Sultan Johor selamat jalani rawatan di Singapura
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah selamat menjalani prosedur angioplasty di Pusat Perubatan Gleneagles, Singapura.
Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, baginda Tuanku telah dirujuk untuk rawatan di Singapura pagi semalam, setelah mengadu sakit dada semasa beriadah.
“Keadaan Tuanku waktu ini adalah stabil dan baik. Baginda dibenarkan kembali ke Johor pagi tadi dan sedang berehat di Istana Pasir Pelangi,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Baginda telah dinasihatkan oleh kumpulan pakar perubatan untuk mendapatkan rehat secukupnya, termasuk mengelak dari melakukan perjalanan jauh, jelas Khaled lagi.
Khaled berkata, Kerajaan Negeri Johor merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan perubatan baginda atas perhatian baik mereka terhadap Tuanku Sultan.
“Kerajaan Negeri mengajak seluruh rakyat Johor dan Malaysia untuk terus mendoakan agar kesihatan Tuanku agar segera pulih,” katanya. – Sarawakvoice.com
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment