Hi! Welcome Back and Stay Tune! MASIH ADA YANG BELUM MERDEKA - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

MASIH ADA YANG BELUM MERDEKA

Hari ini hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 59. Setiap tahun kita meraikannya kerana itulah tanda kita bebas daripada ikatan penjajahan setelah ratusan tahun sebelumnya, silih berganti dirantai oleh beberapa negara asing sejak tahun 1511 lagi.

Merdeka sebenarnya mempunyai pengertian dan ruang lingkup yang sangat luas. Ia tidak saja bermakna bebas daripada penjajahan atau cengkaman negara asing, malah mengisinya dalam ertikata sebagai manusia yang merdeka, jauh lebih mendalam pengertiannya.

Sebagai manusia, makna paling asas bagi merdeka ialah kebebasan serta keberanian untuk menyatakan antara yang benar dan yang salah. Tidak guna kita merdeka, mengaku merdeka atau berbangga setelah 59 tahun bebas daripada penjajahan, kiranya masih ada ketakutan untuk menyatakan kebenaran secara terbuka.

Tidakkah benar dan salah itu seperti berbezanya hitam dengan putih? Lalu, mengapa masih ada yang ragu-ragu untuk menyatakannya?

Sejak kecil kita memang diajar mengenal antara yang salah dan benar atau antara yang baik dan buruk. Kepada anak-anak juga kita selalu mengatakan demikian. Kita akan pantas mengatakan kepada mereka bahawa mencuri misalnya, biar sebiji telur ayam sekali pun, tetap salah dan berdosa.

Jika mengetahui ada kecurian, kita mesti melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kalau kita kenal pencuri pula, kita mungkin memberitahu pencuri terbabit bahawa mencuri adalah perbuatan yang salah. Kemudian, kita tentu akan menjauhi pencuri terbabit dan enggan berkawan dengannya. Berkawan dengan pencuri memungkinkan barang kita juga turut dicuri suatu hari nanti atau mungkin akhirnya bersubahat memakan hasil curi.

Pokoknya, seseorang yang kenal antara benar dan salah, bukan saja membenci perbuatan mencuri, berusaha mencegahnya dan akhirnya akan bertindak menjauhi pencuri terbabit.

Kiranya itu yang kita kita lakukan, itulah merdeka namanya dan bermakna kita sedang mengajar anak-anak kita erti kemerdekaan yang sebenar. Tidak lain erti kemerderkaan dalam diri seseorang melainkan kenal antara yang benar dan yang salah serta berani untuk menyatakannya tanpa bimbang terhadap apa-apa yang lain.

Tetapi, apakah merdeka namanya apabila kita terus menyanjung, memuji dan mencium tangan seseorang yang tiba-tiba dalam akaun banknya ada wang beribu-ribu juta yang entah dari mana datangnya?

Merdekakah jiwa kita jika seseorang yang ada ribu-ribu juta itu tetap dipertahankan setengah mati dengan mengatakan dia tidak melakukan kesalahan apa-apa atau tidak melanggar sebarang peraturan undang-undang negara?

Merdekakah andainya setelah seseorang itu mengaku memang dalam akaun banknya ada kemasukan ribu-ribu juta, tapi kita berhujah pula, “Saya kenal dia, dia bukan jenis yang curi duit orang” sebagai alasan untuk membelanya?

Merdekakah jika seseorang itu terus dibela, dipertahan, dipuji, disanjung dan dicium tangannya sedangkan nawaitu perbuatan itu bukan berasaskan benar atau salah, tetapi kerana ingin habuan, ganjaran atau takut kehilangan jawatan?

Apakah di dunia ini, yang difikirkan hanya habuan, ganjaran dan jawatan semata-mata?

Di sebalik usia merdeka 59 tahun negara, hakikatnya terdapat segelintir daripada kita yang belum lagi merdeka jiwanya. Masih ada yang sanggup menutup kesalahan dan menyembunyikan kebenaran semata-mata kerana ada ganjaran yang diberikan.

Mereka ini dengan rela membiarkan diri dijajah terang-terang di depan mata hanya kerana ingin mempertahankan kenikmatan hidup yang sementara.

http://ift.tt/1Ka9Gf1abang-johari



from Malaysia Chronicle http://ift.tt/2bZd1rD

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.