‘Usah bangkit luka lama’, Zam beritahu Nurul Izzah
Zainudin Maidin berkata demikian selepas Nurul Izzah Anwar mengutuk keras pelantikan Rahim Noor sebagai fasilitator baru rundingan damai selatan Thai.
PETALING JAYA: Tan Sri Zainudin Maidin meminta Naib Presiden PKR Pauh Nurul Izzah Anwar supaya bersikap lebih matang dan profesional berhubung pelantikan bekas ketua polis negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor sebagai fasilitator baru rundingan damai selatan Thai.
Bekas menteri penerangan itu berkata Nurul Izzah sepatutnya melupakan perkara yang berlaku terhadap bapanya, lebih-lebih lagi ia melibatkan keselamatan banyak nyawa di Thailand ketika ini.
“Ini bukan soal keselamatan individu, ini adalah soal perdamaian untuk menamatkan keganasan.
“Saya rasa kalau Rahim sudah minta maaf, saya rasa dia patut lupakan sahaja.
“Tak usah dibangkitkan balik luka yang lama, sudahlah dan kita lupakan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Terdahulu, Zainudin yang dikenali sebagai Zam berkata Nurul Izzah hanya “fikir” tentang mata lebam bapanya sahaja apabila membantah pelantikan Rahim.
“Jasa lebih besar Rahim jayakan rundingan damai PKM Malaysia dan Thai untuk kepentingan rakyat dia tak nampak. Tak payahlah korek luka lama,” tulisnya di Twitter.
Hari ini, Nurul Izzah mengutuk keras pelantikan Rahim selepas kejadian “mata lebam” yang menimpa bapanya.
“Saya membantah keras pelantikan penyerang ganas seorang lelaki tidak bersalah yang terbaring dengan mata bertutup dan tangan bergari – terbiar tanpa perhatian perubatan selama beberapa hari.
“Dunia kemudiannya dibohongi mengenai keberadaan dan keadaan mangsa. Persendaan keadilan yang sangat menjijikkan.”
Rahim menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.
Beliau merupakan ketua polis negara pada 1998 apabila pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan diserang ketika dalam tahanan oleh Rahim sendiri.
Berikutan penahanannya pada 20 September 1998, Anwar memeranjatkan rakyat Malaysia apabila muncul di mahkamah dengan mata lebam walaupun sebelum itu Rahim memberi jaminan bekas timbalan perdana menteri itu berada dalam keadaan selamat dalam tahanan polis.
Semasa perbicaraannya, Rahim memberitahu mahkamah beliau diprovokasi oleh Anwar. Beliau bagaimanapun didapati salah dan dijatuhi hukuman penjara 2 bulan.
Pada 2005, Rahim meminta maaf atas tindakan itu kepada Anwar dan keluarganya.
Mengulas lanjut, Zam berkata Rahim sememangnya dilihat sebagai orang yang paling layak untuk memainkan peranan dalam usaha rundingan damai di selatan Thai.
“Beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Thailand dan ini akan memudahkan kerjanya.
“Malah lebih penting, beliau juga pakar dalam soal keselamatan.”
✍ Sumber Pautan : ☕ indah.com
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : https://ift.tt/2PdK1fL
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Post a Comment