Proses Transformasi Berperingkat
Manis si merah jambu! Rona harmoni yang sering dikaitkan dengan elemen cinta dan romantis bersesuaian dengan jiwa pasangan muda, Mohd Azuwan Md Nor, 29, dan Nurul Faten Hazirah Mohd Hanif, 26, ini yang menjadikannya warna tema utama kediaman peribadi.
Terletak di pinggir ibu kota, kediaman teres yang dihuni suami isteri itu sejak tiga tahun lalu dijadikan ‘kanvas’ oleh Nurul Faten Hazirah atau mesra disapa Faten untuk mencurah idea dan berkarya demi mencipta ‘syurga’ dunia.
Menerima sokongan penuh daripada sang suami, wanita ini mengakui mereka berdua tidak pernah menetapkan apa-apa tema mahupun konsep, sebaliknya menginginkan rona merah jambu dijadikan warna utama.
“Sebenarnya saya pencinta merah jambu dan pantang ternampak barangan, aksesori yang berwarna merah jambu, pasti saya akan membelinya meskipun kadang-kadang koleksinya hampir sama dengan yang sedia ada.
“Saya bersyukur kerana suami sangat memahami minat yang satu ini, malah apabila kami mendirikan rumah tangga sejak 2015, dia sentiasa menyokong dan bersetuju dengan tema warna dipilih ini. Sejak dulu, saya sentiasa memasang niat untuk memiliki kediaman yang ditata hias dengan warna merah jambu terutama perabot,” kata Nurul Faten.
Merungkai cabaran perlu dilalui, Mohd Azuwan pula berkata idea menata hias, bajet dan pencarian perabot bertema merah jambu antara perkara perlu diberi dititikberatkan. Sebaik mengambil keputusan bersama, pasangan ini terlebih dulu perlu mengeluarkan perabot sedia ada yang sememangnya bertentangan dengan tema warna dipilih.
“Kami memulakan transformasi kediaman ini kira-kira satu tahun setengah dan proses ini dilakukan secara berperingkat mengikut kepentingan ruang berkenaan. Ruang tamu adalah kawasan yang diberi keutamaan kerana di sinilah tempat tumpuan keluarga berkunjung dan kami bersantai. Jadi, kami mula mencari perabot seperti sofa, kerusi dan meja sisi bertemakan merah jambu.
“Tidak mudah untuk mencari perabot ini kerana ia memerlukan kesabaran sama ada mendapatkannya melalui dalam talian atau membelinya terus di kedai perabot. Dunia seni reka bentuk dalaman kini menjadi trend, jadi ramai penjual dalam talian menawarkan variasi perabot dan kelengkapan rumah yang menarik.
“Ini juga cabaran buat kami sama ada untuk kekal dengan idea perabot asal ataupun terpengaruh dengan idea baru,” katanya.
Meninjau ruang tamu milik pasangan ini, idea segar cuba ditonjolkan dengan susun atur kedudukan sofa merah jambu berbeza rona diletakkan bertentangan malah bentuk rekaannya juga berbeza. Berlatarkan pilihan fabrik langsir kontra merah jambu sedikit gelap dan terang menyerlahkan lagi suasana romantis serta tenang.
Meja kopi kaca berbingkai besi putih dan lantai beralas permaidani tebal merah jambu pekat bertindak menjadi titik fokus di ruang santai berkenaan. Bagi menyempurnakan tata hias ruang tamu, sepasang kerusi berwarna merah jambu lembut berkonsepkan Scandinavia disusun rapat ke dinding bercat putih bersama kusyen emoji.
Melangkah ke ruang makan, pasangan ini memilih set meja makan yang memuatkan enam orang sekali gus menutup kekosongan sudut di bucu meja makan itu. Ringkas tapi menarik, ruang menjamu selera ini menggabungkan set meja putih dan kerusi merah jambu berjaya mengurangkan dominasi penguasaan si merah jambu.
Selain itu, pandangan mata penulis turut tertarik dengan pemilihan cermin hiasan dinding bermotif yang menghiasi ruang berkenaan. Jelas Mohd Azuwan, bingkai cermin berkenaan asalnya berwarna hitam, demi menepati tema warna, mereka bertindak mengecatnya dengan rona merah jambu sementara posisi seharusnya menegak ditukar kepada melintang.
Kehadiran dua kerusi malas berbeza saiz dihiasi kusyen berbentuk hati pula difahamkan simbolik kasih sayang antara orang dewasa dan kanak-kanak. Satu lagi keistimewaan kediaman yang memiliki tiga bilik tidur ini adalah beranda turut diwarnai merah jambu, yang jarang sekali dijadikan cat pilihan untuk bahagian luar rumah.
Mengakui proses transformasi menelan kos agak besar, namun pasangan ini berpuas hati dengan dunia ciptaan mereka malah dunia dekorasi ini turut mengeratkan lagi hubungan suami isteri apabila bersama-sama berkongsi idea, bertukar pendapat serta bersikap terbuka.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2JWyAdg
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment