Pas sokong syor MTUC kurangkan waktu kerja
KUALA LUMPUR: Pas berharap kerajaan segera mempertimbangkan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar waktu bekerja di negara ini dipendekkan kepada enam jam.
Ahli Parlimen Pas Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata, jumlah masa yang lama ini jika dipendekkan boleh memberi kesan positif.
Ini termasuk menambah produktiviti selari dengan peningkatan fokus dan keupayaan mengoptimumkan prestasi secara konsisten setiap pekerja.
Katanya, ia menjamin kesihatan pekerja dengan lebih baik kerana bebanan kerja dan tekanan dapat dikurangkan.
Langkah itu, ujarnya, dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas berikutan waktu mula dan tamat kerja dapat dijadualkan secara beberapa peringkat.
“Selain mengurangkan waktu bekerja, Kerajaan juga dicadangkan melaksanakan waktu kerja yang lebih pendek dan fleksibel kepada golongan wanita yang berstatus isteri dan ibu bagi membolehkan golongan ini menjalankan tanggungjawab utama mereka terhadap suami, anak-anak dan keluarga dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hal ini sangat penting bagi menjamin institusi sosial utama ini semakin bertambah baik selari dengan kemajuan yang mahu dicapai, jelas beliau.
“Islam sememangnya menganjurkan manusia berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang ditetapkan,” tambahnya.
Namun, beliau mengingatkan, ia tidaklah boleh sampai ke tahap memperhambakan diri kepada kebendaan dan sehingga masing-masing mengejar kepentingan diri sendiri sehingga mengancam kehidupan orang lain.
MTUC pernah mengemukakan cadangan yang sama ini pada Oktober 2015 lalu.
Buat masa ini, undang-undang sedia ada memperuntukkan jumlah jam bekerja seminggu ialah 48 jam dengan maksimum lapan jam sehari dan enam hari bekerja seminggu. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment