Elemen Seram Bukan Tipikal
Satu daripada filem wajib tonton tahun ini adalah Annabelle: Creation. Ia boleh dikatakan karya seram terbaik pengarah David Sandberg dan penerbit terkemuka kelahiran Malaysia, James Wan serta Peter Safran.
Tidak dinafikan, patung Annabelle itu sendiri sudah mencetuskan ketakutan kepada penonton tidak lama dulu. Impaknya di seluruh dunia begitu besar hingga menjadi igauan ngeri. Apabila filem sekuel ini dihasilkan, ramai menanti bagaimana tahap seram dan jalan ceritanya pula.
Dibintangi Stephanie Sigman (Sister Charlotte), Talitha Bateman (Janice), Lulu Wilson (Linda), Philipha Coulthard (Nancy), Grace Fulton (Carol), Anthony LaPaglia (Samuel Mullins) dan Miranda Otto (Esther Mullins), filem ini banyak ketegangannya.
Merungkai kisah permulaaan kewujudan Annabelle, pengarah ternyata memberikan keadilan kepada jalan ceritanya. David memang bijak mempermainkan perasaan penonton dengan perkembangan plotnya. Elemen seramnya bukan tipikal seperti filem lain yang bergantung kepada kejutan untuk mewujudkan ketakutan.
Masih ada beberapa babak sebegitu tapi tidak melebih-lebih. Sebaliknya, pengarah menggunakan pendekatan halus apabila rasa takut itu bertambah perlahan-lahan. Setiap babak pasti memberikan penonton ketakutan yang berbeza. Rasa ingin tahu juga cepat memuncak terhadap apa sebenarnya cerita di sebalik perkara aneh yang dialami setiap watak.
Daripada hanya berteka-teki, ia semakin jelas wujud satu kuasa jahat yang mengganggu mereka satu persatu. Janice dan Linda terutamanya sangat percaya kuasa jahat berkenaan adalah angkara patung yang mereka jumpa di bilik mendiang anak Samuel serta Esther.
Bagaimanapun, sangat menarik mengenai filem ini adalah putaran cerita yang disuntik begitu menjadi. Walaupun bukan putaran yang terlalu ekstrem, cukup untuk membuatkan penonton tidak keruan. Misalnya Linda yang menjadi mangsa seterusnya patung berkenaan selepas Janice tiba-tiba bertukar lebih peka.
Dia sebaliknya mula berani mencari punca sebenar kuasa jahat itu. Begitu juga watak Samuel yang sepatutnya menjadi pelindung kepada anak kecil di rumah berkenaan. Ternyata menjadi tuan rumah bukan kelebihannya membendung kejadian aneh yang menimpa seisi rumah.
Berbanding sekuel Annabelle sebelum ini, perkembangan plot menjadi kekuatan utama Annabelle: Creation. Pengarah berjaya menyampaikan setiap butiran jalan cerita sebenar dengan tersusun dan jelas. Berdurasi hampir tiga jam, tempoh masa berkenaan pasti tidak dirasa memandangkan penonton dibawa seperti mengalami sendiri setiap detik penceritaan.
Bahkan degupan jantung juga seperti mengikut rentak setiap watak. Yang pasti, penekanan terhadap karakter juga amat membantu filem ini meyakinkan penonton. Ternyata pelakonnya benar-benar ada penjiwaan yang cemerlang bagi menjentik lagi rasa geram, percaya dan tidak setuju terhadap karakter mereka.
Filem ini mungkin berfokuskan kepada seram namun banyak mesej tersembunyi turut dipaparkan. Misalnya, seseorang perlu mempertahankan apa yang ingin dipercayai meskipun orang lain menafikannya.
Daripada plot filem ini juga akan membuka mata kepada kejadian seterusnya yang diceritakan dalam The Conjuring mahupun Annabelle sendiri. Semuanya ada kaitan sehingga cerita kejadian itu seakan-akan tiada kesudahan.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2vUQFRJ
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!






Post a Comment