Pandang Pertama Asus Zenfone 3 ZE552KL
Sebanyak tujuh versi Zenfone 3 memasuki pasaran Malaysia pada Sabtu yang lalu. Terdapat model peranti utama, pertengahan dan juga permulaan. Pendek kata Asus mensasarkan semua golongan pengguna dengan pelancaran peranti terkini Zenfone mereka. Kami berpeluang menggunakan Asus Zenfone 3 ZE552KL. Ini ialah versi kelas pertengahan dengan skin 5.5″. Terdapat model dengan spesfikasi serupa tetapi dengan skrin 5.2″ (ZE520KL). Jadi adakah peranti ini dimiliki? Berikut ialah pandangan pertama kami terhadap Zenfone 3 ZE552KL.
Spesifikasi
Asus Zenfone 3 ZE552KL | |
---|---|
Skrin | 5.5″ Super IPS+ HD Penuh (401 ppi) |
Chipset | Qualcomm Snapdragon 625 |
CPU | 2.0 GHz Cortex A-53 Lapan Teras |
GPU | Adreno 506 |
RAM | 4 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 64 Gigabyte (MikroSD sehingga 2 TB) |
Kamera Utama | 16 Megapixel OIS f/2.0, Laser |
Kamera Depan | 8 Megapixel f/2.0 |
Bateri | 3000 mAh (Tidak boleh tanggal) |
SIM/Telefoni | Nano + Mikro SIM/4G |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Tiada |
Harga Jualan | RM 1699 |
Asus Zenfone 3 ZE552KL dilengkapi skrin 5.5″ Super IPS+ dengan resolusi HD penuh. Ini dipadankan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 625 dengan lapan teras dengan kelajuan 2.0 GHz, RAM sebesar 4 Gigabyte dan storan sebesar 64 Gigabyte. Kepada yang inginkan storan tambahan, kad MikroSD sehingga 2 Terabyte disokong.
Kemampuan optik pula ialah kamera utama 16 Megapixel f/2.0 dengan sistem OIS dan pemfokusan laser. Kamera selfie pula sebesar 8 Megapixel f/2.0. Kamera utama mampu merakam video pada resolusi 4K. Ini menjadikan Zenfone 3 sebagai peranti kelas pertengahan pertama yang menyokong rakaman pada resolusi UHD ini.
Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri sebesar 3000 mAh. Tidak seperti model Zenfone sebelum ini, panel belakang peranti ini tidak boleh ditanggalkan. Saiz bateri yang digunakan adalah agak kecil bagi saiz skrin yang digunakan. Sungguhpun begitu Zenfone 3 menyokong pengecasan QuickCharge 3.0 yang mampu mengecas pada kelajuan yang amat pantas melalui port USB-C.
Tiada sokongan NFC ataupun pemancar infra merah disertakan. Dwi-SIM disokong dengan satu slot untuk SIM Nano dan sebuah lagi bersaiz Mikro. Talam slot SIM adalah dari jenis hibrid dan apabila kad MikroSD digunakan, slot Nano SIM tidak boleh digunakan.
Rekaan
Perubahan yang amat mendadak dilihat dari Zenfone 2 ke Zenfone 3. Panel plastik dan sisi logam digantikan dengan tubuh logam dengan panel belakang yang menggunakan kaca Gorilla 3. Tidak melampau untuk mengatakan Zenfone 3 kini kelihatan seperti sebuah peranti Samsung. Ini bukanlah perkara negatif kerana kualiti binaan yang premium, rekaan yang selesa dan kemasan yang terperinci amat sinonim dengan Samsung. Dengan Zenfone 3, Asus meninggalkan imej peranti murah kerana penggunaan bahan binaan plastik sebelum ini. Kaca 2.5D digunakan pada panel hadapan dan belakang. Pergerakan jari kini lancar dari skrin ke sisi peranti. Ikhlas kami katakan rekaan Zenfone 3 bukan sahaja selesa tetapi kelihatan agak seksi.
Kerangka logam yang digunakan dibulatkan bagi meningkatkan keselesaan ketika dipegang. Pada sisi kanan terdapat butang suara dan kuasa yang turut diperbuat daripada logam. Tiada lagi butang kawalan suara pada panel belakang seperti yang dilihat pada Zenfone 2. Ini adalah sedikit mengecewakan kerana kami menggemari rekaan lama ini. Sebaliknya sebuah pengimbas cap jari berbentuk bujur kini menggantikan lokasi butang kawalan suara. Pada sisi kiri terdapat slot untuk talam SIM dan kad MikroSD. Bergerak ke atas terdapat sebuah bicu audio 3.5mm. Sebuah port pengecasan USB-C dan pembesar suara mono pula terletak pada bahagian bawah.
Tiga butang navigasi kapasitif terletak pada dagu peranti. Sekali lagi Asus tidak meletakkan lampu pada ketiga-tiga butang. Pada peranti ini butang home dihimpit butang back pada sebelah kiri dan butang multi tasking pada sebelah kanan. Tidak seperti pada Xiaomi Mi 5, tiada pilihan untuk mengubah kedudukan dua butang ini. Kami sudah biasa menggunakan peranti dengan butang back pada sebelah kanan dan ini menimbulkan sedikit kekeliruan pada awal penggunaan.
Kombinasi bahan binaan logam dan kaca menjadikan peranti ini amat cantik dilihat. Walaupun diklasifikasikan sebagai peranti kelas pertengahan, ia lebih menyerupai sebuah peranti utama. Kemasan peranti ini jauh lebih berkualiti dari yang kami temui pada Xiaomi Mi 5. Ia amat selesa dipegang walaupun sedikit licin kerana kewujudan panel kaca.
Pada waktu yang sama panel belakang Zenfone 3 memerangkap cap jari seperti magnet. Dengan mudah ia akan berubah menjadi comot. Seperti biasa apabila membeli peranti dengan panel kaca, kami menyarankan pembelian kerangka tahan lasak. Peranti akan lebih selamat dari terjatuh dan kurang comot kerana kerap dipegang.
ZenUI 3.0
Sistem operasi Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar ZenUI 3.0. Ini mungkin peranti baru tetapi antaramuka ZenUI 3.0 tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara berbanding yang digunakan pada Zenfone 2. Perubahan kecil dilihat pada rekaan sesetengah ikon (kini lebih bulat) dan pengurangan aplikasi gendut. Aplikasi terpasang masih banyak kerana menghampiri 20 tetapi berita baik ialah kali ini majoriti boleh dinyahpasang sekiranya tidak dikehendaki. Kepada yang biasa menggunakan peranti Asus, perubahan yang kecil ini memudahkan mereka untuk menggunakan Zenfone 3.
Berikut ialah beberapa fungsi tambahan yang terbina di dalam ZenUI.
Themes – Mengubah teman antaramuka peranti. Pelbagai tema baru boleh dimuat turun secara percuma ataupun dibeli.
One Hand Mode – Mengecilkan saiz skrin bagi memudahkan penggunaan sebelah tangan. Tekan butang home sebanyak dua kali untuk mengaktifkan mod ini.
Motion Gesture – Mengawal peranti dengan pergerakan peranti.
- Flip – Menutup deringan telefon dengan menelangkupkan peranti.
- Hands Up – Menjawab telefon dengan meletakkannya terus ke telinga.
Touch Gesture – Melancarkan aplikasi dengan melakukan sentuhan atau lakaran jari pada skrin.
- Dwi-tap – Menghidupkan atau mematikan skrin dengan menekan skrin sebanyak dua kali.
- Gesture – Lakaran huruf tertentu pada skrin yang dimatikan akan melancarkan aplikasi dengan pantas. Sebagai contoh lakaran huruf “C” akan melancarkan aplikasi kamera.
Screen Capture – Merakam paparan skrin dengan menekan butang multi tasking selama beberapa saat.
Pengimbas Jari – Selain menyahkunci peranti ia turut boleh digunakan untuk melakukan fungsi di bawah.
- Menjawab panggilan – Menjawab panggilan dengan meletakkan jari pada pengimbas.
- Melancarkan kamera – Melancarkan aplikasi kamera dengan pantas dengan menekan pengimbas cap jari sebanyak dua kali.
- Pengatup kamera – Menangkap gambar dengan meletakkan jari pada pengimbas. Berguna ketika mengambil gambar selfie.
Kids Mode – Menetapkan akses kepada aplikasi tertentu sahaja apabila digunakan kanak-kanak.
Kesimpulan
Kami menyukai rekaan baru Asus Zenfone 3 ZE552KL yang kini tidak lagi membuatkannya kelihatan seperti sebuah peranti murahan. Dari rekaan hinggalah ke keselesaan memegang, peranti ini terasa amat premium. Rekaan cantik ini pastinya menarik perhatian pengguna. Peranti kelas pertengahan tidak semestinya kelihatan kurang menarik jika dibandingkan dengan peranti utama. Spesifikasi Zenfone 3 juga amat menarik. RAM sebesar 4 Gigabyte memastikan kelancaran menggunakan peranti. Kamera 16 Megapixel dengan sokongan OIS yang disertakan mampu merakam video pada resolusi 4K. Kami percaya Zenfone 3 ialah peranti kelas pertengahan pertama yang merakam pada resolusi ini. Storan sebesar 64 Gigabyte memastikan rakaman dapat dilakukan tanpa perlu risau kehabisan ruang.
Sungguhpun begitu masih terdapat beberapa kekurangan yang nyata. Pertama sekali rekaan antaramuka Zen UI yang tidak menunjukkan perubahan yang ketara. Aplikasi gendut yang disertakan masih lagi agak banyak walaupun telah dikurangkan dari apa yang kami lihat pada Zenfone 2. Rekaan yang digunakan pada ZenUI berbeza dengan stock Android Marshmallow yang lebih cantik, minimalis dan kemas. Sungguhpun begitu pujian boleh diberikan kepada Asus kerana menyertakan pelbagai fungsi tambahan dan pilihan kustomasi. Nantikan ulasan penuh Asus Zenfone 3 dalam masa terdekat. Teruskan membaca Amanz.
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2aInbyu
Post a Comment