Hi! Welcome Back and Stay Tune! Dilantik jadi Menteri Kewangan ketika orang tak kenal dia: Ini kisah Daim Zainuddin - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Dilantik jadi Menteri Kewangan ketika orang tak kenal dia: Ini kisah Daim Zainuddin

Dilantik jadi Menteri Kewangan ketika orang tak kenal dia: Ini kisah Daim Zainuddin

Mungkin ramai dari generasi muda sekarang yang tak kenal siapa dia Tun Daim Zainuddin. Untuk maklumat korang, Tun Daim ni pernah 2 kali jadi Menteri Kewangan Malaysia masa zaman Dr Mahathir dulu. Walaupun, dia mula menyepi lepas bersara, tapi nampaknya dia mula bersuara kembali masa zaman PM Najib sekarang ni.

Baru-baru ni dalam tulisannya kat The Edge, Daim kata yang negara kita sekarang ni tengah hadapi krisis keyakinan yang kronik, dia juga melahirkan kebimbangannya dengan keadaan ekonomi negara sekarang. Sebelum ni, nama dia pun tersenarai dalam kalangan mereka yang sain ‘Deklarasi Rakyat’. Apa yang menariknya, ini kali pertama Daim bersuara lepas mula senyap sejak setahun lalu.

Oleh itu, mungkin lebih best kalau SOSCILI kali ni ceritakan kisah siapa dia Daim Zainuddin yang pernah para wartawan gelarkan sebagai ‘Tokoh Penuh Misteri‘ ni. Sampai sekarang jugak masih banyak spekulasi yang dikaitkan dengannya. Mungkin kita boleh mula dengan sejarah hidup Daim, bila segalanya bermula apabila…

Bercita-cita nak jadi jutawan sebelum usia 35 tahun

Tun Daim dilahirkan di Derga, Alor Setar, Kedah pada 11 November 1938. Dia mula belajar Undang-Undang kat Lincoln’s Inn London pada tahun 1957. Lepas je selesai belajar, dia mula kerja kat beberapa firma undang-undang sebelum jadi Majistret, Presiden Mahkamah Seksyen Muar dan Timbalan Pendakwaraya di Ipoh.

Tun Daim masa kat London. Imej dari Daim Insan Di Sebalik Enigma.

Lepas tu, Daim buka pulak firma guamannya sendiri: Daim and Co. Apa yang menariknya, Daim dah tetapkan cita-citanya yang nak jadi jutawan sebelum umur 35 tahun. Sebab tu jugaklah, dia selalu berusaha untuk capai cita-citanya tu.

Bila dia dapat pinjaman RM 10,000 dari Majlis Amanah Rakyat (MARA), Daim gunakan duit tu untuk main saham. Mula-mula tu memanglah dia seronok sebab dapat banyak untung, tapi ‘langit tak selalunya terang’ bila pasaran saham jatuh sebab berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Daim dapat rugi besar masa tu, sampai dia pernah bersumpah yang dia takkan main saham, selagi dia belum mahir.

Tapi cita-cita dia yang nak jadi jutawan tu masih lagi belum berakhir. Kali ni, Daim terpengaruh pulak dengan kawannya yang kata ‘dia takkan dapat jadi jutawan’ kalau nak harapkan firma guamannya tu. Jadi, Daim terima cadangan kawannya tu dengan buka kilang garam dan kilang plastik. Tapi nasib masih tak menyebelahi dia, bila dua-dua syarikat ni gagal.

Lepas tu, Daim cuba nasib pulak dalam perniagaan hartanah. Kali ni, dengan kerjasama Low Kiok Bow dan Thamby Chik, mereka buat permohonan dengan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Dato’ Harun Idris untuk dapatkan satu kawasan dekat Cheras. Hasilnya, mereka dapat jalankan projek perumahan dan rumah kedai yang kita kenal sampai sekarang sebagai Taman Maluri.

