Pakatan ‘cacamarba’, biar Selangor kotor banyak denggi, kata Noh
SUBANG, 31 Jul — Kelemahan pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor adalah punca utama kemerosotan kualiti kebersihan di negeri itu, kata Tan Sri Noh Omar hari ini.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang menyifatkan pakatan itu sebagai ‘pakatan cacamarba’ berkata, Selangor adalah antara negeri yang paling banyak sampah tidak dikutip, sekali gus merekodkan kes denggi yang tertinggi di Malaysia.
“Punca berlakunya masalah ini adalah kerana kerajaan Selangor menolak pemakaian Akta 672 di mana mengikut akta itu, kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM2.2 billion setahun untuk membersihkan sampah-sarap.
“Bagaimanapun, peruntukan itu hanya diberikan kepada negeri yang menerima pakai akta tersebut dan Selangor tidak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Keluarga Bahagia 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield di sini.
Akta 672 merujuk kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, bertujuan mengawal selia pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam bagi maksud menyenggarakan kebersihan yang sepatutnya dan bagi perkara yang bersampingan dengannya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekecewaan dan kebimbangannya terhadap dakwaan kelemahan kerajaan Selangor dalam menguruskan infrastruktur dan prasarana Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang 1.
“Saya akan cuba bantu menyelesaikan isu penyelenggaraan bangunan dan kebersihan di PPR Lembah Subang 1 kerana ianya merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan.
“Apa yang berlaku ialah kerajaan Persekutuan bangunkan PPR dan setelah siap, kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk uruskan. Tetapi mereka (kerajaan Negeri) hanya mengutip sewa tetapi tidak menguruskannya dengan baik,” jelas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Noh mencadangkan kepada Jabatan Pelajaran Selangor untuk mewajibkan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk mengadakan program mengumpul dana.
Katanya, program itu wajib diadakan sekurang-kurangnya setahun sekali bagi membantu sekolah meningkatkan kualiti infrastruktur dan prasarana sekolah.
“Walaupun kerajaan memberi berbilion peruntukan, ianya masih tidak mencukupi untuk membiayai kerja penyelenggaraan sekolah.
“PIBG harus memainkan lebih banyak peranan agar sekolah dapat menumpukan perhatian dalam meningkatkan kualiti dan pencapaian akademik pelajar,” katanya.
Sehubungan itu menurut Noh, kementeriannya juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sekolah untuk membantu meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar.
“Kementerian saya akan buka tawaran kepada mana-mana pihak yang ingin menggunakan khidmat jabatan di bawah kementerian seperti Jabatan Landskap, Jabatan Bomba dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal untuk membangunkan dan menambah baik prasarana sekolah,” katanya. — Bernama
from Malay Mail Online | All http://ift.tt/2aG6UsH
Today updated news promoted by Mukah Pages
Post a Comment