Tertuduh: Saya tidak bunuh Kevin Morais, kenapa dituduh
KUALA LUMPUR: Tertuduh ke-3 dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais beritahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dia tidak membunuh Kevin Morais dan sehingga kini tidak mengetahui kenapa dia dituduh melakukan perbuatan itu.
R Dinishwaran, 26, berkata dia menyerah diri di Balai Polis Sentul pada 21 September 2015 selepas melihat gambarnya terpampang di akhbar sehari sebelum itu.
“Semasa saya keluar makan, saya ada lihat gambar saya dalam suratkhabar.
“Saya tidak tahu baca tetapi kakak saudara saya tolong bacakan dan beritahu saya dicari polis,” katanya ketika pemeriksaan utama peguam V Rajehgopal pada hari ke-3 prosiding membela diri hari ini.
Dinishwaran, saksi pembelaan ke-2 dalam kes pembunuhan itu berkata keesokannya beliau pergi ke Balai Polis Sentul bersama seorang peguam, M Manoharan.
“Saya ada tanya di kaunter pertanyaan balai polis, kenapa saya dicari, mereka suruh saya tunggu sebentar sebelum seorang polis datang dan beritahu saya dicari untuk satu kes bunuh,” katanya, memberitahu dia kemudian ditahan di lokap selama seminggu dan dibawa ke mahkamah pada 27 September 2015 untuk direman.
Terdahulu menceritakan semula pertemuannya bersama 5 tertuduh lain iaitu M Vishwanath, S Ravi Chandaran, S Nimalan, G Gunasekaran dan A K Thinesh Kumar pada 3 September 2015, atas urusan pembelian kereta untuk Vishwanath yang hampir selesai, beliau berkata Vishwanath dan Thinesh Kumar kemudian pulang ke Kedah pada 5 September 2015.
Dinishwaran berkata setelah Vishwanath dan Thinesh Kumar pulang, dia terus meluangkan masa bersama Nimalan sebelum dimaklumkan Ravi yang dikenali sebagai “Selvam”, meminta mereka ke kedai milik Gunasekaran yang dikenali sebagai “Jay” untuk membantu membersihkan kedai tersebut yang dalam proses ubah suai.
Kepada soalan Rajehgopal, adakah Dinishwaran ada melihat sebuah tong di kedai itu, saksi itu berkata dia ada ternampak sebuah tong berwarna putih dan merah dan ketika dia sampai tong itu sudah pun ada di sana dan diberitahu “Jay” tidak memerlukan tong itu dan mahu membuangnya.
Rajehgopal turut bertanya Dinishwaran adakah dia melihat darah pada tong itu, Dinishwaran berkata, “Tidak, ada tumpahan cat berwarna merah sahaja,”.
Dinishwaran turut memberitahu, “Selvam” menyuruh Nimalan mencari jentera angkat-susun (fork-lift) untuk mengangkat tong itu ke dalam kenderaan Mitsubishi Triton kerana berat dan dipenuhi simen.
Katanya, sebuah fork-lift tiba di kedai itu bersama seorang pemandu, kemudian mengangkat tong itu masuk ke dalam kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan tidak lama kemudian “Selvam” dan Nimalan keluar dari kedai lalu memandu Triton bersama tong itu.
“Lebih kurang 10 minit, mereka balik ke kedai. Ketika itu Triton itu sudah kosong, tidak ada tong,” katanya.
Menjawab soalan Rajehgopal, tidakkah Dinishwaran bertanya “Selvam” dan Nimalan mengenai tong itu dan adakah dia tahu kandungan tong itu, Dinishwaran berkata dia tidak bertanya kerana ia tiada kena mengena dengannya dan dia tidak ada apa-apa kaitan dengan tong itu.
Ketika pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin berkata, Dinishwaran menyerah diri kerana melakukan kesalahan iaitu membunuh Kevin Morais dan tidak boleh melarikan diri kerana Malaysia sebuah negara kecil, saksi itu berkata dia tidak bersetuju.
“Saya tidak setuju. Bila saya buat kesalahan, saya tidak akan serah diri. Saya akan melarikan diri. Saya tidak buat kesalahan sebab itu saya serah diri,” katanya.
Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan, 25, Ravi Chandaran, 47, dan doktor tentera Kolonel Dr R Kunaseegaran, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul, ke No 1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. FMT
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2CCFvRi
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment