Roslan Salleh sinonim dengan watak jahat
MEMULAKAN langkah dalam lakonan menerusi pentas teater pada era 1980-an, pelakon Roslan Salleh, 60, mengakui tidak pernah menyesal meninggalkan profesional perguruan demi minatnya terhadap bidang seni.
Lebih 30 tahun bergelar anak seni, Roslan menimba pelbagai pengalaman menerusi puluhan filem dan ratusan drama.
Menurutnya ilmu yang dipelajari ketika aktif bergiat dalam teater ternyata banyak membantunya menjayakan pelbagai watak yang diberikan.
“Sebenarnya ketika masih di Maktab Perguruan sekitar tahun 1970-an lagi, saya memang sudah aktif dengan dunia lakonan, cuma ketika itu saya hanya terlibat dengan teater yang lebih dikenali sebagai drama pentas,” katanya.
Secara kebetulan, katanya, penggiat teater di negeri kelahirannya, Melaka aktif dan ramai anak muda menceburi bidang itu.
“Pada pertengahan 70-an, drama pentas kemudiannya ditukar kepada istilah teater dan semakin popular sehingga tertubuhnya banyak persatuan dan kelab teater dalam kalangan belia di sana,” imbasnya pada awal pembabitan.
Menyedari minatnya dalam bidang lakonan semakin mendalam, Roslan yang pernah dikenali menerusi teater Biar Mati Anak dan Lorong nekad berhenti dari kerjayanya dan menceburi bidang lakonan sepenuh masa.
Dia berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar 1985 untuk mencari peluang yang lebih besar dan menyertai kumpulan teater Al-Hidayah pimpinan Kamarul AR serta mula mengenali beberapa rakan seangkatan seperti Datuk Jalaludin Hassan dan Ahmad Ibrahim yang banyak membantunya mencari peluang berlakon.
Biarpun mempunyai bakat dan minat yang mendalam terhadap lakonan, Roslan mengakui tidak mudah menempatkan diri kerana kebanyakan pelakon ketika itu sangat bagus.
“Kebanyakan pelakon memang bermula dengan teater, jadi mereka benar-benar boleh berlakon dan bukan jadi pelakon sebab pakej fizikal sebagaimana yang berlaku dalam industri hari ini. Jadi kalau nak bersaing, kita kena berlawan dengan bakat,” katanya.
Mahu kembali aktif berteater
Roda Roda Kota Raya terbitan Skop Production menjadi drama TV pertama lakonannya diikuti dengan drama lain membabitkan pelbagai genre sehingga menaikkan namanya.
Menurut Roslan, di awal pembabitannya di kaca TV, dia cukup sinonim dengan watak antagonis malah tidak pernah menetapkan untuk membawa watak baik atau jahat kerana sebagai pelakon, perlu menyahut cabaran yang diberikan.
Bagaimanapun, mungkin ketika itu dia dilihat lebih sesuai dengan watak antagonis dan menganggap satu kejayaan apabila mampu memberikan lakonan yang berkesan sehinggakan penonton dapat menjiwai watak itu.
Bagaimanapun seiring dengan perubahan usia, Roslan kini lebih banyak diberikan watak protagonis yang menyaksikan dirinya tampil berbeza berbanding yang pernah diperlihatkan dalam lakonannya sebelum ini.
“Masa muda dulu saya sering diberikan watak jahat, sekarang ni barulah dapat pelbagai watak. Tapi, saya perasan juga banyak tawaran drama atau filem seram dengan watak lelaki misteri seperti filem Damping Malam, Senjakala mahupun Munafik 2,” jelasnya yang pernah membawa watak komunis dalam drama Antara Maruah dan Pengorbanan.
Berkongsi pengalamannya bersama peminat, kata Roslan, disebabkan terlalu sinonim dengan watak jahat agresif, peminat takut mendekatinya apabila bertemunya di luar.
“Melalui pandangan mereka, saya tahu kehadiran saya tidak disenangi, mungkin terpengaruh dengan lakonan jahat saya. Memang tiada siapa nak dekati saya sebab benci tapi Alhamdulillah kebencian itu tidaklah sampai kepada perbuatan yang di luar mereka.
“Bagaimanapun situasi berbeza hari ini di mana setiap kali berada di luar, ada yang datang menyapa dan meminta izin untuk bergambar,” luahnya jujur.
Roslan, bapa kepada empat anak dan enam cucu ini turut menyatakan untuk terus aktif dalam bidang seni selagi khidmatnya masih diperlukan.
Terbaru, pelakon yang cukup merendah diri ini bakal tampil dalam teater Tun Fatimah bergandingan dengan Maya Karin dan Remy Ishak, di Panggung Bangsawan Melaka pada 20 hingga 21 Oktober ini.
“Sejak aktif berlakon drama TV dan filem, saya jarang berkesempatan buat teater. Jadi Tun Fatimah menjadi ruang terbaik mengubat kerinduan saya pada lakonan pentas.
“Dalam teater ini, saya memegang watak sebagai Bendahara yang juga orang penting di sebalik kejayaan kegemilangan empayar Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah. Kalau ada peluang, saya mahu kembali aktif buat teater,” ujarnya.
The post Roslan Salleh sinonim dengan watak jahat appeared first on Berita Viral.
✍ Sumber Pautan : ☕ Berita Viral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2kJL6Bu
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment