Pengusaha stesen minyak merungut harga minyak turun, Menteri jumpa persatuan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengadakan pertemuan dengan persatuan pengusaha stesen minyak minggu depan bagi mendengar permasalahan yang timbul susulan penurunan harga minyak dan diesel.
Katanya pendekatan bersemuka itu bagi membolehkan kementerian mendengar sendiri keluhan pengusaha terbabit yang mendakwa mengalami kerugian susulan penurunan harga bahan api itu sejak tiga minggu berturut-turut.
“Bila kita (kerajaan) melakukan sesuatu perkara, kita tidak boleh mengambil kira hanya kepada mereka (pengusaha minyak) semata-mata.
“Kita sebaliknya hendak menentukan bahawa pengguna juga perlu menikmati apa yang kerajaan lakukan. Maka biar saya berbincang dengan mereka dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz sebelum ini dilaporkan berkata penurunan harga minyak secara berturut-turut menyebabkan ramai pengusaha berdepan risiko gulung tikar.
Ia juga menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung perbezaan harga antara masa pembelian stok minyak dan penjualan kepada orang ramai.
Terdahulu, Hamzah berkata FIM akan tampil dengan wajah baharu dan skala lebih besar pada masa akan datang dengan suntikan beberapa elemen baharu termasuk berbentuk karnival dan produk pelancongan.
Katanya FIM mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dengan menambah baik aspek pelancongan untuk menarik lebih banyak francais dalam dan luar negara mengetengahkan budaya masing-masing.
“Sehubungan itu, satu perbincangan akan diaturkan pada bulan hadapan dengan kementerian lain termasuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk menjadikan FIM sebagai satu program berskala besar serta memanjangkan tempoh pameran berbanding sebelum ini,” katanya.
Katanya, dianggarkan sekurang-kurangnya 300 reruai boleh didirikan dalam FIM akan datang sekiranya ”wajah baharu” itu dilaksanakan, berbanding 90 reruai dalam edisi kali ini.
“Contohnya, kita boleh menggabungkan pavilion makanan dan minuman dari Malaysia, Thailand dan Vietnam dan menamakannya F and B ASEAN, jadi ia adalah sesuatu yang amat menarik bagi para pengunjung,” katanya.
FIM 2017 yang merupakan edisi ke-24 merupakan pameran francais khusus yang terbesar di Asia Tenggara, anjuran bersama KPDNKK dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Pameran itu yang akan berakhir Ahad, bertujuan menggalakkan usahawan tempatan meningkatkan sistem perniagaan mereka kepada konsep perniagaan francais yang sistematik, sekali gus membantu syarikat membina jaringan perniagaan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.
KPDNKK turut menyasarkan jumlah pelaburan francais sebanyak RM370 juta hasil daripada jualan pakej perniagaan francais yang ditawarkan dalam FIM 2017. – BERNAMA
Sumber: Mstar
Sumber Pengusaha stesen minyak merungut harga minyak turun, Menteri jumpa persatuan
✍ Sumber Pautan : ☕ Trending Now
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2rbE2fw
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment