Ulasan Xioami Redmi Note 3 – Mungkin Peranti Paling Berbaloi Di Pasaran
Murah tidak mungkin bagus. Ini ialah perkara yang kami dengar apabila berbicara tentang peranti dan peralatan elektronik. Selama berpuluh tahun kami diberitahu hanya dengan membayar lebih kami dapat menikmati peralatan elektronik yang bukan sahaja berkualiti dan bisa diandalkan. Kemunculan Xiaomi sedikit sebanyak mengubah persepsi kami mengenai peranti murah.
Memang harus diakui pada awal kemunculannya peranti Xiaomi murah kerana bahan binaan yang plastik dan spesifikasi yang kurang berkuasa. Dengan Redmi Note 2 tahun lalu Xiaomi mula menunjukkan mereka hampir menemui formula untuk menghasilkan peranti murah yang berkualiti. Masalah yang kami hadapi dengan Redmi Note 2 ialah hayat bateri yang agak menyedihkan.
Xiaomi Redmi Note 3 yang mula dijual di Malaysia bulan lalu cuba memperbaiki kesemua kekurangan yang kami katakan tadi. Pada masa yang sama kemasan kini diubah kepada logam dengan pengimbas cap jari disertakan sekali. Ia mungkin peranti paling berbaloi dimiliki sekarang bagi mereka yang tidak mahu berbelanja besar. Mengapa kami katakan begini? Baca ulasan ini untuk mengetahui jawapannya.
Spesifikasi
Xiaomi Redmi Note 3 | |
---|---|
Skrin | 5.5″ IPS LCD FHD (403 ppi) |
Pemproses | Qualcomm MSM8956 Snapdragon 650 |
Pemproses | 1.8 GHz Cortex A-62 Dua Teras
1.4 GHz Cortex A-53 Empat Teras |
GPU | Adreno 510 |
RAM | 3 Gigabyte |
Muatan Dalaman | 32 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB) |
Kamera Utama | 16 Megapixel f/2.0 PDAF, Rakaman 1080P |
Kamera Depan | 5 Megapixel f/2.0, Rakaman 1080P |
Bateri | 4000 mAh (Pengecasan pantas) |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano + Mikro |
Pengimbas Cap Jari | Ya |
NFC | Tiada |
Infra Merah | Ya |
Harga Jualan | RM 849 |
Xiaomi Redmi Note 3 membawakan perubahan yang besar jika dibandingkan dengan Redmi Note 2. Keseluruhan tubuh peranti kini diperbuat daripada logam dengan sistem bulat bagi memastikan keselesaan. Skrin masih lagi sebesar 5.5 inci IPS LCD dengan resolusi 1080P. Pemproses Snapdragon 650 enam teras digunakan dan menggantikan Mediatek Helio X10 yang ditemui pada Redmi Note 2. Ya hanya enam teras tetapi ianya jauh lebih berkuasa dan menjimatkan penggunaan berbanding berbanding model terdahulu.
Kami mengulas model dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 32 Gigabyte. Muatan dalaman boleh ditambah kerana sokongan kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte. Slot kad MikroSD ini berkongsi dengan slot SIM kedua bersaiz nano. Sebuah lagi slot SIM yang disertakan adalah bersaiz Mikro.
Kemampuan optik ialah kamera utama sebesar 16 Megapixel f/2.0 dengan sistem pemfokusan PDAF. Sistem flash dwi-tona disertakan untuk mengambil gambar dengan warna lebih semula jadi. Kamera hadapan pula sebesar 5 Megapixel f/2.0. Kedua-dua kamera hadapan dan belakang mampu merakam video pada resolusi maksimum 1080P sahaja. Ini sedikit mengecewakan kerana pemproses Snapdragon 650 menyokong rakaman sehingga resolusi 4K.
Bateri sebesar 4000 mAh yang disertakan adalah amat besar. Ini adalah peningkatan yang besar jika dibandingkan hanya Redmi Note 2 yang dibekalkan bateri sebesar 3060 mAh. Berbeza dengan Redmi Note 2, bateri peranti ini tidak boleh ditanggalkan. Sistem pengecasan QuickCharge 2.0 disokong bagi memastikan bateri yang besar ini mampu dicas dengan pantas.
Masih tiada sokongan NFC tetapi pemancar infra merah dan pengimbas jari disertakan. Seperti yang anda boleh lihat spesifikasi peranti ini adalah amat baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan.
Rekaan
Rekabentuk peranti tidak mengalami perubahan yang besar jika dibandingkan dengan Redmi Note 2. Hanya komponen plastik kini diubah sepenuhnya kepada logam. Sisi peranti adalah bulat bagi memastikan ianya selesa dipegang sepanjang hari. Kemasan panel belakang adalah matte dan ini memastikan Redmi Note 3 tidak akan mudah tergelincir dari tangan pengguna. Seperkara lagi yang kam suka dengan kemasan ini ialah ia tidak memerangkap sebarang cap jari.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan suara. Kedua-duanya diperbuat daripada logam. Pada sisi kiri pula terdapat talam SIM. Talam adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum untuk dikeluarkan. Talam Dwi-SIM yang disertakan ialah dari jenis hibrid yang berkongsi dengan kad MikroSD. Talam pertama bersaiz mikro dan talam kedua bersaiz nano. Sekiranya kad MikroSD digunakan, hanya talam bersaiz Mikro boleh digunakan untuk meletak SIM.
Bicu audio 3.5 mm dan pemancar infra merah terdapat pada sisi sebelah atas. Sebuah port pengecasan MikroUSB pula terletak pada bahagian bawah peranti. Sistem pembesar suara mono pula terletak pada panel belakang. Kualiti audio dari pembesar suara ini adalah kurang memuaskan. Pada tetapan paling tinggi sekalipun ia masih tidak cukup lantang.
Pada bahagian dagu terdapat tiga butang navigasi kapasitif. Butang home dihimpit dengan butang multi tasking pada sebelah kiri dan back pada sebelah kanan. Ketiga-tiga butang mempunyai sokongan lampu bagi memudahkan penggunaan pada waktu malam. Secara keseluruhan peranti selesa dipegang di dalam tangan. Sekiranya anda mahukan peranti yang tidak terlalu licin dan tidak memerangkap cap jari, Redmi Note 3 ialah peranti yang memenuhi kriteria ini.
MIUI 7.2
Android 5.1 Lollipop digunakan dengan ataramuka MIUI 7.2. Antaramuka ini adalah minimalis dan mempunyai kombinasi warna yang tidak menyakitkan mata. Seperti antaramuka dari China yang lain, MIUI tidak mempunyai talam aplikasi. Kesemua aplikasi diletakkan pada muka hadapan skrin. Xiaomi tidak menyertakan kustomasi yang banyak dengan MIUI. Kustomasi paling ketara ialah Themes yang membenarkan pengguna mengubah antaramuka dan ikon yang digunakan. Terdapat puluhan tema boleh dimuat turun oleh pengguna. Seleksi yang diberikan adalah cukup besar dan pengguna pasti menemui tema yang menepati citarasa mereka.
Kepada yang gemar menggunakan peranti menggunakan sebelah tangan, mod sebelah tangan disertakan yang mengecilkan paparan peranti bagi memudahkan akses kepada kesemua bahagian antaramuka. Ini dilakukan dengan melakukan tatalan dari butang home ke back atau home ke multi tasking dengan pantas.
Masih tiada sokongan dwi-tap untuk mengaktifkan skrin. Sokongan multi-window juga masih belum disertakan sungguhpun Redmi Note 3 mempunyai skrin yang cukup besar untuk menyokongnya. Jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh peranti phbalet yang lain seperti Galaxy Note 5 dan Huawei Mate 8, jumlah fungsi tanbahan yang ditawarkan Redmi Note 3 adalah jauh lebih kecil.
Bergantung kepada pengguna untuk melihat ini sebagai negatif ataupun positif. Ketiadaan fungsi tambahan yang banyak menjadikan pengalaman menggunakan peranti hampir seperti Stock Android.
Pengimbas Cap Jari
Pengimbas cap jari pada panel belakang memudahkan peranti dinyahkunci dengan pantas dari dalam poket. Sekali lagi ini kami tegaskan kami lebih menggemari peranti dengan pengimbas cap jari yang diletakkan pada panel belakang.
Masa yang diambil untuk mengimbas cap jari adalah pantas. Sedikit lebih pantas berbanding yang kami lihat pada Huawei Mate 8 tetapi tidak sepantas yang kami lihat pada Oppo F1 Plus.
Tiada fungsi tambahan disertakan pada pengimbas cap jari ini. Ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Huawei yang membenarkan tatalan skrin, menurunkan talam notifikasi dan mengambil gambar.
Kamera
Sensor 16 Megapixel f/2.0 dengan OIS serta pemfokusan PDAF pada bahagian belakang dipadankan dengan kamera 5 Megapixel f/2.0 pada bahagian hadapan. Pada tetapan tertinggi, gambar diambil pada nisbah 4:3. Sungguhpun Snapdragon 650 mampu merakam video pada resolusi 4K, Redmi Note 3 hanya membenarkan pengambilan video pada resolusi maksimum 1080P 30FPS.
Antaramuka aplikasi kamera adalah kemas dan mudah difahami. Hanya terdapat sembilan pratetapan disertakan untuk mengambil gambar dan dua untuk mengambil video. Terdapat mod manual sekiranya anda mahukan kawalan kamera yang lebih mendalam.
Di atas kertas spesifikasi kamera utama Redmi Note 3 adalah amat baik. Tetapi di dalam penggunaan dunia sebenar ianya mengecewakan. Di dalam keadaan pencahayaan terang terdapat masalah dedahan berlebihan. Apabila gambar langit diambil, kesemua objek di langit hilang dam kelihatan putih seperti yang anda boleh lihat di dalam contoh di bawah. Gambar juga tidak cukup tajam walaupun diambil pada resolusi 16 Megapixel. Tona warna juga agak kekuningan dan di keperincian objek di kawasan gelap tidak dapat dilihat dengan jelas. Penghasilan warna juga mengecewakan kerana warna kurang menyerlah dan kusam.
Kamera ialah kelemahan paling ketara peranti ini dan mungkin jawapan kepada persoalan mengapa ia dijual pada harga yang murah. Tiada peningkatan kemampuan mengambil gambar dapat dilihat jika dibandingkan dengan Redmi Note 2.
Video
Kualiti rakaman video juga hanyalah sederhana. Sistem penstabilan imej digital yang digunakan tidak cukup baik untuk mengurangkan gegaran apabila kamera bergerak. Ketiadaan rakaman 1080P 60FPS agak mengecewakan kerana ini pada hemat kami ialah format piawai bagi peranti kelas pertengahan sekarang.
Penanda Aras
Melalui tiga ujian penanda aras yang kami lakukan, markah yang dicatatkan oleh Mate 8 adalah seperti di bawah. Markah yang dicatatkan oleh pemproses Snapdragon 650 Redmi Note 3 tidak jauh berbeza dengan markah yang dicatatkan oleh pemproses Snapdragon 810 Sony Xperia Z5 Dual dan Google Nexus 6P. Harus diingatkan harga jualan kedua-dua peranti ini adalah lebih dari dua kali ganda harga Redmi Note 3. Tidak seperti Redmi Note 2, kami tidak menyedari sebarang masalah peranti menjadi panas sepanjang tempoh ulasan.
Peranti juga berfungsi dengan pantas dan lancar tanpa sebarang sela masa. Kesemua aplikasi yang dipasang juga tidak menghadapi sebarang masalah. Snapdragon 650 mungkin diklasifikasikan sebagai pemproses kelas pertengahan tetapi kemampuannya adalah memadai untuk kesemua keperluan harian pengguna.
Bateri
Hanya beberapa minggu yang lalu kami memuji tahap ketahanan bateri Huawei Mate 8. Tetapi nampaknya “Raja Bateri” terbaru di Makmal Amanz ialah Redmi Note 3. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan melebihi 31 Jam dengan skrin terpasang hampir 9 jam. Ini adalah tahap ketahanan bateri yang amat mengagumkan.
Dengan sokongan pengecasan pantas QuickCharge 2.0, bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa sekitar tiga jam. Kombinasi bateri 4000 mAh dan pemproses kelas pertengahan yang tidak menggunakan banyak kuasa menghasilkan peranti yang sempurna bagi mereka yang malas mengecas peranti setiap hari.
Pesaing
Berikut ialah spesifikasi Xiaomi Redmi Note 3 apabila dibandingkan dengan Vivo V3 Max dan Oppo F1 Plus. Kedua-dua peranti ini mempunyai spesifikasi kelas pertengahan yang tinggi, kemasan logam sepenuhnya, sistem imbasan jari dan saiz skrin hampir sepadan.
Peranti Pesaing | ||
---|---|---|
Xiaomi Redmi Note 3 | Vivo V3Max | Oppo F1 Plus |
5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI) | 5.5″ IPS LCD FHD (401 PPI) | 5.5″ AMOLED FHD (401 PPI) |
1.8 x 2 + 1.4 X 4 GHz Snapdragon 650 | 1.8 x 4 + 1.4 x 4 GHz Snapdragon 652 | 2.0 x 8 GHz MediaTek Helio P10 |
Adreno 510 | Adreno 510 | Mali-T860MP2 |
3 Gigabyte | 4 Gigabyte | 4 Gigabyte |
32 Gigabyte (128 GB MikroSD) | 32 Gigabyte (128 GB MikroSD) | 64 Gigabyte (128 GB MikroSD) |
Kamera Utama 16 Megapixel f/2.0 PDAF | Kamera Utama 13 Megapixel PDAF | Kamera Utama 13 Megapixel f/2.2 PDAF |
Kamera Hadapan5 Megapixel f/2.0 | Kamera Hadapan 8 Megapixel | Kamera Hadapan 16 Megapixel f/2.0 |
4000 mAh (Tidak boleh dibuka) | 3000 mAH (Tidak boleh dibuka) | 2850 mAh (Tidak boleh dibuka) |
RM 849 | RM 1399 | RM 1898 |
Kesimpulan
Xiaomi Redmi Note 3 mungkin adalah peranti yang paling berbaloi untuk setiap ringgit yang dibelanjakan. Ini adalah kerana ia mempunyai rekaan yang baik dengan kemasan logam. Ia turut menyertakan pengimbas cap jari serta pemancar infra merah. Kesemua ini disokong oleh pemproses kelas pertengahan yang baik serta ketahanan bateri yang terbaik pernah kami lihat pada peranti mudah alih.
Kekurangan yang paling ketara pertama sekali ialah kemampuan kamera yang hanya sederhana. Gambar yang diambil agak gelap dengan penghasilan warna yang kurang tepat. Pada situasi pencahayaan rendah masalah noise kelihatan amat ketara. Seperkara lagi yang boleh dikategorikan sebagai kekurangan ialah ia masih menggunakan Android Lollipop.
Kelebihan masih lebih banyak berbanding kekurangan. Peranti ini berfungsi dengan pantas dan lancar walaupun dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan. Hakikatnya ialah di dalam tahun 2016, peranti kelas pertengahan yang wujud adalah jauh lebih berkuasa jika dibandingkan dengan peranti utama dari dua tahun yang lalu. Bagi majoriti pengguna, pemproses Snapdragon 650 yang digunakan adalah lebih dari memadai untuk melakukan kesemua tugasan yang diberikan.
Dengan harga jualan bermula dari RM 749 untuk model 16 GB/RAM 2GB dan RM 849 untuk model 21GB/RAM 3 GB, tidak ada peranti lain di pasaran yang kami rasakan mampu menyaingi kombinasi harga mampu milik dengan kemampuan peranti yang amat baik. Sekiranya anda mahukan peranti yang baik dengan harga yang tidak menyebabkan dompet berlubang inilah peranti yang paling atas di dalam senarai kami. Dengan mudah kami menyarankan pembeliannya kepada anda.
Kelebihan | Kekurangan |
|
|
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/1NBYa4q
Post a Comment