YANGON - MYANMAR. Seorang ibu yang melahirkan anak di dalam pesawat ketika dalam perjalanan dari Singapura menamakan anaknya "Jet Star" selepas krew penerbangan pesawat itu membantunya semasa melahirkan anak.

Tiga orang doktor yang kebetulan berada di dalam penerbangan tiga jam ke Myanmar turut membantu wanita itu melahirkan anak ketika pesawat tersebut bergerak ke Lapangan Terbang Yangon.

Ibu itu membuat keputusan untuk menamakan anaknya "Saw Jet Star" sebagai tanda keprihatinan yang diterimanya dari kakitangan penerbangan itu.

Nama pertama bayi berkenaan diambil sempena nama Pengurus Perkhidmatan Pelanggan, Saw Ler Htu yang membantu ibu itu ketika melahirkan.

Ibu serta bayi berkenaan dibenarkan keluar dari sebuah hospital tempatan Yangon dan berada dalam keadaan sihat.

Bayi lelaki seberat hanya tiga kilogram itu merupakan bayi pertama yang dilahirkan di atas pesawat JetStar Asia.

Syarikat penerbangan itu turut menawarkan sumbangan kepada ibu bayi itu berupa  AS$1,000 (RM 3,896) barangan bayi manakala tiga doktor yang membantu turut ditawarkan baucer penerbangan.

Jurucakap Jetstar berkata, syarikat penerbangan itu berbangga dengan cara anak kapal memberi bantuan bagi memastikan bayi berkenaan selamat dilahirkan.

"Kelahiran bayi berkenaan disusuli dengan tepukan gemuruh dari penumpang lain yang berada di atas pesawat dan kami pasti ia adalah suatu kenangan yang sukar dilupakan," katanya dipetik Dail Mail.

Bagi penerbangan kurang dari empat jam, JetStar membenarkan wanita hamil dengan usia kandungan mencecah minggu ke 40 menaiki pesawat manakala bagi kandungan 28 minggu atau lebih perlu membawa dokumentasi khusus dari doktor.



Sumber : http://www.sinarharian.com.my/