Suntingan Lebih 'Grand'
Kontroversi membabitkan penerbit filem Blok 404, Boy Iman yang sebelum ini dikaitkan dengan isu penipuan skim pembinaan perumahan kos rendah membuat dua pelakon utamanya Raja Azrey dan Zamarul Hisham bimbang.
Mereka risau perkara itu mempengaruhi minat penonton untuk menyaksikan filem yang diangkat daripada karya asal arahan Silver Chung menggunakan judul sama. Raja Azrey dan Zamarul turut membintangi karya asal Blok 404 yang diterbitkan dalam bentuk cakera padat (VCD) sekitar 2003.
Bagaimanapun untuk versi baru arahan Isma Yusoof ini, pelakon asal Blok 404, Nabila Huda tidak terbabit sebaliknya menampilkan ramai pelakon ternama antaranya Fasha Sandha, Aedy Ashraf, Amar Ashraf, Kamal Adli, Izreen Azminda dan Azrel Ismail.
Ditemui sewaktu majlis berbuka puasa dan pelancaran tayangan sedutan filem Blok 404 baru-baru ini, Zamarul meluahkan rasa syukur apabila karya itu akhirnya sudah mendapat tarikh tayangan.
“Filem ini akan mula menemui pentonton pada 28 Jun depan. Mungkin rahmat Allah dan berkat doa orang teraniaya, laluan filem Blok 404 untuk menjadi tumpuan pada masa ditayangkan nanti nampak positif apabila ia tidak bersaing dengan mana-mana filem.
“Selepas timbul kemelut isu membabitkan Boy Iman memang risau kerana sebagai satu pasukan kerja menjayakan Blok 404 saya mahu ia berjaya dan mendapat sambutan seperti mana ia menjadi sebutan sewaktu diterbitkan pada 2003.
“Saya tidak mahu isu itu menggugat minat penonton menyaksikannya kelak. Tambahan pula Boy Iman tidak disabitkan kesalahannya. Isu sudah selesai. Saya yakin penonton kita semakin terbuka menilai kualiti filem dan tidak terpengaruh dengan isu kontroversi,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai Blok 404, kata suami kepada dramatis Diana Rafar ini berharap penonton tidak membandingkannya dengan karya asal Silver kerana ia dihasilkan Isma dengan pendekatan baru.
“Saya sudah lihat hasilnya sewaktu suntingan filem ini dijalankan. Ia nampak ‘grand’ dengan idea baru lebih segar. Cuma dari sudut idea ditampilkan, itu terpulang kepada penonton untuk menilainya. Cuma di sini ingin saya jelaskan Blok 404 yang baru ini ada logik dan tidak. Pada waktu sama mesej mahu ditampilkan pengarah sangat kuat.
“Unsur tidak logik pula perlu dalam filem ini bagi menunjukkan kesinambungan Blok 404 yang baru ini dengan Blok 404 yang diterbitkan pada 2003,” katanya.
Bagi Azrey pula, tekanan dirasakan sejak dia ditugaskan menghasilkan pementasan teater Blok 404. Bagaimanapun, sepanjang penggambaran filem dilaksanakan segalanya berjalan baik. “Apapun saya bersyukur filem ini sudah mendapat tarikh tayangan. Tentang isu dan menjadi viral, itu perkara biasa. Tidak dinafikan tempias isu itu masih ada.
“Saya tidak mahu terlalu ambil pusing mengenai perkara itu, saya akan terus memberikan sokongan dan membantu mempromosikan filem ini agar mendapat perhatian penonton filem tempatan,” katanya. Kata Azrey yang bakal mengarahkan filem sulungnya berjudul Baling The Movie selepas Aidilfitri nanti, berdasarkan keseluruhan filem Blok 404 Isma pengarah yang bagus.
“Saya menghormati hasil kerjanya. Sewaktu suntingan banyak perubahan dan kejutan dilakukan Isma. “Bayangkan walaupun Blok 404 hanya sebuah filem, ia dekat dengan kehidupan seharian kita,” katanya. Jelas Azrey, sewaktu penggambaran Blok 404 dijalankan dia keliru dengan perjalanan cerita.
Tambahan pula waktu sama dia banyak menumpukan perhatian kepada watak dijayakan. “Bagaimanapun apabila menonton Blok 404 selepas suntingan saya berasakan ceritanya sangat jelas dan mudah difahami. Naratifnya kuat dan watak bergerak seiring,” katanya.
Azrey juga yakin Blok 404 akan diterima penonton kerana sudah punya pengikut selain ada banyak daya tarikan. “Antaranya tajuk Blok 404 itu sendiri menarik perhatian umum dan ia memang sudah mempunyai pengikutnya sendiri. Struktur cerita yang kemas dan lakonan yang tidak merimaskan.
“Selalunya kalau kita menonton filem bertema psiko atau thriller, ada elemen jeritan dan kejutan yang kadang-kadang tidak perlu serta membuatkan penonton mual. “Namun persembahan yang keterlaluan dan melampau itu tidak ada dalam Blok 404,” katanya.
Blok 404 mengisahkan tiga teman rapat iaitu Zul lakonan Boy Iman, Intan (Nadia Brian) dan Hairi (Amar Asyraf) bercuti di kawasan pedalaman kerana mahu lari daripada masalah. Intan dan Hairi instafamous yang berdepan masalah cinta dan mereka bercuti di kawasan hutan kerana cuba memperbaiki hubungan.
Dalam perjalanan, kereta yang dinaiki rosak dan mereka perlu mencari tempat untuk berlindung. Ketika itu mereka beremu sebuah rumah tumpangan nombor 404. Sewaktu menginap di rumah itu, tiga sahabat ini melalui insiden mengerikan.
✍ Sumber Pautan : ☕ Samurai Biru
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2JRo3A1
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment