MERDEKA, MERDEKA, MERDEKA: Malaysia, Negaramu Hanya Satu
JANGAN engkau bakar rumahmu
Kerana di dalamnya
Ada pijat, nyamuk dan kutu
Engkau racun dan buang mereka
Agar rumahmu bahagia semula.
Jangan engkau bakar benderamu
Kerana tiangnya condong
Dan angin mati
Maka tidak ia berkibar lagi
Carilah tiang yang panjang
Ikatkan pada pohon yang tinggi
Di puncak gunung yang banyak angin
Supaya ia berkibar kembali.
Jangan engkau sisihkan negaramu
Kerana engkau benci
Kepada pembesarnya yang rakus
Yang merompak mencuri tanpa malu
Sambil mendabik dada mengaku berjasa
Dan lantang menuduhmu derhaka
Kerana engkau tidak mencium tangan mereka.
Ini rumahmu
Ini benderamu
Ini negaramu
Pertahankan ia
Dari tangan-tangan celaka
Kerana rumahmu
Benderamu
Dan Negaramu
Bukan dua atau tiga
Hanya satu
Itulah Malaysia.
Maka anak-anakku
Sambutlah panji-panji ini
Dari tanganku yang lesu
Arahkan ia tinggi-tinggi
Jangan sekali-kali
Biarkan ia jatuh menyembah bumi
Dipijak, dikoyak, dicaci.
Rumahmu hanya satu
Benderamu pun begitu
Apatah lagi negaramu
Tidak dua
Tidak tiga
Hanya satu
Itulah Malaysia.
Merdeka
Merdeka
Merdeka.
Wallahuaklam.
– http://ift.tt/1j9Uk47
from Malaysia Chronicle http://ift.tt/2bZcLJ3
Post a Comment