Google Dan MNS Berkongsi Kisah Disebalik Rakaman Street View Untuk Gunung Tahan
Gunung Tahan merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, dan dikatakan ramai sebagai gunung yang lebih mencabar untuk didaki berbanding dengan pelbagai gunung lain di Malaysia. Terkini, pada awal pagi ini, pihak Google telah mula menawarkan paparan Street View untuk Gunung Tahan. Kami di Amanz juga telah berpeluang bertemu dengan mereka yang bertugas disebaliknya dan mendapatkan sedikit kisah disebalik rakaman bersejarah ini.
Merancang Dan Menyesuaikan Diri Dengan Cuaca
Ekspedisi untuk rakaman Google Street View di Gunung Tahan ini telah dimulakan sekitar minggu ketiga bulan Mei 2016 yang lepas. Ekpedisi yang dirancang bersama oleh Google Malaysia dan juga Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) ini disertai oleh lebih kurang 10 orang – yang mana terdiri daripada dua orang dari Google, 4 orang dari MNS dan selebihnya adalah sukarelawan dan juga pemandu arah.
Memasuki Gunung Tahan sendiri adalah salah satu cabaran, dimana ia memerlukan peserta yang betul-betul mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. Untuk memasuki Gunung Tahan juga, perancangan rapi perlu dilakukan dan perlu memastikan cuaca adalah terang sepanjang rakaman supaya tidak memberikan impak terhadap hasil rakaman mereka.
Seperti pendaki lain juga, permit perlu diperoleh terlebih dahulu daripada Jabatan Perhilitan sebelum memasuki perjalanan mendakinya.
Perjalanan Sekitar 9 Hari, Meliputi Hampir 100KM
Untuk rakaman yang dimulakan pada minggu ketiga Mei 2016 ini, perjalanan pihak Google Street View telah mengambil masa sekitar 9 hari lamanya. Gunung Tahan ini adalah setinggi 2,187 meter, dan mempunyai tiga laluan untuk ke puncak gunung berkenaan, iaitu dari Kuala Tahan-Kuala Tahan, Merapoh-Kuala Tahan, dan Merapoh-Merapoh. Seperti biasa, pendaki perlu merentasi rabung-rabung beralun dan beberapa aliran sungai sebelum tiba ke kaki gunung untuk memulakan pendakian terakhir.
Dalam perjalanan pihak Google Malaysia sendiri, mereka terpaksa hampir membatalkan sehari disebabkan oleh hujan – yang mana membuatkan mereka tidak boleh merakamkan gambar Street View ketika itu. Sepanjang perjalanan untuk merakamkan gambar Street View, ia dikatakan oleh Google Malaysia yang mana ini adalah rakaman Street View paling mencabar setakat ini di Malaysia.
Dikelilingi Pelbagai Flora Dan Fauna – Termasuk Periuk Kera Bersaiz Jari Kelinking
Sepanjang perjalanan mendaki Gunung Tahan untuk rakaman Google Street View, pelbagai flora dan fauna ditemui. Menurut MNS, ia sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana tumbuhan berbeza dari tapak ke puncak gunung. Sebagai contoh, ia dikatakan tumbuhan adalah tinggi pada kaki gunung, tetapi semakin pendek apabila ke puncak gunung.
Disamping itu, pelbagai perkara menarik yang ditemui sepanjang pendakian, termasuk penemuan periuk kera yang bersaiz sangat kecil. Ia tidak diketahui sama ada ini adalah periuk kera terkecil di dunia ataupun sebaliknya, tetapi tidak mustahil untuk menemuinya di Gunung Tahan. Selain periuk kera, dalam perjalanan juga terdapat bunga raflesia dan pelbagai tumbuhan lain.
Selain tumbuhan, corak batu juga adalah sedikit berbeza pada kaki gunung dan juga pada puncak gunung. Menurut MNS, perkara ini berlaku disebabkan oleh air pada puncak gunung yang jernih – sekaligus memberikan kesan tidak langsung pada batu berkenaan.
Menemui Bangkai Kapal Terbang
Selain penemuan flora dan fauna, pendakian Gunung Tahan juga memperlihatkan pasukan Street View dan MNS menemui bangkai kapal terbang. Ia dikatakan adalah bangkai kapal terbang yang sangat lama, dan mungkin terhempas suatu ketika dahulu. Bangkai kapal terbang ini berselerak di Gunung Tahan, tetapi ia dikatakan ada sukarelawan yang kadang-kala mengambil rangka bangkai berkenaan, dan mengumpulkannya pada satu lokasi. Agak menarik juga kerana rangka berkenaan ada yang tidak karat lagi walaupun telah sekian lama terhempas.
Cabaran Memaksimakan Penggunaan Bateri Untuk Rakaman Gambar
Dalam merakamkan Street View untuk Gunung Tahan ini, selain daripada laluannya, satu lagi perkara yang turut mencabar adalah penggunaan teknologi. Untuk Street View Trekker sendiri, ia adalah seberat hampir 18 kilogram, dan seorang pengguna hanya perlu membawa ia sahaja. Dan memandangkan ia dijana menggunakan bateri, maka pihak Google juga turut menyediakan bateri yang secukupnya dalam merakamkan keseluruhan Gunung Tahan.
Sebanyak 20 bateri tambahan dibawa oleh Google untuk menguasakan kamera rakaman ini. Menurut Google, sebanyak dua bateri digunakan pada sesuatu masa, dan ia menawarkan masa penggunaan hampir 6 ke 7 jam lamanya. Namun, ketika berada di bahagian atas bukit, masa penggunaan bateri menjadi sedikit singkat disebabkan oleh suhu persekitaran yang sejuk.
Ini juga membuatkan Google merancang keseluruhan perjalanan rakaman Gunung Tahan ini secara rapi – apatah lagi mereka perlu membawa bersama khemah, makanan dan sebagainya untuk ekspedisi kali ini – berbeza dengan Gunung Kinabalu yang biasanya telah menyediakan perkara ini di beberapa tahap ketinggian.
Berharap Dapat Membantu Dalam Pembelajaran Dan Memupuk Semangat Cinta Flora Dan Fauna
Sebagai penutup, pihak MNS dan Google Malaysia berharap yang mana rakaman Gunung Tahan ini dapat membantu bukan sahaja pengguna Malaysia, tetapi seluruh dunia dalam memahami flora dan fauna yang terdapat di Gunung Tahan terlebih dahulu, sebelum membuat perancangan untuk kesana. Disamping boleh membantu dalam kelas, rakaman kali ini juga dikatakan dijangka akan dapat menarik minat para saintis dalam membuat kajian lanjut berkenaan flora dan fauna di Gunung Tahan.
Layari : Gunung Tahan di Google Street View
Mukah Pages berkongsi Informasi Teknoloji Terkini dari Amanz http://ift.tt/2cBPefC
Post a Comment