Hi! Welcome Back and Stay Tune! Ulasan Vivo V3 Max – Sebuah Lagi Peranti Kelas Pertengahan Yang Baik Di Pasaran - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Ulasan Vivo V3 Max – Sebuah Lagi Peranti Kelas Pertengahan Yang Baik Di Pasaran

vivo V3Max - IMG_8425Vivo dinobatkan sebagai pengeluar peranti ke-lima terbesar di dunia menurut jumlah jualan pada suku pertama 2016. Jualan mencatatkan peningkatan mendadak di pasaran China dan di Malaysia mereka sudah bertapak sejak 2014. Kali terakhir kami mengulas peranti keluaran mereka ialah tahun lalu dengan Vivo X5 Pro. Kali ini kami berpeluang mengulas Vivo V3 Max yang dilancarkan di Malaysia beberapa minggu yang lalu.

Spesifikasi

Vivo V3 Max
Skrin 5.5″ IPS LCD FHD (401 ppi)
Pemproses Qualcomm Snapdragon 652
Pemproses 1.8 GHz Cortex A-72 Empat Teras

1.4 GHz Cortex A-53 Empat Teras

GPU Adreno 510
RAM 4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel , PDAF, Rakaman 1080P
Kamera Depan 8 Megapixel , Rakaman 1080P
Bateri 3000 mAh (Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi SIM Nano + Mikro
Pengimbas Cap Jari Ya
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 849

Skrin 5.5″ IPS LCD dengan resolusi HD penuh dipadankan dengan pemproses lapan teras Snapdragon 652. Pemproses ini mungkin diklasifikasikan sebagai “kelas pertengahan” sekarang tetapi sebenarnya setanding dengan pemproses peranti kelas utama tahun lalu. RAM ialah sebesar 4 Gigabyte dan storan dalaman pula ialah 32 Gigabyte. Sokongan kad MikroSD ialah sehingga 128 Gigabyte.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 13 Megapixel pada bahagian belakang dengan sistem pemfokusan PDAF. Kamera hadapan pula ialah sebesar 8 Mengapixel. Kedua-dua kamera mengambil video pada resolusi maksimum 1080P.

Bateri 3000 mAh digunakan dengan sokongan pengecasan pantas. Sistem imbasan cap jari terletak pada panel belakang. Seperti kebanyakan peranti kelas pertengahan, Vivo V3 Max tidak menyokong sistem NFC.

Rekaan

Rekabentuk peranti berkongsi banyak persamaan dengan Oppo R7 yang kami ulas tahun lalu. Ini sebenarnya bukan kejutan besar kerana Vivo dan Oppo dimiliki oleh syarikat yang sama. Perkongsian rekaan ini muncul sekali lagi pada Oppo F1 Plus (Oppo R7) dan Vivo X7 yang dilancarkan hari ini. Keseluruhan kerangka peranti diperbuat daripada logam dengan bucu yang dibulatkan bagi memberikan keselesaan ketika memegangnya.

Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi kanan. Pada sisi bertentangan terletak talam SIM hibrid yang menyokong SIM bersaiz nano dan mikro. Talam SIM nano turut berfungsi sebagai slot kad MikroSD. Bergerak ke bahagian atas anda boleh melihat bicu audio 3.5mm. Akhir sekali pada bahagian bawah terdapat pembesar suara mono dan slot pengecasan MikroUSB. Pembesar suara yang disertakan mungkin mono tetapi mempunyai kualiti dan kelantangan audio yang baik.

Tiga butang navigasi kapasitif terletak pada dagu peranti. Butang home diapit oleh butang menu pada sebelah kiri dan back pada sebelah kanan. Agak aneh melihat penggunaan butang menu pada sebuah peranti 2016. Tiada butang multi tasking disertakan tetapi ini adalah kerana Vivo menggunakan sistem berbeza untuk mempamerkan skrin multi tasking. Ketiga-tiga butang ini tidak berlampu dan akan menyukarkan penggunaan di waktu malam.

Secara keseluruhan rekaan peranti adalah baik, kemas, terasa premiun dan paling penting sekali selesa dipegang. Kemasan belakang yang matte memastikan ia tidak menjadi terlalu licin dan memerangkap cap jari.

vivo V3Max - IMG_8398 vivo V3Max - IMG_8408 vivo V3Max - IMG_8404 vivo V3Max - IMG_8410

 

Funtouch OS 2.5

Android 5.1 Lollipop digunakan dengan pelancar khas Vivo Funtouch OS 2.5. Kepada yang tidak pernah menggunakan peranti Vivo, antaramuka yang direka oleh mereka ini lebih menghampiri iOS dari Android. Terdapat banyak perubahan fungsi dilakukan. Pertama sekali ia mempunyai dua sistem talam seperti iOS. Tatalan dari atas ke bawah akan membuka talam notifikasi. Tatalan dari bawah ke atas akan membuka talam singkatan pantas, tetapan keterangan skrin, tetapan kekuatan audio dan skrin multi tasking.