Nama Taman Maluri ni diambil sempena nama syarikat Daim sendiri. Imej dari iproperty.com

Hasil dari kejayaan ini, Daim berjaya bergelar jutawan seperti mana yang dia pernah cita-citakan.

Minat politik, tapi tak terfikir nak masuk politik

Daim mula minat politik sejak dia remaja lagi. Tapi dia bertambah dekat dengan politik bila dia mula berkawan dengan ramai tokoh politik sejak dia belajar kat London. Antaranya adalah Tengku Razaleigh (Bekas Menteri Kewangan), Syed Jaafar Albar (Bekas Setiausaha Agung UMNO) dan Tun Hussein Onn (Bekas Perdana Menteri).

Tapi dia mula lebih dekat dengan politik bila syarikat guaman Allen & Gledhill yang dia pernah bekerja, dilantik oleh kerajaan untuk satu kes politik kat Sarawak. Bermula dari situlah, dia mula berhubung dengan Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ketika itu).

Lepas kejayaan Daim dalam projek Taman Maluri, dia mula terkenal sebagai seorang tokoh korporat yang berjaya. Disebabkan kejayaan ini jugaklah, Daim dah dermakan $100,000 pada UMNO untuk kegunaan PRU 1974. Tun Razak masa tu ada tawarkannya jadi calon Pilihan Raya, tapi ditolak oleh Daim.

Tengah berkempen dalam PRU 1995. Imej dari Daim Insan Di Sebalik Enigma.

Daim mula betul-betul masuk politik, bila Dr Mahathir lantik dia jadi Senator (1980-1982). Tapi secara kemuncaknya apabila dia dilantik menjadi Menteri Kewangan pada 1984 menggantikan Tengku Razaleigh.

Daim hadapi 2 krisis ekonomi masa jadi Menteri Kewangan

Ketika Daim dilantik jadi Menteri Kewangan, ramai orang yang terkejut dan tertanya-tanya ‘Siapa dia Daim ni? Macam mana dia boleh jadi Menteri Kewangan? Dikatakan masa tu, walaupun Daim pernah jadi Senator ramai orang tak tahu pasal dia termasuk wartawan, sebab dia ni seorang yang sangat pendiam.

Daim jugak ada kata yang dia sebenarnya terkejut jugak bila Dr Mahathir masa tu tawarkan jawatan Menteri Kewangan kepadanya.

“Saya perlu berbincang dengan keluarga (tentang tawaran jawatan). Tapi PM (Dr Mahathir) mahu jawapan serta merta, di situ juga. Dia kata saya tidak akan dibenarkan beralih dari situ hingga saya memberikan jawapan ‘ya’.”

“Saya kata pada PM, patutlah orang kata dia seorang diktator. Dengan saya pun dia bersikap begini.” – Daim yang Diam: Sebuah Biografi, p67

Daim bersalaman dengan Ku Li masa baru je ambil alih jawatan Menteri Kewangan. Imej dari Daim yang Diam: sebuah biografi.

Akhirnya Daim terima jawatan tu. Apa yang mengagumkan ketika tu, Daim berjaya siapkan Belanjawan Negara 1985, hanya lepas 3 bulan dilantikDaim jugak berjaya kawal ekonomi negara masa tu yang alami Kemelesetan Ekonomi 1985.

Ketika ini jugaklah dia terlibat dalam usaha menyelesaikan Skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang rugi RM2 bilion. Hasilnya kerajaan terpaksa jual syarikat tu pada PETRONAS.

Tapi beberapa tahun lepas tu pada 1991, Daim letak jawatan dan diambil alih oleh Anwar Ibrahim. Walaupun begitu, dia dilantik sebagai penasihat ekonomi kepada kerajaan dan masih lagi Bendahari Agung Umno dan Barisan Nasional (BN).

Seterusnya, Daim dilantik sekali lagi jadi Menteri Kewangan pada 1999 bila Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya. Kali ni pulak, Daim bersama Dr Mahathir terpaksa pulak menghadapi kesan Krisis Ekonomi 1997-1998. Dia akhirnya meletakkan jawatan pada 2001.

Anwar pernah kata yang dia boleh maafkan Dr Mahathir tapi tak pada Daim. Imej dari Daim Insan Di Sebalik Enigma.

Berjaya kuasai banyak bank termasuk bank luar negara

Antara sebab utama Dr Mahathir pilih Daim sebagai Menteri Kewangan adalah kerana kehebatannya dalam bidang perniagaan. Seperti mana yang dia dah buktikan untuk jadi jutawan sebelum berumur 35 tahun. Kehebatan Daim dalam bidang perbankan bermula bila dia dilantik menjadi Pengerusi Bank Rakyat.

“Itulah kali pertama saya terlibat dan berjinak-jinak dengan bank. Menarik juga ketika itu, saya jadi pengerusi, menjaga duit orang. Kalau dapat buat bank sendiri lagi bagus.” – Tun Daim Zainuddin, dipetik dari Dewan Ekonomi.

Pada tahun 1980an, Daim mula agresif masuk dalam dunia perbankan bila berjaya kuasai Malaysia-French Bank dari ahli perniagaan Perancis. Pada 1984 pulak, Daim berjaya kuasai United Malayan Banking Corporation (sekarang RHB Bank) yang merupakan bank ke 3 terbesar kat Malaysia waktu tu.

Kad ATM United Malayan Banking Corporation (UMBC), sekarang dah takde dah. Imej dari colnect.com

Tapi Daim terpaksa lepaskan dua-dua bank tu bila dilantik jadi Menteri Kewangan. Lepas je letak jawatan kali pertama pada 1991, Daim mula tubuhkan sebuah syarikat pelaburan: International Commercial Bank (ICB) kat Switzerland.

Bank ni catatkan prestasi yang hebat bila mula masuk Republik Czech dan Hungary pada 1994. Dua tahun lepas tu, bank ni berjaya pulak masuk kat Guinea, Ghana, Tanzania dan Albania. Kat Malaysia pulak Daim berjaya kuasai Hock Hua Bank di Sabah.

International Commercial Bank (ICB). Imej dari sen360.fr.

Lepas je bersara dari kabinet pada 2001, Daim tubuhkan ICB Global Management. Syarikat ni pun dibuka kat Sierra Leone dan Gambia. Seterusnya, ICB Financial Group Holding ditubuhkan dan mulakan pelaburan kat Bank Antarabangsa Indonesia.

Kejayaan demi kerjayaan dicatatkan apabila Daim berjaya kuasai Bank Bumiputera Indonesia pada 2004. Hasilnya ICB diangkat sebagai ‘Bank of The Year’ oleh majalah The Banker dari 2004 sampai 2007. Belum cukup dengan tu, pada 2008 Daim sekali lagi kuasai bank yang kali ni adalah Oriental Bank dari Bangladesh. (Rujuk Fail PDF)

Imej asal giphy

Haaa… bila tengok semua ni, kita dah boleh agak yang Daim ni bukanlah orang biasa sebenarnya.

Bursa saham pernah jatuh kerana kata-kata Daim

Bila Daim dilantik sebagai Menteri Kewangan, banyak tohmahan dan rasa tak yakin dari ramai orang termasuk ahli kabinet terhadap kemampuannya. Mungkin ada asasnya jugak sebab sesiapa yang jadi Menteri Kewangan boleh dianggap sebagai orang ketiga paling berkuasa selepas Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Mati hidup negara terletak kepada kementerian ini (Kementerian Kewangan). Tanggungjawabnya berat dan luas. Apa yang berlaku dalam negara dan luar negara ada kaitan dengan kementerian.” – Daim yang Diam: Sebuah Biografi, p72

Dari kiri: Lim Chong Eu (Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang), Daim Zainuddin, Chong Hon Nyan (Bekas Menteri Kesihatan) & Lee Kuan Yew. Imej dari The Star.

Tapi nampaknya Daim berjaya menutup mulut orang yang mengkritiknya masa tu, bila dia berjaya membawa Malaysia keluar dari Kemelesetan Ekonomi 1985. Daim juga berjaya melaksanakan dasar penswastaan, dengan menyaksikan beberapa projek berjaya diswastakan termasuklah Syarikat Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pos Malaysia, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan banyak lagi.

Selain memajukan Langkawi sebagai pusat pelancongan, Daim juga berjaya memajukan sistem ekonomi negara dan menukar struktur cukai negara.

“Diberikannya kepada Daim jawatan Menteri Kewangan, beliau mengeluarkan negara dari sistem kewangan yang lapuk dan mengemukakan strategi kewangan yang dinamik, mengurangkan bebanan hutang luar, meningkatkan simpanan negara dan memperteguhkan kedudukan ekonomi negara dalam masa yang singkat.” – Surat daripada Dr. Mahathir, p212

“Semasa Daim juga, Pasaran Saham Malaysia dibebaskan daripada kongkongan Singapura….

Apabila Dr Mahathir memberikan tanggungjawab memajukan Langkawi kepada Daim, ditukarnya pulau sumpahan Mahsuri itu kepada pulau ‘rastuan’ berjuta pelancong dari dalam dan luar negara, diberikan Labuan di tengah lautan, Labuan menjadi tarikan pelaburan kewangan.” –  Surat daripada Dr. Mahathir, p213

Kehebatan Daim dalam bidang kewangan jugak diakui oleh seorang wartawan Berita Harian, Manja Ismail. Dia menceritakan pengalamannya yang tak pernah berlaku masa Daim membentangkan Belanjawan Negara 1991.

“Jika dalam Belanjawan sebelum ini mereka (pihak pembangkang) mudah mendapatkan ilham untuk memberikan komen termasuk menyifatkannya sebagai Belanjawan Pilihan Raya, tapi kini mereka sukar mencari slogan yang tepat…

Mereka terpaksa duduk semeje dahulu untuk mencari kelemahan dalam Belanjawan ini yang boleh dijadikan modal politik mereka.” – Daim yang Diam: Sebuah Biografi, p114

Reaksi Daim sebelum membentangkan Belanjawan Negara 1991. Imej dari Daim yang Diam: sebuah biografi

Satu lagi cerita yang menarik adalah pada 1993, Daim pernah ditemu ramah oleh BERNAMA tentang Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang naik mendadak sebab ada yang kata Daim banyak kuasai syarikat yang tersenarai dalam  BSKL.

Daim menjawab: “Saya sudah jual semua saham saya di BSKL”. Sebenarnya, Daim taklah ada banyak saham macam mana yang didakwa. Tapi disebabkan penafiannya selama ni orang tak peduli, dia pun saja cakap macam tu.

BERNAMA pada mulanya takut nak siarkan berita ni, tapi bila rasa masa dah sesuai, BERNAMA keluarkan berita ni 5 hari kemudian. KESANNYA, pasaran saham BSKL jatuh merudum dan banyak pelabur yang rugi beribu-ribu ringgit. 

Imej asal dari BBC.

Untuk maklumat, ini fakta-fakta menarik tentang kehebatan Daim Zainuddin:

  1. Bercita-cita nak jadi jutawan sebelum berumur 35 tahun dan dia berjaya.
  2. Orang Melayu yang berjaya jadi jutawan sebelum Dasar Ekonomi Baru (DEB).
  3. Orang Melayu pertama yang berjaya jalankan projek hartanah (Taman Maluri) kat Selangor/Kuala Lumpur.
  4. Berjaya bawa Malaysia keluar dari kemelesetan ekonomi 1985.
  5. Berjaya kuasai dua bank negara lain seperti Indonesia dan Bangladesh.

Apa reaksi kerajaan dengan teguran Daim?

Tun Daim bersama Tun Hussein, Tunku Abdul Rahman dan Dr Mahathir. Imej dari Daim yang Diam: sebuah biografi.

Seperti yang kami kata tadi, Daim terkenal sebagai seorang yang sangat pendiam. Jadi dia jarang bersuara terutamanya pasal perkara yang membabitkan kerajaan. Walaupun begitu, nampaknya dia terpanggil untuk bersuara sekarang.

Tegurannya terhadap kerajaan patut dipandang berat. Lebih-lebih lagi ia datang dari seseorang yang pernah 2 kali pegang jawatan Menteri Kewangan.

“…kekurangan integriti, kejujuran dan keberanian moral. Ketiadaan sifat-sifat moral yang tinggi ini berlaku secara meluas di kalangan elit negara ini, khususnya mereka yang berkuasa.” – Tun Daim Zainuddin, dipetik dari  The Edge, juga tersiar di Sinar Harian.

Setakat ni, jawapan dari pihak kerajaan datang dari Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani yang kata segala teguran yang dibuat Daim diterima dengan positif oleh kerajaan. Bagaimanapun, dia kata apa yang berlaku sekarang tak boleh disamakan dengan apa yang pernah jadi masa zaman Dr Mahathir dan Daim dulu.

“Krisis ketika ini begitu rumit jika ingin dibandingkan dengan apa yang berlaku pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim. Bayangkan, situasi sekarang ini, 28 negara dalam zon Eropoh menjadi tidak stabil…” – Datuk Johari Abdul Ghani, dipetik dari Sinar Harian.

Tun Daim dan Datuk Kadir Jasin (Tokoh Wartawan), ketika bagi penghormatan kepada mendiang Lee Kuan Yew. Imej dari The Star.

Nazri Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) pulak kata yang Daim hidup dalam nostalgia masa era pemerintahan Dr Mahathir. Dia jugak kata yang pemimpin masa tu tak berani nak bersuara sebab Dr Mahathir seorang diktator.

“Tapi (ketakutan untuk bersuara) tidak berlaku di zaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kita sangat terbuka. Pada era itu, orang takut nak bersuara kerana kita semua tahu Dr Mahathir adalah diktator yang sama tahap dengan (Robert) Mugabe.” – Datuk Seri Nazri Aziz, dipetik dari Malaysiakini.

Tapi masih ada tokoh politik yang anggap teguran Daim tu patut dipandang berat oleh kerajaan, macam Tun Musa Hitam (Bekas Timbalan Perdana Menteri). Walau apapun, kita sebagai rakyat sememangnya sangat berharap untuk kerajaan memberikan perhatian kepada rintihan rakyat dan teguran dari mana-mana pemimpin yang memang dah ada pengalaman.

Tun Musa Hitam. Imej dari The Malaymail Online.

Daim Zainuddin bukanlah seorang insan biasa, berdasarkan pengalaman serta pengetahuannya, kerajaan haruslah bersikap terbuka dan bersedia untuk mengkaji segala teguran yang datang daripadanya.

“Jika Presiden Soekarno mempunyai keyakinan bahawa jika diberikan kepadanya 10 orang pemuda, beliau akan dapat menggoncangkan dunia, maka mungkin kepada Dr Mahathir, diberikan 10 orang Daim, Melayu akan dapat menawan dunia.” – Surat daripada Dr. Mahathir, p212

[Artikel ni banyak merujuk kepada: Daim yang Diam: sebuah biografi (tulisan Fatini Yaacob), Daim Insan Di Sebalik Enigma (tulisan Adibah Amin & Cheong Mei Sui) dan Surat daripada Dr. Mahathir (tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin)]



Sumbangan : SOSCILI http://ift.tt/2hXrUhl

a href='http://ift.tt/2dfzQXt' imageanchor='1' style='margin-left: 1em; margin-right: 1em;'>

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.