UMNO SUDAH HILANG STATUS PEMBELA MELAYU, MENYOKONG UMNO SAMA SEPERTI MAHU MELAYU KEKAL DIMISKINKAN
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita tanah milik Felda di Jalan Semarak yang dibangunkan untuk pembinaan Kuala Lumpur Vertical City telah berpindah milik kepada syarikat yang membangunkan projek tersebut tanpa pengetahuan dan tanpa dibayar walau sesen wang kepada agensi tersebut.
Ia berikutan Felda telah memberikan "power of attorney" atau surat kuasa penuh kepada syarikat tersebut atas alasan kononnya untuk memudahkan mereka mencagarkan bagi mendapatkan pinjaman bank, tetapi syarikat itu telah memindahkannya kepada diri mereka sendiri.
Dengan pindah-milik itu, tanah Felda tersebut telah berpindah milik secara percuma dan menjadi milik syarikat terbabit.
Sukar untuk kita membayangkan bagaimana perkara ini boleh terjadi dan surat kuasa penuh itu boleh diberikan jika tiada unsur rasuah dan habuan lumayan menanti di sebaliknya.
Meskipun polis kini sudah menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dari segi penipuan dan pecah amanah, tetapi sewajarnya SPRM juga turut menyiasat dari segi kebarangkalian ada pihak-pihak tertentu mendapat habuan dan untung besar daripadanya.
RM270 juta dapat secara percuma, mustahil tiada apa-apa?
Walaupun Felda dilaporkan berusaha mendapatkan balik tanah tersebut, persoalan utamanya ialah Melayu yang menjaga amanah bangsa dan negara telah sewenang-wenangnya menggadai maruah itu demi kepentingan diri mereka sendiri.
Ia pula bukan pertama kali berlaku dalam Felda. Sebelum ini banyak hotel dan hartanah dibeli di luar negara dengan harga yang dinaikkan, lebih malang beberapa daripadanya dinamakan atas syarikat yang didaftarkan di BVI yang kita sampai hari ini tidak tahu siapa pemilik yang sebenarnya.
Akhirnya, kekayaan Felda yang dibina dengan titik peluh peneroka seolah-olah hanya menjadi habuan untuk "para jerung dan buaya" membahamnya tanpa ada sedikit perasaan belas dan kasihan dalam hati mereka.
Sebab itu, dalam isu tanah Felda dan beberapa kebobrokan lainnya, selain harapan rakyat ialah agar segala pendurjana dihukum dengan seberat-beratnya, hakikat yang harus disedari juga ialah selagi di bawah jenama UMNO, meski bagaimana kuat berkokok untuk membela bangsa dan agama sekali pun, penyudahnya mesti skandal dan keuntungan untuk diri sendiri juga yang diutama.
Di Kuala Lumpur, sejak Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, dilaporkan sebanyak 45 bidang tanah telah diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu tanpa melalui tender terbuka.
Menurut mereka yang tahu mengenai perkara itu, sebahagian besar daripadanya diserahkan kepada syarikat kain yang didakwa mempunyai hubungan akrab dengan orang atasan UMNO.
Yang menyedihkan lagi, didendangkan pula kononnya tanah itu tidak diberikan melalui tender terbuka, maknanya dijual dengan harga murah, adalah untuk memastikan rumah-rumah mampu milik dapat dibina di atas tanah tersebut untuk kemudahan rakyat memiliknya.
Lawak betul...adakah rumah-rumah di KL ini murah dan majoriti rakyat mampu memilikinya?
Di mana dan berapa banyak rumah mampu milik sudah dibina selama ini, berbanding rumah mewah dan kondo mahal?
Lebih dari itu, kita turut kerap dihidangkan dengan bagaimana tanah awam dan tapak permainan pun ditukar menjadi tanah pembangunan serta dimiliki oleh kroni-kroni di sekitar Kuala Lumpur ini.
Tidakkah semua mereka ini adalah "pendurjana dan buaya-buaya" belaka?
Di Johor di mana seorang Exco kerajaan negeri telah ditahan, didakwa dan kini menunggu tarikh perbicaraan, ia juga tidak kurang dahsyatnya di mana pertukatan status Bumiputera kepada bukan Bumiputera telah dijadikan bahan dagangan dengan nilai keuntungan yang berjuta-juta.
Akhirnya, pemimpin Melayu yang berjuang atas nama UMNO yang membela Melayu, lebih ghairah untuk menjual kepentingan bangsanya sendiri berbanding mempertahan atau menambah pemilikannya.
Mereka ini, biasanya apabila lagi kuat melaung untuk membela Melayu, lagi kuat jugalah menipu Melayu.
Tidak lupa juga, kem tentera Sungai Besi yang pada mulanya diserahkan kepada 1MDB, kemudian dijadikan Bandar Malaysia dan kini sudah pun menjadi kawasan pembangunan yang diserahkan kepada syarikat dari negara China untuk membina dan menguasainya.
Secara tidak langsung, Chinalah yang bakal menguasai Bandar Malaysia itu nanti.
Selain kem tentera itu, sejak Najib Razak terpalit dengan skandal 1MDB, sudah tak terhitung - daripada pelabuhan, laluan keretapi, pembinaan rumah, tenaga elektrik sehinggalah kepada bekalan ayam dan sayur-sayuran - semuanya sudah dibolot oleh China.
Di samping itu, di semua negeri yang dikuasai UMNO, tanah-tanah rizab Melayu hanya tinggal kenangan yang mengusik jiwa saja lagi statusnya. Ia hanya boleh dijadikan kenang-kenangan kerana sebahagian besarnya telah dijual oleh pemimpin Melayu sendiri kepada orang asing atas nama pembangunan yang sudah tentu ada habuan besar menanti di sebaliknya.
Maka, apa lagi yang kita boleh harapkan kepada UMNO?
UMNO, lebih-lebih lagi di bawah teraju Najib, sebenarnya sudah hilang hak dalam perjuangan membela orang Melayu. UMNO kini lebih terkenal sebagai penjual kepentingan dan maruah Melayu.
Terus menyokong UMNO tidak saja memungkinkan skandal demi skandal berkaitan kepentingan Melayu akan berterusan berlaku, malah selama-lamanya Melayu akan kekal dimiskin serta diperalatkan. (ShahbudinHusin 23/12/2017)
✍ Sumber Pautan : ☕ WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2BZkPV4
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment