MENGAPA PERUBAHAN KERAJAAN BENAR-BENAR DIPERLUKAN
Pengundi yang dikasihi,
SEMASA parti campuran Perikatan di bawah perdana menteri Tunku Abdul Rahman mengambil alih kuasa sebagai kerajaan pertama kita pada 31 Ogos, 1957 Eisenhower merupakan presiden Amerika Syarikat (AS), Khruschev dan Mao Tze Tung pemimpin tertinggi Kesatuan Soviet dan China, MacMillan perdana menteri United Kingdom, Nehru di India dan Sukarno pula presiden Indonesia.
Dalam dasawarsa yang berikutnya, presiden AS dan perdana menteri United Kingdom bertukar di antara dua parti politik utama mereka. Parti Kongres Nehru kehilangan kuasa di peti undi pada 1977. Sukarno digulingkan melalui rampasan kuasa yang ditaja tentera pada 1965.
Kesatuan Soviet runtuh pada 1991. Satu-satunya parti politik di antara negara yang dipilih secara rawak ini yang masih memegang tampuk kuasa adalah Parti Komunis China oleh Mao.
Namun di Malaysia, 13 pilihan raya umum (PRU) dan 60 tahun kemudiannya, parti campuran berkenaan, yang dikenali sejak 1974 sebagai Barisan, masih kekal memegang kuasa. Gabungan diketuai Umno adalah perkumpulan politik paling lama bertahan di dunia, memerintah secara berterusan dan tanpa henti selama 60 tahun.
Berikutan itu kesemua permasalahan yang melanda negara ini, sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial mahupun sebaliknya adalah akibat cengkaman Umno ke atas negara ini.
Mereka dipersalahkan atas polarisasi perkauman dan agama, endemik rasuah, pemusatan kuasa di tangan perdana menteri, ketiadaan institusi bebas dan saksama yang diharapkan berperanan sebagai semak dan imbang ke atas kuasa dan pengaruh pihak eksekutif, peningkatan pengaruh Putrajaya yang menjejaskan 14 negeri dan lain-lain lagi.
Dalam minggu yang mendatang, saya akan memerihalkan secara terperinci bagaimana sebuah parti yang memerintah selama setengah abad ini amat memudaratkan kebajikan kita.
Bayangkan jika parti Konservatif memerintah United Kingdom sejak 1957 ataupun jika 11 presiden selepas Eisenhower datang dari parti Republikan. Senario tersebut tidak terbayang oleh sesiapa pun. Jadi mengapa perlu ia diterima oleh kita.
Justeru, sebab paling utama bagi perubahan kerajaan dalam PRU14 yang akan datang ini adalah agar rakyat Malaysia akhirnya dibebaskan daripada cengkaman Umno. Tempoh 60 tahun pastinya sudah lebih daripada memadai bagi mana-mana gabungan politik untuk memerintah mana-mana negara. Cukup-cukuplah.
Meskipun Perikatan mempunyai tiga parti komponen dan Barisan Nasional (BN) ada 14, umumnya tampuk kuasa sentiasa berada di tangan Umno, dengan presidennya secara automatik menjadi perdana menteri.
Dasar utama dibuat dan keputusan diambil oleh Umno, kadang-kadang bahkan di mesyuarat Majlis Tertingginya. Setiap daripada 13 parti komponen tahu kedudukan mereka lebih rendah dalam tatatingkat BN. Hakikat politiknya adalah selama 60 tahun Umno menguasai ruang umum di Malaysia.
Untuk parti yang ditubuhkan sejak 1946, Umno cuma ada tujuh presiden sepanjang 71 tahun sejarahnya. Empat presidennya meninggalkan parti selepas meletakkan jawatan. Onn Jaafar, Tunku, Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad bukan sekadar meninggalkan Umno bahkan menyertai parti yang menentang Umno.
Ia seolah-olah mereka hanya menyedari sifat sebenar Umno selepas meletakkan jawatan. Tun Razak meninggal dunia sebagai presiden Umno. Satu-satunya bekas presiden yang masih kekal menyokong Umno selepas pengunduran ialah Abdullah Badawi.
Oleh itu, PRU tahun ini mestilah dianggap oleh pengundi sebagai referendum atas pemerintahan Umno yang berterusan dan tidak pernah putus sejak merdeka.
Bagaimana mereka menguruskan kewangan awam; mentadbir sekolah dan hospital; menguruskan jualan aset negara seperti kemudahan awam, jalan dan landasan kereta api kepada sektor swasta dalam urus niaga berat sebelah yang tidak memihak kepada kepentingan umum; ruang untuk pihak minoriti, pengkritik dan penentang dinafikan.
Mereka sepatutnya dinilai berdasarkan tadbir urus politik dan ekonomi negara mereka. Bagaimanakah prestasi mereka? Bagaimana pula dengan nepotisme, kronisme, naungan dan ketirisan.
Dilihat dari sudut pandangan itu, tumpuan sepatutnya ditujukan ke atas tadbir urus oleh Umno selama enam dasawarsa, daripada mempertimbangkan pihak pembangkang, dan sama ada Pakatan Harapan (PH) akan dapat memerintah sebagai sebuah kerajaan persekutuan.
Setakat ini, tiada parti ataupun gabungan pembangkang yang pernah diamanahkan dengan tadbir urus negara, maka mereka tidak mempunyai rekod prestasi untuk dipertahankan.
Memerintah negeri bukanlah suatu perbandingan sebenar kerana selain isu kerajaan tempatan, negeri mempunyai kuasa dan pengaruh kecil ke atas perkara yang mempunyai kesan kepada kehidupan seharian.
Sekiranya prestasi kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor harus dinilai sekalipun sejak 2008, secara objektifnya, mereka melaksanakannya dengan baik, dan boleh dipercayai untuk memerintah di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun saya mengesyorkan tumpuan sepatutnya diberikan kepada mereka yang memegang tampuk kuasa persekutuan untuk mempertahankan rekod prestasi mereka, dan diadili berdasarkan tadbir urus mereka. Oleh itu, perhatian utama sepatutnya ditujukan kepada Umno.
Yang benar,
Tommy Thomas.
– http://ift.tt/2pAR1dR
.
✍ Sumber Pautan : ☕ Malaysia Chronicle
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2DpOpqA
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment