleh berfungsi pada PC dan Mac selain boleh dipaparkan pada TV atau monitor secara sambunga berkabel. Masih tiada DeX secara nirwayar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Fungsi Baharu Stylus S Pen, DeX dan Kamera

Segmen khas ini kami hasilkan kerana ia pembaharuan yang agak besar dilakukan pada S Pen, DeX dan fungsi kamera. Kita mulakan dengan S Pen dengan rekaan tubuh unibody baharu. Ia mengekalkan saiz yang sama cuba tiada lagi senggatan yang membezakan bahagian belakang dan hadapan. Keseluruhan tubuh kini licin seperti yang digunakan pada S Pen tablet Tab S6.

S Pen hadir dengan bateri yang lebih berkuasa dan boleh berfungsi sehingga 10 jam dengan sekali caj menurut Samsung. Bateri Lithium Titanate menggantikan bateri adikapasitor yang digunakan sebelum ini. Tidak terhenti di situ, sistem Air Action diperkenalkan. Dengan Air Action, S Pen boleh menjadi alat kawalan jauh yang mengesan gesture yang dilakukan oleh pengguna.

Accelerometer di dalam S Pen mengesan pergerakan atas ke bawah untuk menukar mod kamera utama atau swafoto. Pergerakan kiri dan kanan akan mengubah mod kamera seperti Live Photo dan Video. Pergerakan berputar arah jam mengawal zum masuk kamera dan sebaliknya berlaku jika melawan arah jam. Menekan butang S Pen sekali untuk menangkap gambar manakala tekanan lama akan membuatkan kamera mengambil gambar tanpa henti. S Pen menjadi seakan tongkat ahli sihir dunia Harry Potter. Selain kamera, aplikasi lain juga boleh dikawal menggunakan Air Action. Tetapi kami merasakan ia hanya sekadar gimik yang tidak begitu mesra pengguna.

Aplikasi S Note juga ditambah baik dengan sokongan mengeksport nota yang ditulis dalam bentuk Words, PDF ataupun imej dengan pantas. Nota tulisan tangan juga boleh diubah warna dan ketebalan mata pen selepas ditulis. Disamping itu nota tulisan tangan boleh diubah kepada muka taip biasa dengan sekali tekan.

DeX kini bole digunakan pada sebuah PC Windows 10 dan macOS. Aplikasi DeX perlu dipasang pada komputer terlebih dahulu, dan sebaik sahaj Note 10+ disambung skrin DeX akan dilancarkan. Pengguna kemudian boleh mengakses kandungan Note 10 terus dari komputer peribadi mereka. Fail boleh dipindahkan secara drag and drop di antara kedua-dua peranti berlainan sistem operasi ini dengan mudah.

Dex untuk desktop ialah fungsi yang kami rasakan paling menarik tahun ini kerana ia meningkatkan produktiviti. Tanpa perlu mengangkat telefon, kami boleh mengakses kandung peranti, menjadi SMS, mesej WhatsApp dan emel terus dari sebuah komputer. Tidak seperti DeX generasi terdahulu, papan kekunci dan tetikus PC dapat digunakan di dalam DeX secara automatik. Ini ialah sinergi dua peranti dengans satu set kawalan input yang telah lami kami mahukan.

Kami juga difahamkan kelak pengguna Note 10 boleh menjawab panggilan telefon dari PC Windows 10 mereka dengan kerjasama Microsoft. Ini adalah kesinambungan dari sistem Your Phone yang membaca dan menjawab teks yang telah disokong oleh Windows 10 untuk peranti Android sebelum ini.

Dengan bantuan kamera TOF, fungsi AR Doodle diperkenalkan. Pengguna boleh melakar lukisan yang terapung di udara dan dilihat menggunakan teknologi peranti terimbuh. Lukisan ini juga boleh diletakkan pada wajah individu sekiranya ingin dilakukan.

Akhir sekali ialah kamera boleh melakukan rakaman video dengan kesan bokeh Live Focus secara masa nyata. Latar belakang boleh dikaburkan atau diletakkan kesan khas seperti bulatan dan hitam putih. Fungsi ini turut boleh dilakukan kamera swafoto walaupun hanya satu kamera digunakan. Audio pada video yang dirakam juga boleh dizum bagi membolehkan kawasan spesifik audio ingin dirakam. Ini ialah fungsi yang pernah digunakan pada peranti HTC U11.

Kamera

Empat kamera utama menggabungkan sensor 12+12+16+3D TOF Megapixel (f/1.5+f/2.4)+f/2.4+f/2.2 dengan sensor terbesar digunakan pada lensa sudut ultra-lebar. Konfigurasi kamera ini adalah sama seperti pada S10 5G. Dengan kamera TOF, peranti boleh melakukan kesan khas peranti terimbuh dan menghasilkan kesan bokeh lebih tepat. Sistem telefoto masih lagi hanya 2X seperti yang ditemui pada Galaxy S9+ dan Galaxy Note 9. Sokongan zoom digital pula adalah sehingga 10X. Dengan P30 Pro, Mate 30 Pro dan Oppo Reno 10X Zoom menyokong sistem zum nirhilang yang lebih baik, kamera Note 10+ kini adalah sedikit ketinggalan berbanding pesaing mereka.

Pada bahagian hadapan pula sensor sebesar 10-Megapixel f/1.9+f/2.2 digunakan untuk rakaman swafoto beresolusi tinggi sehingga 4K 30FPS. Walaupun hanya dilengkapi satu kamera, ia masih boleh melakukan fungsi Live Focus yang memberikan kesan khas bokeh boleh dilakukan di dalam mod swafoto.

Peranti hanya menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 16:9, 19:9 dan 1:1. Untuk video pula terdapat kemampuan merakam video pada tetapan maksimum 4K 60 dengan HDR. Mod-mod kamera yang disertakan adalah seperti Panorama, Live-Focus, Pro, Instagram dan Super Slow Motion.

Kualiti Gambar

Gambar yang diambil pada peranti Samsung mempunyai cirinya yang tersendiri. Bisanya ia ditajamkan dengan saturasi warna yang dinaikkan menerusi perisian. Ciri turun temurun Samsung ni masih dapat dilihat pada Note 10+ cuma tidak lagi agresif seperti dahulu. Pengguna boleh mengaktifkan mod Scene Optimiser jika mahukan gambar yang kelihatan lebih asli. Seperti yang anda dapat lihat di bawah, dalam keadaan pencahayaan yang baik atau sedikit mendung sekalipun kualiti gambar adalah amat memuaskan. Julat dinamik gambar juga tidak mengecewakan apabila dalam keadaan sedikit mendung.

Tetapi kami menyedari tahap ketajaman gambar adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan S10 yang kamu ulas awal tahun ini. Ini mengejutkan kerana perbezaan hanya terletak pada perisian kerana kesemua komponen kamera yang digunakan adalah sama dengan penambahan sensor 3D TOF sahaja.

Penghasilan warna juga baik cuma sedikit lebih panas berbanding warna sebenar. Persoalannya ialah adakah anda ingin mengambil gambar yang kelihatan menarik atau gambar yang kelihatan semula jadi. Kami tahu di kalangan jurugambar, pilihan kedua adalah lebih digemari. Namun begitu kami merasakan bagi majoriti pengguna, mengambil gambar yang baik walaupun “palsu” menjadi pilihan kerana tidak perlu menghabiskan masa menyuntingnya sebelum boleh dimuat naik ke media sosial.

Raja mod malam setakat ini ialah P3o Pro. Jadi kesemua gambar yang diambil akan kami bandingkan dengan peranti keluaran Huawei ini. Dukacita dimaklumkan mod malam Samsung masih tidak setanding yang mampu diambil P30 Pro. Gambar kelihatan lembut dengan hingar yang ketara pada kawasan yang gelap. Pada lensa sudut ultra lebar, masalah hingar dan imej kurang tajam ini semakin ketara kerana lensa f/2.1 yang lebih perlahan berbanding f/1.5 pada lensa kamera utama. Kualiti zum optikal juga mengecewakan apabila digunakan pada waktu malam.

Kualiti mod malam yang tidak setanding P3o Pro ini adalah kerana saiz sensor Note 10+ yang lebih kecil. Huawei menggunakan sensor 40MP 1/1.7″ RYYB yang boleh menangkap lebih banyak cahaya berbanding sensor 12-MP 1/2.55″ RGB Note 10+. Sudah tiba masanya Samsung kembali ke meja lukisan dan memperbaiki sistem kamera mereka kerana ia tidak lagi kompetitif untuk 2019.

Kelebihan yang boleh kami berikan kepada Samsung terletak pada perisian. Gambar boleh diambil dengan pantas serta antaramuka aplikasi kamera yang kemas. Sistem zum optikal adalah lancar tanpa masalah tersekat-sekat pada P30 Pro.

Rakaman video juga jauh lebih baik pada Note 10+ dengan sistem penstabilan yang menakjubkan. Pada hemat kami Samsung antara syarikat yang menghasilkan peranti yang baik untuk rakaman video dan hanya dipintas oleh iPhone pada waktu artikel ini ditulis. P30 Pro mungkin terbaik dalam mengambil gambar tetapi mod rakaman videonya adalah sebaliknya.

Kedua-dua peranti mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Pendek kata jika anda mahukan peranti yang boleh mengambil gambar serta video yang baik dalam 80% situasi, Note 10+ kami sarankan kepada anda. Tetapi jika jika anda bercadang mengambil banyak gambar pada waktu malam dan zum optikal melampau, pilihan yang lebih baik ialah P30 Pro.


Audio

Pembesar suara fizikal bukanlah kekuatan Samsung kerana mereka tidak pernah menggunakan rekaan dua pembesar suara pada bahagian hadapan. Sistem stereo yang digunakan lebih cenderung menghasilkan audio yang lebih lantang pada pembesar suara bahagian bawah berbanding bahagian atas. Pada Note 10+ akhirnya sistem suara stereo yang lebih seimbang diperkenalkan.

Audio stereo yang mantap akhirnya dapat dinikmati dari sepasang pembesar suara stereo. Ini mengejutkan kerana kekisi audio pada gagang telinga Note 10+ adalah agak kecil. Apabila sistem Dobly Atmos diaktifkan bunyi yang dihasilkan adalah padu. Kualiti audio bluetooth juga amat baik dan sebenarnya lebih memuaskan berbanding pembesar suara. Kesemua codec audio utama disokong bagi memastikan muzik kegemaran dapat didengari pada kualiti yang terbaik. Satu-satunya kekurangan ialah tiada lagi bicu audio seperti Note 9. Ramai yang pasti merinduinya tetapi kami bagi menghasilkan peranti berbezel kecil dan saiz bateri yang besar, bicu audio terpaksa dikorbankan.

Penanda Aras

Dengan cip paling berkuasa dan 12GB RAM yang lebih besar berbanding yang digunakan pada kebanyakan komputer riba tidak mengejutkan Note 10+ berfungsi dengan amat cemerlang. Tiada langsung masalah sela masa, kesukaran melancarkan aplikasi atau memainkan permua pada tetapan paling tinggi. Sehingga 20 aplikasi boleh dilancarkan serentak dan kemudian dijalankan semula tanpa perlu menjalani proses segar semula. Jika anda inginkan peranti berkuasa yang boleh melancarkan puluhan aplikasi serentak, ini ialah pilihan terbaik anda pada waktu artikel ini ditulis. Kami tidak mempunyai sebarang perkara negatif mengenai kemampuan Note 10+.

Mari ke ujian penanda aras. Cip Exynos 9825 adalah yang pertama dihasilkan Samsung menggunakan teknologi 7nm dan adalah merupakan penambahbaikan dari cip Exynos 9820 yang digunakan Galaxy S10. Menerusi ujian penanda aras Geekbench 5, ia mencatatkan 825 markah dalam ujian satu teras dan 1857 markah dalam ujian multi-teras. Asus ROG Phone 2 ialah pemegang rekod Geekbench 5 tertinggi Andrpod di Amanz mencatatkan 753 markah dalam ujian satu teras tetapi 2770 markah dalam ujian multi teras.

Bagaimana pula markah yang dicatatkan apabila dibandingkan dengan iPhone 11 Pro Max dengan cip Apple A13 Bionic? Peranti mercu Apple ini mencatatkan 1334  markah untuk ujian satu teras dan 3190 markah untuk ujian multi-teras dalam ujian Geekbench. Jadi untuk tahun 2019, sekali lagi kuasa pemproses peranti mercu Apple jauh di hadapan peranti terbaik Android.

Dalam ujian Antutu 3D pula, 349,587 markah dicatatkan. Sekali lagi markah yang dicatatkan adalah lebih rendah berbanding 395,739 markah oleh Snapdragon 855+ dan 457,695 oleh Apple A13 Bionic. Sekali lagi markah Antutu terbaik adalah milik iPhone 11 Pro Max.

 

Bateri

Bateri 4300 mAh yang digunakan adalah yang terbesar pernah digunakan pada keluarga Note tetapi sekadar 300mAh lebih besar berbanding Note 9. Dalam penggunaan paling berat, skrin terpasang hampir 8 jam dengan peranti beroperasi selama 14 jam. Pada penggunaan yang lebih santai skrin terpasang selama 10 jam dengan peranti bertahan selama 23 jam. Ini adalah hayat penggunaan yang baik bagi sebuah peranti mercu tetapi tidak jauh bezanya dengan yang boleh dilakukan Note 9.

Prestasi bateri mungkin tidak menunjukkan perubahan yang besar tetapi sistem pengecasan tahun ini adalah jauh lebih pantas. Pengecas 25W yang disertakan mengecas Note 10+ dalam masa 70 minit. Peranti ini menyokong pengecas Super Fast Charger 45W tetapi sehingga kini ia masih belum dijual di Malaysia. Dari ulasan lain yang telah kami baca, ia hanya mengurangkan tempoh mengecas selama 10 minit sahaja. Ini membuatkan pembeliannya kurang berbaloi. Jika pengecasan niwayar penting bagi anda, ia boleh dicas dengan output 15W yang sama pantas dengan pengecas berwayar Adapative Fast Charger selama ini.

Pesaing

Sebagai perbandingan kami membandingkan Galaxy Note 10+ dengan Apple iPhone 11 Pro Max dan Huawei Mate 30 Pro kerana ketiga-tiganya adalah telefon pintar mercu premium dari tiga pengeluar peranti terbesar dunia.

Peranti Pesaing
Samsung Galaxy Note 10+ Huawei Mate 30 Pro Apple iPhone 11 Pro Max
6.8″ Dynamic AMOLED QHD+, HDR10+ (498 PPI) 6.6″ Fluid OLED FHD+ (409 PPI) 6.5″ OLED XDR Retina, HDR10 (458 PPI)
Exynos 9825
2 X 2.73 GHz Mongoose M4
2 X 2.4 GHz Cortex A75
4 X 1.9 GHz Cortex A55
Kirin 980
2 X 2.86 GHz Cortex A76
2 X 2.09 GHz Cortex A76
4 X 1.86 GHz Cortex A55
A13 Bionic
2 X 2.65 GHz Lightning
4 X 1.8 GHz Cortex A55
Mali-G76 MP12 Mali-G76 MP16 Apple GPU
12 Gigabyte 8 Gigabyte 4 Gigabyte
256/512 Gigabyte UFS 3.0 (SD Card sehingga 1TB) 256 Gigabyte UFS 3.0 (NM Card 256GB) 64/256/512 Gigabyte
Kamera Utama 12+16+12+3D Megapixel (f/1.5+f/2..1+f/2.2), OIS, PDAF, Zum Optikal 2X Kamera Utama 40+8+40+3D Megapixel (f/1.6+f/2..4+f/1.8), OIS, PDAF, Zum Optikal 3X Kamera Utama 12+12+12 Megapixel, (f/1.8+f/2.4+f/2.0), OIS, Zum Optikal 2X
Kamera Hadapan 10-Megapixel f/2.2 Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 12 Megapixel f/2.2
IP68 IP68 IP68
4300 mAh (Berwayar 45W)/Nirwayar 15W) 4500 mAh (Berwayar 40W/Nirwayar 27W) 3969 mAh (Berwayar 18W/Nirwayar Qi)
Dari RM 4199 ~RM 5094* Dari RM 5299

 

Kesimpulan

Galaxy Note 10+ ialah peranti yang menyasarkan pengguna profesional yang produktif walaupun ketika di luar pejabat. Dengan saiz skrin yang besar, pemproses berkuasa, RAM yang banyak serta storan yang besar tiada masalah untuk mengubah Note 10+ menjadi sebuah pejabat bergerak. Kekuatannya masih terletak pada kemampuan melancarkan puluhan aplikasi serentak tanpa perlu melakukan proses segar semula, ini ialah penting bagi mereka yang perlu menggunakan lebih dari satu aplikasi pada satu-satu masa.

Dex untuk desktop ketika dilancarkan kelihatan seperti sebuah gimik. Tetapi selepas menggunakannya selama dua minggu, ia adalah fungsi yang lebih banyak kami gunakan berbanding Air Gestures S Pen dan mod kamera baharu. Kami langsung tidak perlu mengangkat Note 10+ dari atas meja di pejabat sekiranya Dex digunakan. Kedua-dua Note 10+ dan komputer pejabat berkongsi sambungan papan kekunci dan tetikus. Tugas menjawab emel peribadi, kerja dan WhatsApp menjadi jauh lebih pantas.

Air Gestures adalah fungsi yang membuatkan anda memenuhi impian menjadi ahli sihir seperi Harry Potter tetapi secara ikhlasnya kami merasakan ia sekadar gimik. Sepanjang tempoh ulasa kami hanya menggunakannya beberapa kali sebelum lupa ianya wujud.

Pujian juga ingin kami berikan pada rekaan peranti yang kelihatan amat seksi dan simetri pada waktu yang sama. Dengan Note 10+, kemuncuk rekaan peranti Samsung dapat dilihat. Hampir kesemuanya positif kecuali butang kuasa yang dipindahkan ke kiri membuatkan kami perlu belajar semula menggunakan telefon.

Kamera yang secara tradisi adalah kekuatan keluarga Note kali ini sedikit mengecewakan. Dalam situasi pencahayaan yang sempurna gambar yang diambil adalah amat memuaskan. Apabila matahari terbenam dan cahaya berkurangan, hingar serta imej kurang tajam mula dihasilkan. Ini ditambah pula dengan mod malam yang masih belum setanding yang ditawarkan oleh Huawei serta zum digital yang sudah ketinggalan. Dengan pengenalan sensor 108MP lengkap dengan mekanime periskop mereka minggu lalu, Samsung tidak mempunyai alasan untuk terus ketinggalan.

Kesimpulannya Note 10+ ialah peranti untuk golongan profesional yang memerlukan telefon pintar berkuasa sebagai ganti komputer riba. Tiada masalah melancarkan puluhan aplikasi tanpa segar semula dan hayat bateri yang boleh dibanggakan. DeX untuk desktop ialah fitur membunuh yang kami rasakan paling berguna kerana membolehkan Note 10+ diakses terus dari PC dan Mac di pejabat. Kami hanya berharap DeX nirwayar akan akhirnya menjadi realiti di tahun hadapan.

Samsung Galaxy Note 10+ ialah peranti yang kami sarankan bagi mereka yang tidak mahu berkompromi dengan fungsi yang boleh dilakukan pada sebuah telefon pintar. Ia mempunyai kepadatan fungsi per inci paling tinggi di pasaran sekarang. Ada peranti lain menggunakan “Pro” pada nama tetapi setakat ini kami merasakan Note 10+ adalah satu-satunya yang memenuhi kriteria ini.

Di Malaysia Samsung Galaxy Note 10+ pula dijual pada harga RM4199 untuk 12/256GB dan RM4799 untuk versi 12/512GB.

KELEBIHAN KEKURANGAN
  • Peranti Samsung paling berkuasa tahun ini. Aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan tanpa masalah.
  • Antaramuka One UI memudahkan penggunaan peranti dengan sebelah tangan.
  • 12GB RAM membolehkan puluhan aplikasi dilancarkan serentak tanpa segar semula.
  • Kemampuan rakaman video dan gambar yang amat baik.
  • Ketahanan bateri yang memuaskan.
  • DeX kini boleh digunakan pada PC dan Mac.
  • Pengecasan sehingga 45W disokong. Akhirnya format pengecasan yang lebih pantas disertakan.
  • Sistem imbasan wajah tidak berfungsi di dalam gelap. Tiada lagi sistem imbasan iris infra merah.
  • Tiada bicu audio
  • Kedudukan butang kuasa yang diubah menyukarkan penggunaan.
  • Mod malam dan zum optikal yang tidak lagi terbaik.
  • Air Gestures terasa sekadar sebuah gimik.
  • Skrin masih 60Hz



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Amanz

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!



No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.