Hi! Welcome Back and Stay Tune! Selamat tinggal Tokyo, jumpa nanti di Paris 2024 - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Selamat tinggal Tokyo, jumpa nanti di Paris 2024


 

Malam penutupan sukan Paralimpik Tokyo diwarnai dengan pertunjukan bunga api bergemerlapan di stadium. (Gambar AP)

TOKYO: Selepas 12 hari menyaksikan pertandingan yang penuh dengan drama dan keterujaan, dipaparkan menerusi kesungguhan serta ketabahan sekumpulan atlet luar biasa, Sukan Paralimpik Tokyo melabuhkan tirainya dengan acara penutupan yang memukau perhatian malam tadi.

Pihak tuan rumah tidak menghampakan pada majlis penutupan dan berjaya menceriakan malam itu dengan persembahan cahaya dan tarian serta persembahan muzik yang mempesona dan menghiburkan biarpun acara berlangsung dalam stadium yang hampir kosong berikutan pandemik Covid-19.

Acara yang berlangsung di bawah konsep “Kakofoni Harmoni dan Bergerak Kehadapan”, persembahan yang mengetengahkan idea “Tokyo, Sebuah Bandar Raya Dimana Perbezaan Menyinar” bermula dengan lancar apabila sekumpulan orang kurang upaya mempersembahkan kemahiran mereka di dalam muzik sebelum cahaya bunga api bergemerlapan di atas stadium.

Selepas bendera negara-negara peserta tiba di stadium, sebuah bandar raya mini Tokyo “menjelma” di tengah-tengah stadium menonjolkan Jambatan Pelangi dan menara Tokyo Skytree yang terkenal selain daripada kemunculan istimewa maskot rasmi Sukan Paralimpik Tokyo, Someity yang ditemani maskot rasmi Sukan Olimpik Tokyo, Miraitowa yang merupakan sebahagian daripada segmen tarian pendarfluor.

Selain meraikan atlet, acara itu juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada sukarelawan yang berkhidmat tanpa mengenal penat bagi memastikan temasya sukan ini berjalan lancar dan mereka menerima hadiah istimewa daripada atlet renang paralimpik Daniel de faria Dias dari Brazil dan atlet popular dari Iran, Zahra Nemati.

Selepas persembahan yang menghiburkan, Gabenor Tokyo Koike Yuriko menyerahkan bendera Paralimpik kepada Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Andrew Parsons yang kemudian menyerahkannya kepada Datuk Bandar Paris Anne Hidalgo.

Kemudian peserta-peserta dihidangkan dengan tarian tangan yang menarik dalam satu tayangan video yang turut mengetengahkan beberapa penari berkerusi roda sebelum sambutan itu bersambung di Paris, yang akan menjadi tuan rumah Sukan Paralimpik Musim Panas 2024 buat kali pertama dalam sejarahnya.

Majlis penutupan itu turut mempromosikan “WeThe15”, pergerakan hak asasi manusia terbesar dalam sukan para untuk menamatkan diskriminasi dan menyasarkan untuk mentransformasikan kehidupan 1.2 bilion orang kurang upaya yang merupakan 15% daripada penduduk dunia.

Dalam ucapannya, Parsons berkata perjalanan atlet-atlet tidak boleh berhenti di sini kerana beliau percaya ini adalah peluang yang membuka suatu masa hadapan yang cerah dan inklusif buat mereka.

Nyalaan api di kawah kejohanan kemudian dipadamkan tepat pukul 10 malam waktu tempatan menandakan berakhirnya Sukan Paralimpik Tokyo.

Terdahulu, pemain badminton negara Cheah Liek Hou yang mencipta sejarah selaku juara Paralimpik pertama dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) selepas badminton dipertandingkan buat julung kalinya di sini, diberikan penghormatan untuk mengarak Jalur Gemilang ke dalam stadium dalam segmen bendera negara peserta.

Malaysia mengakhiri kempen Paralimpik yang paling berjaya setakat ini di kedudukan ke-39 dengan tiga emas dan dua perak, mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.

Selain Liek Hou, dua lagi emas Malaysia disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin menerusi acara powerlifting 72 kilogram lelaki dan Abdul Latif Romly melalui lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), yang juga mempertahankan emas yang diperolehnya di Rio 2016.

Perak diperoleh seorang lagi atlet powerlifting Jong Yee Khie dalam acara 107kg lelaki dan Chew Wei Lun menerusi boccia.

China mengekalkan dominasinya dalam Sukan Paralimpik dan muncul sebagai juara keseluruhan sekali lagi dengan 96 emas, 60 perak dan 51 gangsa sementara pasukan tuan rumah di tangga ke-11 dengan pungutan 13 emas, 15 perak dan 23 gangsa.

Perenang Ukraine, Maksym Krypak yang bertanding dalam kategori S10 (kecacatan fizikal) berada di dalam kelas tersendiri selepas muncul sebagai atlet paling cemerlang di Tokyo dengan meraih tujuh pingat termasuk lima emas.

Terima kasih Tokyo, jumpa lagi di Paris 2024. - FMT



✍ Credit given to the original owner of this post : ☕ Malaysians Must Know the TRUTH

🌐 Hit This Link To Find Out More On Their Articles...🏄🏻‍♀️ Enjoy Surfing!




No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.