Suami sempat tatap wajah anak isteri sebelum maut gempa Aceh
Setiap pagi Nasal Cut Raja, 50, seorang peniaga kain akan bangun seawal pukul 4.30 pagi untuk solat tahajud sementara menunggu waktu subuh.
Namun, pada awal pagi Rabu lalu, hatinya terasa lain dan beliau secara tiba-tiba mahu menatap dengan rasa sayu wajah kesemua tiga orang anaknya dan isterinya yang sedang nyenyak tidur.
Tanpa diduga, ia adalah tatapan terakhir kerana hanya beberapa minit selepas itu, anak dan isterinya pergi buat selama-lamanya apabila maut dalam runtuhan rumah kedai dua tingkat miliknya di sini akibat gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter.
Ketika ditemui Bernama di khemah sementara mangsa gempa bumi, Nasal tidak dapat menahan rasa sebak mengenangkan detik-detik perpisahan abadi dirinya dan anak serta isteri pada kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu.
“Selepas solat tahajud, entah mengapa hati saya terasa begitu sayu dan mahu menatap ketiga-tiga anak saya iaitu Mohamad Sidik, 11 bulan yang tidur di dalam buai serta dua anak perempuan, Maulida, 16, dan Niahsain, 10, juga sedang tidur di dalam bilik mereka,” katanya.
Beliau kemudian menatap wajah isterinya, Khatijah, 40, yang begitu lena sehingga tidak sedar suaminya itu sedang menatap wajahnya selama kira-kira satu minit.
“Apabila saya keluar dari bilik tidur, tiba-tiba saya terasa ada gempa kecil dan beberapa saat kemudian rumah saya bergoncang kuat sekali hingga saya terpelanting jatuh ke bawah rumah,” katanya.
Nasal kemudian merangkak di celah-celah runtuhan dalam keadaan gelap-gelita dan penuh debu untuk naik semula ke atas rumah dan mencari anak serta isterinya.
Katanya, ketika itu beliau terdengar suara anaknya menangis tetapi tidak tahu dari arah mana dan beliau ternampak kaki anak perempuannya dari celah runtuhan tetapi badan anaknya dihempap dinding batu.
“Saya cuba masuk ke celah runtuhan untuk keluarkan anak saya tetapi tidak boleh dan kepala saya terhantuk tembok sehingga berdarah dan saya terus mencari jalan keluar untuk meminta pertolongan,” katanya.
Nasal berkata setelah dia berjaya keluar dari runtuhan itu, beliau tergamam kerana mendapati rumahnya telah terbenam dan hanya kelihatan bumbung sahaja.
“Saya menangis sehingga tak ada air mata lagi, saya menjerit memanggil orang minta tolong tetapi sesiapa pun tidak dapat membantu kerana semua deretan rumah kedai itu telah terbenam dalam runtuhan,” katanya.
Beliau berkata hanya setelah kira-kira dua jam kemudian, pasukan mencari dan menyelamat tiba dan anggaran sejam selepas itu barulah mayat anak-anaknya berjaya dikeluarkan.
“Satu demi satu mayat anak saya dikeluarkan dan yang terakhir ialah mayat isteri saya pada kira-kira pukul 4 petang, saya terus bawa pulang ke kampung untuk dikebumikan kesemua mereka dalam satu liang,” katanya.
Nasal berkata, ketika itu dirinya jadi bingung sehingga tidak ingat apa-apa lagi dan tidak boleh berfikir apa yang harus dilakukan selepas ini.
“Saya sangat sedih dan menangis sehingga tiada air mata lagi, tetapi saya pujuk hati saya dengan berkata saya juga akan pergi mengikuti mereka, cuma belum sampai masa, jadi bersabarlah menunggu giliran saya pula,” katanya.
Sementara itu, anak sulung Nasal, Magfirah, 18, yang tinggal di asrama di sebuah universiti di Aceh bergegas pulang apabila mendapat perkhabaran sedih daripada saudaranya mengenai keluarganya.
“Saya pun tidak tahu apa nak dibuat, saya hilang semua adik-adik dan ibu serentak, hanya Tuhan sahaja yang tahu dugaan ini,” katanya menahan sebak dan kini menemani ayahnya di khemah tersebut.
Bencana gempa bumi yang meragut lebih 100 nyawa dan menghancurkan ratusan bangunan serta rumah itu adalah yang kedua terburuk di Aceh selepas tragedi tsunami 2004 yang meragut lebih 100,000 nyawa manusia.
Pasukan mencari dan menyelamat membuat keputusan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa bangunan secara menyeluruh dengan jentera-jentera berat setelah tiada lagi laporan mengenai kehilangan anggota keluarga oleh mana-mana pihak sejak dua hari lepas. – Bernama
The post Suami sempat tatap wajah anak isteri sebelum maut gempa Aceh appeared first on Malaysia Stylo.
Penyumbang : Malaysia Stylo http://ift.tt/2hhwAhI
Post a Comment