Hi! Welcome Back and Stay Tune! Najib: Masalah dalaman Umno selesai, fokus PRU14 bukan pemilihan parti - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Najib: Masalah dalaman Umno selesai, fokus PRU14 bukan pemilihan parti

najib-umno-1

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, masalah dalaman Umno sudah diselesaikan dan ahli perlu memfokuskan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memastikan Barisan Nasional (BN) menang bergaya, bukannya pemilihan parti.

Perdana menteri berkata, beliau dapat ‘menghidu’ ada ahli parti yang lebih berminat kepada pemilihan Umno.

“Kalau lihat pada roh perjuangan, kita semua mempunyai satu iltizam, sudah selesai masalah dalaman Umno. (Sekarang) nak hadap ke mana? Mana? PRU14, bukan pemilihan Umno.

“Saya nampak ada (ahli) main tali halus. Saya dah lama dalam politik boleh baca, saya tahu dia sokong siapa. Nak main tali halus sikit tak apa tapi jangan hilang fokus dan hala tuju,” katanya dalam ucapan penggulungan pada akhir Perhimpunan Agung Umno 2016 hari ini.

Mandat kerajaan BN bakal berakhir pada Jun 2018, manakala pemilihan Umno yang kali terakhir diadakan pada Oktober 2013 dan sepatutnya diadakan tahun ini ditunda selama 18 bulan.

Najib turut mengingatkan ahlinya tidak leka dibuai kemenangan dalam pilihan raya negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar serta Sungai Besar, sebaliknya meneruskan kerja keras untuk memastikan kejayaan dalam PRU14.

“Kita mesti sedar kemenangan dalam satu, 2 (pilihan raya kecil) tak semestinya kita akan menang waktu ujian besar nanti (PRU14). Ini kita mesti sedar,” tegasnya.

Najib turut memberi amaran kepada ahli Umno tidak sesekali memandang rendah kemampuan lawan serta mempercayai sepenuhnya pungutan pendapat mengenai sesuatu pertandingan.

Beliau memberi contoh rancangan Britain yang ingin keluar dari Kesatuan Eropah dan keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat yang dimenangi calon Republican, Donald Trump sebagai antara contoh pungutan pendapat kurang tepat.

“Cuma kalau kita kerja sebagai 1 pasukan, dalam 1 ikatan macam lagu ‘Gurindam Jiwa’ – ‘rambut tersimpul mati’ – dari atas sampai bawah pasti Umno dan BN akan menang lagi dalam PRU,” katanya.

Najib pada sidang media selepas ucapan penggulungannya enggan mengulas jika PRU14 akan diadakan dalam tempoh 6 bulan.

“Selain ‘feel good factor’, banyak faktor perlu diambil kira dan diambil penilaian, berdasarkan keadaan, sikap rakyat dan keberkesanan usaha kerajaan dalam penyampaian mesej.

“Sebab itulah kita kena beri tempoh untuk jentera kita melakukan kerja-kerja yang sepatutnya. Tugas kita sekarang ini ialah untuk memenangi hati rakyat. Pastikan rakyat bersama kita. Inilah yang saya nak setiap ahli Umno dan jentera kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, usaha akan ditumpukan untuk mendekati, menyelesaikan masalah rakyat dan menyampaikan mesej kerajaan kepada rakyat.

“Soal perpaduan dan kepimpinan kita yang kukuh dan ampuh, soal roh perjuangan serta motivasi kita, sudahpun nampaknya kita letakkan dalam keadaan sangat baik dan kita bersedia untuk mara ke hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Najib dalam ucapan penggulungannya berkata, pemerhati luar di PAU 2016 melihat Umno sebagai parti unik kerana perjuangannya tidak hanya memfokuskan lebih 3 juta ahli parti, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Dalam perbahasan 3 hari ini, Umno tidak fikir mengenai anggotanya sahaja, tapi 31 juta rakyat Malaysia. Umno ingin jadi parti penggerak transformasi nasional,” katanya.





Mukah Pages bring you trending news media Free Malaysia Today

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.