Ucap syahadah depan pendakwah, rakan keliru sangka Acappan peluk Islam
KUALA LUMPUR, 15 Jun — Perbuatan pelakon dan pelawak Acappan “mengucap syahadah” menyebabkan ramai menyangka dia sudah memeluk Islam, kata rakan.
Norhizam Shair atau dikenali sebagai Ijam berkata, beliau menjemput Acappan ke majlis berbuka puasa di surau Jenderam Hilir, Sepang, Selangor yang turut dihadiri pendakwah jemputan, Maulana Helmi.
“Ketika Maulana bercerita mengenai agama dan akhirat, Acappan okay dan dia tidak kekok, malah dia turut mengikut apa yang diperkatakan termasuk mengucapkan dua kalimah syahadah,” katanya dipetik akhbar Harian Metro.
Bekas pemuzik kumpulan Medicine itu berkata, disebabkan itu ahli jawatankuasa surau salah faham dan beranggapan Acappan sudah memeluk Islam sebelum memuat naik video dan gambar di media sosial sehingga menjadi viral.
“Sebelum ia hangat diperkatakan, saya bersama Acappan dan beberapa jemaah lain duduk mendengar kata-kata nasihat daripada Maulana.
“Dalam masa sama masing-masing bergurau untuk menamakan Acappan dengan Muhammad Ramadhan sekiranya dia memeluk Islam. Situasi itu turut disaksikan ahli jawatankuasa surau.
“Jadi tidak timbul isu paksaan atau memujuk Acappan memeluk Islam sebaliknya sekadar memberi nasihat,” katanya.
Beliau berharap kenyataannya dapat membetulkan tanggapan keluarga Acappan dan pihak lain supaya berhenti menyebarkan spekulasi.
Pada Isnin, Acappan atau nama penuhnya Samynathan Rethinan, 58, dilaporkan menafikan dakwaan itu seperti yang tersebar di media sosial tetapi mengakui sedang belajar selok-belok Islam.
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/1Q3m6yI
Post a Comment