‘Belelang’: Naratif terbaik demi masa hadapan Sarawak
Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid
‘Belelang’ atau turut dikenali sebagai ‘Bejalai’ dalam bahasa Malaysia bermaksud ‘berjalan’, merupakan sebuah amalan daripada etnik Iban. Disebalik simplistik maksud ‘belelang, tersimpan seribu makna betapa pentingnya amalan ini kepada komuniti Iban. Sehingga hari ini, masih ada anak-anak Iban yang ‘belelang’ demi mengejar cita-cita kehidupan.
Menjiwai amalan ‘belelang’
Adat ‘belelang’ ini merupakan sebuah penghijrahan pemuda Iban mencari kehidupan baru di rantau orang demi memperoleh penghormatan dan kesejahteraan kepada diri dan keluarga. Etnik Iban percaya amalan ini mampu membuktikan kekuatan anak Iban itu dalam kehidupan dengan menempuh pelbagai rintangan semasa berpindah ke destinasi yang dituju. Mereka berjalan daripada rumah panjang ke destinasi baru yang bakal didirikan sebuah kehidupan sejahtera.
Mereka perlu berdikari ketika merantau dan semangat dibawa sebagai bukti mereka boleh membuat keputusan kendiri tanpa kebergantungan dari mana-mana pihak. Itulah semangat yang ditunjukkan melalui ‘belelang’. Berhijrah daripada rumah panjang, mencari penghormatan, ilmu, rezeki dan kehidupan baru yang bakal membawa kebaikan kepada masa hadapan tanah tumpah darahnya serta orang kampung.
‘Belelang’ membuka pemikiran anak Iban melihat dunia luar daripada rumah panjang. Generasi muda dapat mempelajari sesuatu yang baru dan tidak menjadi ‘katak di bawah tempurung’. Malah, anak yang ‘belelang’ membuktikan harga dirinya yang tinggi di mata komuniti rumah panjang kerana itizamnya mencari kehidupan baru dengan pengalaman dan ilmunya yang tinggi. Keberaniannya untuk berubah, merupakan kunci kejayaan anak yang ‘belelang’.
‘Belelang’ untuk masa hadapan Sarawak
Adat ini telah melahirkan anak Iban Sarawak yang berjaya dalam kehidupan. Pengalaman yang mereka lalui ketika berhijrah mencari kehidupan baru tentunya membuka peluang memperbaharui kehidupan dirinya serta keluarga rumah panjang.
Ada diantara mereka sudah menabur bakti dan hidup di bandar dan luar negara. Pelbagai pilihan yang mereka perolehi untuk membina masa depan yang lebih baik. Namun, rumah panjang tidak pernah hilang dalam sanubari mereka.
Pengundi di Sarawak perlu mengambil nilai yang tersirat dalam adat ‘belelang’ daripada kaum Iban. ‘Belelang’ merupakan naratif terbaik rakyat Sarawak untuk memulakan langkah reformasi dan perubahan demi Sarawak tercinta.
Pada PRN Sarawak pada tahun 2011 dan PRU-13 telah membuktikan rakyat Sarawak sudah membuka langkah ‘belelang’ jauh daripada parti BN. Kemerosotan undi popular BN pada PRN Sarawak tahun 2011 merupakan bukti rakyat Sarawak mampu mengambil pendirian tegas untuk membela nasib mereka supaya tidak dipermainkan oleh pemimpin Taib Mahmud.
Penghijrahan untuk memilih parti selain BN merupakan langkah pelaburan untuk masa hadapan anak Sarawak. Walaupun kajian menunjukkan BN berpotensi memenangi PRN Sarawak kali ini, namun ia tidak boleh dimuktamadkan selagi peti undi belum digunakan.
‘Belelang’ jika dipraktikkan oleh pengundi mampu membawa anak Sarawak kepada satu ‘pilihan baharu’ untuk menguruskan sosio-ekonomi, keharmonian dan pembangunan rakyat. Perkara ini semestinya menggerunkan BN kerana rakyat mempunyai pilihan untuk memilih ‘apai’ baru untuk Sarawak.
Sekarang masa rakyat Sarawak ‘belelang’
7 Mei 2016 bakal menyaksikan sebuah proses pemilihan untuk menerajui kepimpinan kerajaan Sarawak lima tahun lagi. Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak menyaksikan persaingan yang sengit parti-parti pasca PRU-13 dan permulaan momentum menjelang pra PRU-14.
Permulaan PRN Sarawak kali ini sudah diagak oleh pengamal sains politik, media dan orang awam. Betapa kukuhnya reputasi ‘Tok Nan’ untuk menerajui Sarawak selepas bawah pemerintahan Taib Mahmud. ‘Give me five more years’, ungkapan Pengerusi BN Sarawak kepada pengundi untuk memilih partinya menerajui perancangan pembangunan Sarawak.
Dua tahun ialah satu jangka masa yang tidak pernah cukup untuk sebuah pembangunan. Tetapi, manifestasi pembangunan ini turut digunakan oleh BN Sarawak selama ’30 tahun’ di bawah Taib Mahmud yang akhirnya tidak memperlihatkan tanda aras positif untuk masyarakat tempatan, terutamanya di luar bandar.
Persoalannya, adakah pembangunan yang ingin dibawa ‘Tok Nan’ berkesan jika memenangi PRN? Adakah lima tahun cukup untuk membangunkan Sarawak?
Tentunya tidak.
Jika Mahathir selama 22 tahun memerintah Malaysia masih gagal,
Jika Taib Mahmud memerintah Sarawak 33 tahun masih gagal membawa perkara asas untuk rakyat Sarawak,
Jika Najib selama 7 tahun memerintah Malaysia masih gagal dalam perancangan pembangunan rakyat,
Inikah pula Adenan Satem!
‘Belelang’ kitai semua daripada Apai Adenan dan Apai Najib!
‘Belelang’ demi Sarawak Lebih Baik!
Mohammad Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
Mukah Pages bring you trending news media with Free Malaysia Today http://ift.tt/1T8vaxk
Post a Comment