Hi! Welcome Back and Stay Tune! Haron Din dalam kenangan (1940-2016) - Mukah Pages : Media Marketing Make Easy With 24/7 Auto-Post System. Find Out How It Was Done!

Header Ads

Haron Din dalam kenangan (1940-2016)

Selepas kritikal sejak 48 jam yang lalu, Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 7:04 pagi waktu tempatan (10.10 pagi waktu Malaysia).

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Stanford, San Francisco, California.

Kehilangan beliau amat dirasai oleh ratusan  ribu anak didik beliau di seluruh dunia.

Haron Din dilahirkan pada Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rejab 1359 di Bohor Mali, Kangar, Perlis.

Beliau merupakan anak ketiga daripada 10 adik-beradik yang terdiri daripada seorang abang dan kakak serta seorang adik lelaki dan juga enam adik perempuan.

Dua  saudara lelaki beliau juga merupakan tokoh agama yang disegani di Malaysia iaitu abang beliau Ustaz Ishak Din dan adiknya Ustaz Abu Hassan Din.

Haron dibesarkan dalam suasana keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam. Oleh yang demikian, kehidupan beliau telah terdidik sejak kecil lagi dalam keadaan baik dan ilmiah.

Ibu bapanya berkhidmat sebagai guru al-Quran kepada masyarakat setempat pada ketika itu, dan ini membolehkan Haron dan adik-beradiknya yang lain lebih mendalami bidang al-Quran.

Oleh kerana kealiman dan keilmuan, bapanya sejak usia muda dikenali sebagai Lebai Din. Semasa zaman remaja Lebai Din  telah merantau mencari ilmu dari Patani sehingga sampai ke Perlis dan menetap di Kampong Bohor Mali,  kerana di situ adalah tempat pengajian ilmu.

Beliau menetap dan berumah tangga di situ selain dikenali umum sebagai perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan secara Islam. Selain itu, Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani.

Biarpun ilmu persilatannya tidak diperturun kepada anak-anaknya, namun Lebai Din memastikan ilmu pengubatan Islamnya tidak terhenti setakat itu sahaja.

Ilmu ini telah diperturunkan secara pengijazahan dengan menyerahkan buku catatan pengubatannya kepada Haron.

Memandang minat dan kecenderungan terhadap ilmu pengubatan Islam, Haron Din sahaja terpilih untuk mewarisi ilmu pengubatan Islam ayahandanya.

Haron Din telah mengakhiri zaman bujangnya ketika berusia 25 tahun  dengan seorang wanita pilihannya, Khadijah Haji Salleh.

Hasil perkongsian hidup tersebut, mereka telah dikurniakan lima cahaya mata, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak  mereka  ialah Huda, Hamdi, Salwa, Najmi dan Hana.

Haron Din dan adik-beradiknya yang lain diwajibkan mempelajari ilmu agama terutama pengajian al-Quran.

Beliau menerima pendidikan awal daripada ayah dan ibunya sendiri. Dalam memberi didikan agama kepada anak-anak, ayahnya tidak membenarkan anak-anaknya mendapat pendidikan selain daripada pendidikan agama di pondok.

Tidak seorang pun anak-anaknya yang mengikuti persekolahan secara formal ketika itu. Setelah menamatkan pengajian di peringkat pondok, rumah pula menjadi tempat untuk beliau mendalami bidang al-Quran dipimpin oleh ayahnya.

Beliau bukan sahaja diajar kaedah bacaan al-Quran dengan betul, malah dilatih dan diberi kepercayaan sebagai pembantu ayahandanya mengajar al-Quran kepada anak-anak kariah. Beliau juga telah dilatih menjadi imam solat dan tenaga pengajar fardu ain kepada umum.

Ayahanda beliau seorang yang sangat tegas dalam mendidik anak-anak. Tidak pernah lekang di tangannya rotan untuk menghukum anak-anaknya apabila melakukan kesalahan.

Manakala bondanya pula, seorang ibu yang memiliki sifat keibuan sempurna. Dengan perwatakan baik sebagai seorang ibu, dengan sifat lemah lembutnya, dia berjaya mendidik dan membentuk anak-anak secara berhikmah dan berbeza dengan cara suaminya.

Dengan kombinasi kedua-dua bentuk didikan ini, maka terbentuklah keperibadian baik kepada  tokoh ini. Ia menjadikan Haron Din seorang yang amat tegas pendiriannya dalam membela, mempertahan dan memperjuangkan agama di tanah air.

Tambahan, sifat lemah lembut ibunya juga telah diwarisi oleh beliau. Beliau amat berlemah lembut dalam tutur katanya serta mesra tanpa mengira batasan usia, pangkat dan kedudukan.

Setelah menjangkau usia tujuh tahun, ayahandanya telah menghantar Haron Din belajar di sebuah sekolah aliran pondok di Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali yang terletak hanya lebih kurang 100 meter dari rumahnya.

Walau jarak antara pondok dan rumahnya amat dekat, namun beliau mengambil keputusan menetap di pondok supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dan dalam pada itu dapat mendidik diri hidup secara berdikari.

Kecenderungan Haron terhadap bahasa Arab mula berputik semenjak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke sekolah tersebut.

Pendekatan pengajian bahasa Arab secara berinovasi dan menyoronokkan daripada guru beliau, ustaz Shafie Omar, sedikit sebanyak telah memberi rangsangan kepada beliau untuk terus mendalami mata pelajaran bahasa Arab.

Berbekalkan keazaman dan kesungguhan serta minat yang mendalam dalam diri, menjadikan bahasa Arab sebagai alat untuk beliau menimba ilmu-ilmu wahyu dengan lebih jauh.

Berteraskan kemahiran bahasa Arab inilah, beliau dapat menggali khazanah ilmu dari sumber-sumber muktabar dalam bahasa Arab dalam pelbagai bidang ilmu termasuk aqidah, fekah, muamalat Islam, siasah Islam, perubatan Islam, kekeluargaan dan sebagainya.

Satu pengajaran yang dapat kita ambil di sini mengenai kepentingan pendidikan bahasa Arab kepada generasi muda adalah supaya mereka dapat menyelami dan mendalami pusaka khazanah ilmu peninggalan ulama-ulama Islam terbilang.

Amatlah wajar dielakkan tanggapan sesetengah orang yang beranggapan bahawa bahasa Arab ini bahasa yang sukar dipelajari dan difahami sehinggakan wujudnya golongan yang anti atau fobia dengan bahasa al-Quran juga bahasa syurga.

Setelah menamatkan pengajiannya di sekolah pondok Madrasah Islahiyah al-Diniah beliau telah menyambung pengajian ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah.

Perpindahan beliau ke sekolah menengah memberi maksud penerusan perjuangan yang lebih mencabar dalam mendalami ilmu pengetahuan agama. Tambahan pula, pada ketika itu jarak antara sekolah dan rumah beliau adalah lebih kurang 12 batu (20km).

Kayuhan basikal sejauh 40km sehari, sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau dalam menuntut ilmu Allah S.W.T.

Bermula dari sinilah, terserlahnya kecemerlangan beliau dalam bidang akademik dan sifat kepimpinan.

Beliau telah mendapat tempat pertama (imtiaz) sepanjang tahun pengajian di situ. Sifat kepimpinan mula menyinar di mana beliau telah dilantik sebagai ketua pelajar di sekolah.

Keperibadian beliau yang cemerlang telah diakui oleh kedua-dua gurunya. Semasa belajar di sini, beliau dikenali sebagai seorang murid yang baik, cerdik, tekun dan fokus dalam pelajaran sehingga sentiasa berada dalam senarai pelajar  terbaik ketika itu.

Haron Din hanya sempat menghabiskan pengajian pada tahap tiga thanawi sahaja. Kemudian beliau terpaksa meninggalkan sekolah tersebut kerana terlibat dalam satu gerakan pelajar untuk membantah campur tangan pihak luar yang cuba campur tangan pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Ia berikutan hasrat pihak tertentu untuk menggantikan pentadbir baru yang bukan daripada aliran atau lulusan agama.

Akibat peristiwa ini, beliau telah ditahan di dalam lokap polis selama dua malam dan akhirnya beliau dan 60 orang rakannya telah dibuang sekolah dan sekolah tersebut ditutup terus selama setahun.

Peristiwa ini membuktikan kepada kita semangat juang  dan ketokohannya sebagai pemimpin yang berkarisma dan bermagnetisma yang menjadikan pelajar-pelajar di bawah pimpinannya sanggup mendengar arahan dan sebulat suara menyokong dan mendokong hak yang diperjuangkan.

Semasa penggantungan itu, beliau bersama-sama seorang rakan karibnya Ustaz Dahlan Mat Zin telah memulakan kembara berbasikal dari Arau ke Kuala Lumpur.

Dalam tempoh penggantungan itu, orang kampung telah memberikan nasihat dan galakan supaya beliau menyambung pengajiannya yang tergendala.

Mereka sanggup mengumpul dana bagi membantu beliau untuk meneruskan pengajiannya.

Beliau menyedari yang dirinya belum menamatkan persekolahan sehingga lima thanawi ketika itu, sedangkan syarat utama penerimaan masuk kolej islam wajib dengan lima thanawi.

Beliau dipujuk untuk menulis surat dalam bahasa Arab kepada pihak Kolej Islam Malaya ketika itu. Akhirnya beliau memberanikan diri menulis surat permohonan tersebut dalam bahasa Arab bertulisan tangan.

Berasaskan nilaian terhadap kandungan surat tersebut beliau telah dipanggil untuk ditemuduga. Sesi temuduga dijalankan  dalam bahasa Arab sepenuhnya. Beliau dapat mejawab soalan temuduga yang dikemukakan dengan baik hingga akhirnya diterima masuk pada hari itu juga.

Semasa mengikuti pengajian di Kolej Islam Malaya ini, cabaran besar kepadanya ialah sistem pengajian di Kolej Islam yang disampaikan dalam bahasa Arab sepenuhnya sedangkan kemampuan beliau hanya di tahap dua thanawi.

Yang banyak membantunya untuk menyaingi pelajar lain dalam berbahasa Arab ialah sistem pengajian Madrasah ‘Alawiyyah yang juga menggunakan bahasa Arab sepenunhya semasa pengajian.

Menyedari dirinya tidak mempunyai kelulusan yang setanding dengan pelajar-pelajar lain yang menyambung belajar di kolej itu, beliau telah menggembelingkan tenaga dan usaha dengan belajar  bersungguh-sungguh. Masanya banyak dimanfaatkan di perpustakaan. Ini menjadikan beliau kurang aktiviti luar dan kesukanan seperti pelajar-pelajar lain.

Di Kolej Islam Malaya atau namanya ketika itu al-Kuliah al-Islamiah, Klang, Selangor, beliau memperoleh Sijil Tertinggi Kolej dengan cermerlang.

Minat Haron terhadap ilmu pengetahuan tidak terhenti di peringkat pengajian tinggi sahaja. Dengan kecekalan dan kesungguhan dalam pengajian, beliau telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “sarjana”.

Setelah tamat pengajian di Kolej Islam Malaya, beliau menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir (1966-1968) dengan biasiswa tersebut. Semasa di Mesir, beliau telah mendaftar untuk belajar dua degree sekali gus iaitu Master di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Diploma Pendidikan di Universiti ’Ain Shams, Kaherah.

Keadaan ini menyebabkan beliau tidak ada ruang untuk mengikuti aktiviti luar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain ketika itu. Beliau terpaksa mengerah tenaga dan mental untuk belajar pagi dan petang. Masanya banyak dihabiskan dibilik perpustakaan untuk mendapatkan rujukan serta membuat kajian.

Semasa di Kaherah, beliau memilih untuk tidak tinggal bersama pelajar-pelajar Malaysia di asrama Rumah Melayu  kerana budaya pelajar Malaysia di Rumah Melayu hanya bergaul sesama mereka dan bercakap bahasa ibunda.

Beliau memilih untuk menyewa di luar bersama-sama dengan pelajar-pelajar Mesir. Ini memberi lebih banyak peluang baginya untuk berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan penutur aslinya. Dua orang sahabat karibnya yang tinggal bersamanya di Kaherah ialah Lutfi Ali Omar dan Mahmud al-Kafif seorang yang buta.

Banyak masa beliau belajar bersama-sama dengan kedua-dua rakannya ini. Dan mereka juga banyak membantu beliau untuk menyiapkan tugasan pelajaran sehingga berjaya. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk menggilap bahasa Arabnya dari aspek percakapan, penulisan dan juga qaedah bahasa arab.

Haron Din tidak pernah lokek dalam menyebarkan ilmu yang dimilikinya. Kesibukan beliau menelaah pelajaran tidak dijadikan penghalang untuk beliau berkongsi dan mencurahkan ilmu dengan pelajar-pelajar lain.

Beliau diamanahkan mengajar pelajar-pelajar Melayu di Mesir terutama kuliah kepada pelajar-pelajar wanita yang kebanyakannya lemah dalam pelajaran dan ramai yang terkandas pada ketika itu. Kelas-kelas ini dianjurkan oleh pelajar Melayu di Mesir.

Pengamalan sebegini masih diteruskan sehingga ke hari ini bagi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Antara matapelajaran yang diajar oleh beliau ialah Bahasa Arab, Usul Fiqh, Qawaed Fiqhiyyah dan lain-lain.

Semasa di Mesir, beliau telah membuat dua ijazah; satu MA (Ijazah Sarjana) Syariah di Universiti al Azhar dan Diploma Pendidikan di ‘Ain Shams, Universiti Cairo. Akhirnya dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperoleh kedua-dua degree tersebut serentak dengan cemerlang.

Setelah menamatkan pengajian di luar negeri, beliau kembali semula ke tanah air sekitar tahun 1968 dengan memperolehi Ijazah Sarjana Syariah dari Universiti Al-Azhar dan juga Diploma Pendidikan Universiti A’in Shams di Kaherah.

Dengan ilmu yang diperolehi dari luar negeri, masyarakat meletakkan harapan tinggi agar dapat mengambil manfaatnya. Untuk tidak menghampakan harapan masyarakat, beliau telah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Abdullah Munsyi, Pulau Pinang. Beliau ditugaskan sebagai guru disiplin.

Bermula dari saat inilah, beliau mula aktif menyampaikan dakwah kepada umum sebagai memenuhi permintaan masyarakat.

Beliau sentiasa sibuk dengan aktiviti dakwah melalui kelas-kelas pengajian agama dan tazkirah di masjid-masjid serta jemputan ke rumah-rumah perseorangan. Selain itu, warga guru sekolah juga dianjurkan kelas pengajian khas bersama beliau.

Pada waktu yang sama beliau juga telah bekerja sebagai pensyarah sambilan untuk kursus-kursus pendidikan guru agama seluruh Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran di Maktab Perguruan Teknik, Pulau Pinang.

Beliau mengajar mata pelajaran art of teaching dan child development. Kebanyakan guru agama ketika itu tidak memiliki ilmu pedagogi. Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang diperolehi dari Kolej Islam Malaya dan Universiti ‘Ain Syam, Mesir dalam bidang pendidikan, ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para guru pada ketika itu.

Rentetan dari itu, akhirnya beliau ditawarkan menjadi pensyarah di Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaya (nama sekarang Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).

Dengan sifat rendah diri, beliau enggan menerima tawaran tersebut dengan alasan ingin memberi peluang kepada mereka yang lebih senior dan lebih layak untuk memegangnya.

Beliau berasakan terlalu awal baginya untuk memegang amanah sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti. Dekan Fakulti Islam ketika itu telah datang sendiri ke rumahnya memujuk beliau untuk menerima jawatan tersebut. Akhirnya beliau bersetuju dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Kecintaan Haron Din terhadap ilmu telah mendorong beliau menyambung kembali pengajiannya. Ketika itu, beliau masih berkhidmat di UKM. Maka pada tahun 1972, beliau sekali lagi berlepas ke Mesir untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah. Pada tahun 1973, beliau telah berjaya dengan cemerlang dalam bidang Syariah dan memperolehi Ph.D daripada Universiti Darul Ulum, Kaherah.

Sekembalinya ke tanah air,  beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setahun kemudian beliau dilantik sebagai timbalan dekan sebelum empat tahun kemudian dianugerahkan profesor madya dan tiga tahun kemudian dilantik sebagai profesor penuh.

Ketekunan dan kesungguhan beliau dalam penyebaran ilmu pengetahuan sepanjang penglibatan beliau dalam dunia akademik dapat dibuktikan dengan penghasilan pelbagai karya ilmiah seperti buku-buku, kajian ilmiah dan kertas kerja. Antaranya;

(Dissolution of Marriage and Related Problem: A Comparative Study of Schools of Law) I Watan Press, Kuala Lumpur. 1983.

(The Separation of Spouse Based on Legal Prohibition by Law and Court – Watan Press 1984.

( Some Family Cases : Maintenance, Breach of Marriage and Polygamy an Islamic Solution ) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.

(Spread of Islamic Mission in Malaysia) – Watan Press, Kuala Lumpur, 1985.

Buku Terbitan dalam Bahasa Malaysia:

Buku Teks untuk sekolah menengah – Pengetaahuan Agama Islam sebagai Ketua Editor – Obor Islam I, II, III, IV dan V.

Rawatan Pesakit Menurut al Quran dan as Sunnah. Percetakan Watan, terbitan bersama rakan. 1990

Buku tajuk “ Jawapan Kepada Hadith Satu Penilaian Semula – terbitan Dewan Pustaka Fajar 1988 Ketua Pengarang.

Masalah Pendidian Islam di Malaysia (bersama Dr Sabri Salamon) 1988.

Pengenalan Islam : Kemusykilan dan Penjelasan (bersama Ishak Din) 1989.

Rawatan Gangguan Makhluk Halus – Percetakan Watan 1989.

Taklik Talak Antara Hukum Fiqh dan Hukum Kanun – Watan 1989

Soal Jawab Agama – Fiqh Harian (bersama Ishak Din – Percetakan Akademi Art Printing Services Sdn Bhd 1992.

Aqidah Tauhid (bersama Ishak Din) 1995.

Hudud dalam Perundangan Islam – Pakar Print 1978.

Manusia dan Islam – Edisi Pertama (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1991) Ketua Editor

Manusia dan Islam – Edisi Kedua (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor

Manusia dan Islam – Edisi Ketiga (Dewan Bahasa dan Pustaka, KL 1992) Ketua Editor

Tasawwur Islam – Percetakan  Graphico Kajang 1404H.

Melihat Anak Bulan di Malaysia : Maslah dan Kemungkinan

Kewajipan Menegak Negara Islam –Indera Press.

Suami Isteri dan Rumahtangga Menurut Islam – Maju Press KL 1979.

Penyelenggaraan Jenazah – Unit Bimbingan Agama UPM 1981.

Methodologi Zikr – Watan 1988.

Pengurusan Jenazah – Percetakan Zizi Kajang 1989.

Hudud dalam Perundangan Islam – Dany Press 1993.

Muhammad Rasulullah : Anugerah Kejayaan – Bahagian Hal Ehwal Islam JPM 1993.

Ulama’ Bukan Cap Getah – Percetakan Watan 1993.

Islam : Keadilan Membebaskan Manusia 2007 (PTS Millenia)

Islam : Jihad Sebagai Survival Insan 2001 (PTS Millenia).

Islam : Ibadah Pembina Tamadun Manusia 2007 (PTS Millenia)

Islam :  Ada Apa Dengan Islam 2007 (PTS Millenia).

Islam : Agama, Bisnes dan Pengurusan 2007 (PTS Millenia).

Islam : Panduan Komprehensif Keluarga Bahagia 2007 (PTS Millenia).

Islam : Rujukan Afektif Akhlak Mulia 2007 (PTS Millenia).

Ikhtiar Penyembuhan  Penyakit dengan Ayat-ayat dan Doa-doa Mustajab 2009 (Darussyifa’).

Fikh Harian 2009 (Edisi Kemaskini ) PTS Millenia.

Pengantar Pengubatan Islam – Jilid I  2011 (Darussyifa’).

Rawatan Penyakit Jasmani  1 – Jilid II    2011 (Darusyifa’).

Rawatan Penyakit Jasmani 2  – Jilid III   2011 (Darussyifa’).

Rawatan Penyakit Akibat Sihir – Jilid IV 2011 (Darusyifa’).

Dari segi kerjaya, selepas menjawat pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976), beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985) sebelum menjadi Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara.

Haron Din turut dilantik Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB, Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia, Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti
dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Beliau turut dilantik Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan, Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd dan Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis serta Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Dalam politik, Haron Din merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983), Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan Timbalan Mursyidul Am PAS. – Sarawakvoice



Kredit : SarawakVoice.com

No comments

Comments are welcome and encouraged on this site. Comments deemed to be spam or solely promotional will be deleted. Including link to relevant content is permitted, but comments should be relevant to the post topic.

Comments including profanity and containing language that could deemed offensive will also deleted. Please respectful toward other contributors. Thank you.