Tony Pua yang disekat Imigresen selama lebih setahun kini bebas ke luar negara
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kini dibenarkan pergi ke luar negara selepas Jabatan Imigresen mengenakan larangan tersebut lebih setahun terhadap beliau atas alasan menggugat demokrasi Parlimen.
Setiausaha Publisiti DAP itu menyatakan demikian dalam satu kemas kini di laman sosial Facebooknya.
Pada 22 Julai tahun lalu, Tony disekat daripada meneruskan perjalanannya ke Jogjakarta, Indonesia ketika berada di KLIA2 bagi menghadiri acara seni bagi Penang Arts District Project.
Menurut kenyataan itu, peguamnya Gobind Singh Deo dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Pejabat Peguam Negara.
“Saya telah dilarang ke luar negara sejak akhir Julai 2015 kerana siasatan polis berhubung kononnya saya terlibat ‘aktiviti memudaratkan Demokrasi Parlimen’, “ katanya.
“Saya baru memeriksa laman web Imigresen dan status saya sekarang adalah ‘Tiada Halangan’,” jelasnya.
Tony telah mencabar perintah sekatan itu di Mahkamah Tinggi, namun mahkamah memutuskan Ketua Pengarah Imigresen mempunyai kuasa menghalang seseorang daripada meninggalkan negara.
Pada tahun lalu juga, Tony dan seorang lagi wakil rakyat DAP, Teresa Kok turut disekat daripada memasuki Sarawak. – Sarawakvoice
Kredit : SarawakVoice.com
Post a Comment