Kerana pengaruh iOS yang tinggi ini, talam aplikasi juga tidak disertakan. Sekiranya anda tidak pernah menggunakan Funtouch OS, beberapa minit awal menggunakan Vivo V3 Max mungkin akan menjadi sedikit sukar. Tetapi selepas membiasakan diri kami rasakan anda tidak akan terasa canggung.

Rekaan antaramuka mungkin sedikit aneh tetapi ia masih berfungsi dengan cukup baik. Tiada masalah sela masa kami sedari sepanjang tempoh ulasan dan elemen antaramuka sedap dipandang. Penggunaan warna juga baik dengan rekaan ikon yang minimalis. Sekiranya anda penggemar estetik iOS, Funtouch OS akan serasi dengan jiwa anda.

Vivo-V3-MaxScreenshot_20160522_081147-013 Vivo-V3-MaxScreenshot_20160603_072037-037 Vivo-V3-MaxScreenshot_20160603_072006-034

Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang disertakan di dalam Funtouch OS untuk memudahkan penggunaannya. Hampir kesemua fungsi ini tidak kami temui pada Android Stock.

Smart Wake – Menyahkunci dengan pantas ataupun melancarkan aplikasi tertentu dengan pantas dari skrin terkunci. Ini dilakukan dengan melakar bentuk tertentu di atas skrin yang terkunci.

Super Screenshot

  1. Pattern Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengikut beberapa bentuk yang telah ditetapkan seperti bentuk hati.
  2. Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang. Gambar keseluruhan bebenang WhatsApp ataupun laman web boleh diambil
  3. Screen Recording – Merakam video apa yang dipaparkan pada skrin.
  4. Doodle – Melakar secara terus pada gambar yang telah dirakam pada skrin.

Fungsi Sebelah Tangan – Paparan skrin mengecil dari saiz asal. Saiz paparan boleh diubah mengikut kehendak pengguna.

Theme – Mengubah tema antaramuka mengikut mood semasa.

Air Operation – Mengawal peranti tanpa sebarang sentuhan. Sebagai contoh Air Unlock menyahkunci peranti dengan hanya melakukan pergerakan tapak tangan.

Vivo-v3-max-Screens-5

Kamera

Kamera utama 13 Megapixel PDAF dipadankan dengan kamera selfie 8 Megapixel.  Gabungan kamera bersaiz ini adalah kebiasaan sekarang di kalangan peranti pintar kelas pertengahan. Seperti majoriti kamera kelas pertengahan yang lain, kamera V3 Max memaparkan kriteria yang sama. Di dalam situasi pencahayaan terang kami dapati gambar yang terhasil adalah sedikit gelap. Kesemua gambar memaparkan masalah dedahan tidak mencukupi dengan penghasilan warna yang sedikit kurang bermaya. Rata-rata gambar mempunyai tona kebiruan jika dibandingkan dengan objek sebenar.

Ketajaman gambar juga hanya sederhana. Kamera selfie hadapan yang agak besar memberikan kualiti gambar yang lebih baik berbanding kebanyakan kamera selfie yang lain. Saiz sensor yang besar membantu menghasilkan gambar berkualiti baik berbanding biasa.

Kami tidak mahu terlalu kritikal dengan kualiti gambar yang anda boleh lihat di bawah. Peranti ini dijual pada harga yang  sederhana dan mengharapkan ia mengambil gambar sebaik Huawei P9 ataupun Samsung Galaxy S7 Edge adalah amat tidak adil. Sekiranya anda hanya berkongsi gambar di media sosial dan bukannya untuk tujuan profesional, kemampuan sederhana kamera V3 Max adalah lebih dari memadai.

 

Vivo V3 MaxIMG_20160606_115559-001 Vivo V3 MaxIMG_20160606_115639-002 Vivo V3 MaxIMG_20160606_115708-003 Vivo V3 MaxIMG_20160505_152530-006 Vivo V3 MaxIMG_20160507_151434-004 Vivo V3 MaxIMG_20160508_172611-005

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 652 yang digunakan ialah pemproses kelas pertengahan yang mempunyai kemampuan yang agak tinggi. Seperti yang anda boleh lihat di bawah markah yang dicatatkan menerusi ujian Antutu dan Futuremark adalah boleh dibanggakan. Terdapat anomali dengan markah yang dicatatkan dengan Antutu kerana ianya terlalu rendah sehingga boleh dikatakan tidak masuk akal. Keanehan muncul lagi kerana markah yang dicatatkan lebih dari Xiaomi Redmi Note 3 yang menggunakan Snapdragon 650.

Dari penggunaan harian kami tidak menemui sebarang masalah menjalankan pelbagai aplikasi yang dimuat turun. Sela masa tidak kelihatan dan paling penting sekali ia juga tidak menjadi panas. Kami sedari peranti generasi semasa jarang sekali menghadapi masalah haba seperti peranti generasi tahun lalu yang menggunakan Snapdragon 810. Vivo V3 Max memang boleh diandalkan untuk kegunaan harian.

Vivo-v3-max-Bench-3

Vivo-V3-MaxScreenshot_20160522_123822-021


Bateri

Dengan skrin 5.5″, bateri 3000 mAh yang disertakan boleh dianggap kecil. Sungguhpun begitu hayat peranti ini adalah amat baik. Pada penggunaan sederhana ia mampu bertahan melebihi 24 jam dengan skrin terpasang hampir 8 jam. Pemproses keluarga 650 dan 652 memang secara keseluruhan menunjukkan ketahanan bateri yang amat baik tanpa mengorban kemampuan memproses yang tinggi. Selepas bateri habis digunakan, sokongan pengecasan pantas akan memastikan ia dapat dicas sepenuhnya dalam masa sekitar satu setengah jam.

 


Pesaing

Pesaing paling hampir bagi V3 Max ialah Xiaomi Redmi Note 3 dan Oppo F1 Plus yang sudahpun terjual di pasaran tempatan. Dari segi spesifikasi tidak terdapat banyak perbezaan di antara ketiga-tiga peranti kelas pertengahan ini. Kesemuanya mempunyai tubuh diperbuat daripada logam, saiz skrin setanding dan pengimbas jari terbina.

Peranti Pesaing
Vivo V3 Max Xiaomi Redmi Note 3 Oppo F1 Plus
5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI) 5.5″ AMOLED FHD (401 PPI)
1.8 x 4 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 652 1.8 x 2 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 650 2.0 x 8 GHz MediaTek Helio P10
Adreno 510 Adreno 510 Mali-T860MP2
4 Gigabyte 3 Gigabyte 4 Gigabyte
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (128 GB MikroSD) 64 Gigabyte (128 GB MikroSD)
Kamera Utama 13 Megapixel PDAF Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0 PDAF Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 PDAF
Kamera Hadapan 8 Megapixel Kamera Hadapan 5 Megapixel f/2.0 Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0
3000 mAH (Tidak boleh dibuka) 4000 mAh (Tidak boleh dibuka) 2850 mAh (Tidak boleh dibuka)
RM 1399 RM 849 RM 1898

Kesimpulan

Vivo V3 Max ialah sebuah peranti yang baik walaupun jatuh di dalam kategori kelas pertengahan. Rekaan logam dan sisi yang dibulatkan membuatkannya masih selesa dipegang untuk jangka masa yang lama. Panel belakang dengan kemasan matte memastikan ia tidak terlalu licin untuk dipegang dan paling penting sekali tidak memerangkap cap jari dengan mudah. Komen negatif yang boleh diberikan ialah rekaan V3 Max adalah agak generik tanpa keunikan tersendiri. Ada beberapa peranti buatan pesaing yang kelihatan amat sama dengannya.

Dari segi penggunaan Fountouch OS mungkin sedikit menyukarkan bagi mereka yang sudah biasa menggunakan Android. Antaramuka yang diinspirasikan oleh iOS ini mempunyai dua sistem “talam”. Tatalan dari atas akan membuka talam notifikasi. Tatalan dari bawah pula membuka talam tetapan pantas dan multi tasking. Aplikasi yang sudah dibuka terpapar sebagai ikon kecil. Ini amat berbeza dari sistem yang digunakan pada majoriti peranti Android yang lain.

Vivo-v3-max-hero-1Ia juga masih menggunakan Android Lollipop sedangkan majoriti peranti yang terjual di pasaran sekarang sudahpun menggunakan Marshmallow. Sungguhpun begitu antaramuka ini lancar dan tidak menunjukkan sebarang sela masa. Malah ia mempunyai pelbagai fungsi tambahan yang tiada pada Android Stock seperti mengubah tema dan sistem kawalan menggunakan pergerakan jari.

Kemampuan kamera sedikit mengecewakan kerana gambar agak gelap, penghasilan warna yang kusam. dan gambar yang terhasil kurang tajam. Ini ialah masalah yang melanda kesemua peranti kelas pertengahan yang kami ulasan tahun ini termasuk Redmi Note 3. Apabila membeli peranti kelas pertengahan, kualiti gambar yang terhasil juga nampaknya hanya sederhana.

Vivo V3 Max dijual pada harga RM1399 dan adalah harga yang masih mampu milik bagi kebanyakan pengguna. Ia mampu melakukan kesemua tugasan yang diberikan tanpa masalah tanpa sebarang sela masa. Ketahanan bateri juga amat baik. Ia antara peranti kelas pertengahan yang baik di pasaran sekarang asalkan anda tidak kisah terpaksa mempelajari antaramuka Fountouch OS yang lain dari antaramuka Android biasa.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan peranti yang selesa dipegang.
  • Pengimbas cap jari yang pantas amat pantas.
  • Bateri yang baik mampu bertahan melebihi sehari.
  • Sokongan pengecasan pantas.
  • Peranti lancar digunakan tanpa sebarang masalah.
  • Antaramuka yang amat berbeza dari Android biasa dan memerlukan pengguna mempelajari bagaimana menggunakannya.
  • Masih lagi menggunakan Android Lollipop.
  • Butang navigasi tidak berlampu.

Skor-Amanz-Vivo-V3-Max

 






Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/29ku591

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.